Archive for Februari 2014
Memahami Asas Manhaj Al-Haraki Rasulullah SAW
Definisi manhaj al-haraki ialah
langkah-langkah atau strategi yang jelas dan terang yang mana telah dipelopori
oleh baginda Nabi Muhammad SAW sejak diutuskan sehinggalah baginda wafat.
Kita dikehendaki menyusuri peringkat
gerakan ini selangkah demi selangkah supaya urusan kerja menjadi jelas. Kita
mengikuti perjalanan dalam gerakan Islam, maka perlulah kita meneladani
langkah-langkah yang telah digerakkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan firman
Allah SWT:
لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن
كان يرجوا الله واليوم اﻵخر
"Demi
sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,
iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik
dari akhirat..."
(Surah Al-Ahzab: 21)
Tidak dinafikan bahawa mengikuti
langkah-langkah dan peringkat-peringkat ini sebelum yang lainnya merupakan satu
arahan. Sekiranya kita mengikuti langkahnya ini dan dengan petunjuknya, maka
kita akan sampai kepada 'mardhatillah' (keredhaan Allah).
Dari sudut lain, ia merupakan satu pintu
jalan kepada gerakan Islam dalam merencanakan politiknya untuk sampai kepada
matlamat menegakkan hukum Allah di muka bumi. Kita percaya bahawa manhaj haraki
ini merupakan manhaj ilahi (ketuhanan) yang Allah SWT teguhkan NabiNya dalam
melaksanakan kesemua langkah-langkah ini dan ianya bukan lahir dari tindak
balas dari keadaan semasa yang dihadapi.
Apabila kita menyebut berkenaan
peringkat-peringkat yang perlu diteladani oleh seorang penggerak Islam, maka
cukuplah peringkat ini dihadkan dengan beberapa gambaran tanpa perlu
digambarkan secara terperinci tentang segala peristiwa dan perjalanan yang
telah diselusuri oleh bagina Nabi SAW melalui sirahnya.
Peringkat-peringkat yang perlu
digambarkan di dakam manhaj ini bolehlah dihadkan kepada peringkat iaitu:
1) Dakwah dan strategi secara rahsia
2) Dakwah secara terbuka dan strategi
secara rahsia
3) Menegakkan negara
4) Negara dan penetapan ketuanya
5) Menyebarkan dakwah di muka bumi
Apabila kita menghadkan setiap peringkat
ini dengan permulaannya dan pengakhirannya, maka kita akan dapat mengetahui
asasnya seperti berikut:
1) Dakwah secara rahsia: Bermula dari
turunnya wahyu sehingga sampai kepada firman Allah Taala:
وأنذر عشيرتك اﻷقربين
"Dan
berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat."
(Surah As-Syuara':214)
2) Dakwah secara terbuka dan strategi
secara rahsia: Tamat pada tahun ke-10 Kerasulan.
3) Menegakkan negara: Tamat pada
permulaan tahun pertama hijrah
4) Mengasaskan negara: Tamat dengan
termeterainya perjanjian Hudaibiyyah.
5) Menyebar dakwah ke seluruh muka bumi:
Terhenti dengan wafatnya Rasulullah SAW. Untuk lebih jelas, setelah tamatnya
setiap peringkat, maka bermulalah peringkat yang berikutnya iaitu kembali
kepada peringkat yang pertama.
Menyedari Hakikat Diri Dalam Dakwah
Bagi merealisasikan cita-cita Islam dan
melaksanakan tugas-tugas Islam, seseorang itu perlu bermuhasabah ke atas
dirinya sendiri dan menyedari sejauh mana kedudukannya dalam Islam. Dia juga
harus mendakwah orang lain seperti dia mendakwah dirinya sendiri, terutama dari
segi iltizamnya kepada Islam supaya menginsafi firman Allah Taala:
"أتأمرون الناس بالبر
وتنسون أنفسهم وأنتم تتلون الكتاب أفلا تعقلون"
"Mengapa
kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupai diri kamu
sendiri, padahal kamu membaca kitab, apakah kamu tidak berfikir?"
(Surah Al-Baqarah : 44)
Dan janganlah pula amal yang dikerjakan
itu menjadi sia-sia seperti firman Allah SWT:
الذين ضل سعيهم في الحياة الدنيا وهم
يحسبون أنهم يحسنون صنعا
"Orang-orang
yang telah sia-sia perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka
menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya."
(Surah Al-Kahfi:104)
Mereka yang benar-benar rugi ialah
apabila mereka yang mengalami kerugian di akhirat walaupun menerima keuntungan
yang besar semasa di dunia. Keuntungan yang sebenarnya menurut pertimbangan di
akhirat hanyalah untuk orang-orang yang baik mengerjakan amal soleh yang
bermula daripada dirinya sebelum didakwahkan kepada orang lain supaya turut
melakukannya.
Jika diteladani kembali sirah Rasulullah
SAW,semasa hayat Baginda ketika di usia kanak-kanak, Baginda mendidik jiwanya
dengan mengembala kambing. Sepertimana sabdanya:
ما من نبي إلا وقد رعى الغنم
"Tidaklah
dikalangan Nabi kecuali mengembala kambing."
Kambing merupakan haiwan yang degil dan
sukar untuk dikawal. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mendidik jiwanya dengan
melatih kesabarannya sebelum memulakan dakwahnya kepada masyarakat yang
mempunyai ragam yang lebih teruk daripada kambing.
Marilah kita mendidik jiwa kita dengan
tarbiah Islamiah yang telah ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW. Di dalam kita
bermujahadah melakukan gerak kerja perjuangan dan dakwah Islam, maka sedarlah
akan hakikat diri kita bahawa kita memerlukan kekuatan ruhiyyah supaya ianya
selari dengan keutuhan perjuangan yang kita hadapi sekarang.
Kepentingan Ilmu Dan Dakwah
Ilmu merupakan jambatan kepada sesorang
itu untuk mencapai ketaqwaan kepada Allah swt. Tidak dapat tidak, wajib bagi
seseorang itu untuk mempelajari ilmu supaya dapat menjadi bekalan kepada
seseorang untuk mendapatkan redha Allah swt.
Sabda Nabi saw:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ
مُسْلِم
“Menuntut
ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim.”
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)
Segenap aspek kehidupan ini memerlukan
asas ilmu yang kukuh supaya dijadikan panduan untuk melaksanakan sesuatu aspek
tersebut dengan betul. Seperti contoh aspek politik yang memerlukan ilmu
kepakaran dan sistematik seseorang dalam memerintah negara.
Sepertimana kata-kata Imam Syafie
Rahimahullah:
ﺗﻔﻘﻬﻮﺍ ﻗﺒﻞ ﺃن تﺴﻮﺩﻭا
"Tuntutlah
ilmu sebelum kamu memimpin."
Oleh itu kepntingan ilmu itu perlu
lebih-lebih lagi ilmu pensyariatan Allah Taala supaya manusia ini berjaya di
dunia dan akhirat.
Dalam kegigihan seseorang dalam menuntut
ilmu, perlu juga memahami kewajipan kita dalam meneruskan dakwah yang
diperjuangkan baginda Nabi SAW.
Firman Allah swt:
ﻭَﻟْﺘَﻜُﻦْ ﻣِﻨْﻜُﻢْ ﺃُﻣَّﺔٌ ﻳَﺪْﻋُﻮﻥَ
ﺇِﻟَﻰ ﺍﻟْﺨَﻴْﺮِ ﻭَﻳَﺄْﻣُﺮُﻭﻥَ بِﺎﻟْﻤَﻌْﺮُﻭﻑِ ﻭَﻳَﻨْﻬَﻮْﻥَ ﻋَﻦِ اﻟْﻤُﻨْﻜَﺮِ ﻭَﺃُﻭﻟَﺌِﻚَ
ﻫُﻢُ ﺍﻟْﻤُﻔْﻠِﺤُﻮﻥَ
"Hendaklah
di antara kamu yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka
merekalah orang-orang yang berjaya."
(Surah Ali-Imran : 104)
Perkataan ولتكن
yang disandarkan dengan lam amar menunjukkan perintah wajib kepada umat Islam
untuk berdakwah.
Firman Allah S.W.T:
Di dalam surah Al-Asr, Allah Taala
meletakkan 4 bahagian yang perlu dijadikann panduan kepada manusia di dalam
kehidupan.
1) Beriman kepada Allah
2) Beramal dengan amalan soleh
3) Berpesan kepada kebenaran
4) Berpesan kepada kesabaran
Surah inilah yang disifatkan oleh Nabi
Saw sebagai satu pertiga Al-Quran yang merangkumi kewajipan manusia dalam
meneruskan dakwah.
Berkata Imam Syafie lagi:
“Sekiranya manusia
seringkali mengingati surah Al-Asr, maka sudah cukup bagi mereka. Oleh itu,
tidak cukup bagi mereka untuk mngenal erti kebenaran dan kesabaran itu selagi
mana mereka tidak berpesan dan memberi panduan di antara satu sama lain.”
Dalam rukun dakwah memerlu manhaj yang
perlu diikut oleh setiap daie supaya dijadikan panduan yang tetap bagi mereka.
Manhaj inilah yang memerlukan ilmu daripada dua sumber yang tepat daripada
Alquran dan sunnah, dan panduan daripada pandangan alim ulamak.
Ilmu dan dakwah saling berkait rapat dan
memerlukan diantara satu sama lain. Sekiranya tiada ilmu dalam dakwah, maka
pincanglah dakwah tersebut. Begitulah sebaliknya sekiranya dengan ilmu kemudian
tiada kesedaran manusia dalam berdakwah.
Hayati kata-kata Imam Ibnu Ramli:
فعالم بعلمه لم
يعملن # معذب من قبل عباد الوثن
وكل من بغير علم
يعمل # اعماله مردودة لا تقبل
Org alim yang tidak beramal dgn ilmunya #
maka akan diazab sebelum penyembah
berhala,
Maka barangsiapa yg beramal tanpa ilmu #
amalannya akan tertolak dan tidak
diterima.
Dakwah merupakan amal yang menghubungkan
kita dengan Allah Taala. Ianya adalah salah satu amalan yang mampu meningkatkan
taqwa dan takut kita kepada Allah. Seorang daie yang berilmu mampu untuk sampai
kepada tahap ketaqwaan yang tinggi. Kerana mereka faham akan kewajipan mereka
yang sebenar adalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.
Ilmu bukan sesuatu benda yang dikumpul
sehingga banyak, akan tetapi ilmulah yang menjadi titik nilai supaya kita
bertambah takutnya kepada Allah.
Berkata Ibnu Mas'ud:
لبس العلم بكثرة الرواية، انما العلم
الخشية
“Bukanlah ilmu itu dengan banyaknya riwayat,
sesungguhnya ilmu itu adalah takut (kepada Allah).”
Justeru, kepentingan dan kombinasi
diantara kewajipan menuntut ilmu dan berdakwah perlu disematkan dalam diri kita
selaku mahasiswa Islam. Lebih-lebih lagi Azhari yang mempelajari manhaj Islam
yang wasatiyyah yang mana tidak ekstrem إفراط
dan tidak mengambil remeh akan sesuatu تفريط.
Jadilah mahsiswa yang berguna kepada
masyarakat nanti. Jadikan imtihan ini sebagai pencetus kepada diri kita untuk
menjadi daie yang berilmu dan bertaqwa kepada Allah swt. Moga kejayaan milik
kita di dunia dan akhirat.
Posted by alifmimra
Islam Tidak Akan Tertegak Dengan Kata-kata
Matlamat dalam menegakkan Islam adalah
matlamat yang perlu disedari dan dicapai oleh sekalian umat Islam. Bermula pada
era kejatuhan khilafah lagi pada tahun 1924, umat Islam masih lemah dan mundur
untuk bangkit semula menguasai pemerintahan dunia. Ianya memerlukan kesedaran
serta perjuangan yang lama untuk menjadikan Islam kembali berada di atas dan
tidak akan ditindas lagi oleh musuh Islam.
Dalam merealisasikan matlamat perjuangan
tersebut, tidak dapat tidak ianya melakukan satu gerak kerja yang mampu untuk
mencapainya sekalipun susah. Amal yang dilakukan oleh umat Islam pula perlu
selari dengan kefahaman dan garis panduan Islam yang betul, supaya ianya tidak
lari daripada matlamat yang asal.
Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T banyak
menyebut berkaitan dengan kewajiban dan keperluan amal itu sendiri. Firman
Allah S.W.T yang bermaksud:
(وَقُلِ اعْمَلُوا
فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ
عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ)
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu
(akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang
yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan
kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata,
kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
(Surah At-Taubah: 105)
Sepertimana berdasarkan ayat tersebut,
umat Islam perlu mengetahui akan kewajiban amal itu yang mana menjadi bekalan
di akhirat. Dalam surah yang lain Allah S.W.T berfirman:
(إِلَّا الَّذِينَ
آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ)
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan
dengan sabar.”
(Surah Al-Asr: 3)
Di dalam ayat ini menjadi pengecualian
kepada orang-orang yang melakukan amal soleh daripada jatuh kepada kerugian dan
kebinasaan. Islam bukan hanya agama yang berdasarkan teori semata-mata,oleh
sebab itu, angan-angan untuk melihat kemenangan Islam bukan terhasil daripada
percakapan dan omong kosong yang hanya melihat dari jauh. Sepertimana kata-kata
dalam sebuah syair:
لا تكن عبد المنى # فالمنى رؤس أموال
المفاليس
“Janganlah kamu menjadi hamba angan-angan,
sesungguhnya angan-angan adalah modal orang muflis”
Sepertimana kata-kata Syeikh Mustafa
Masyhur:
“Islam tidak akan tertegak dengan kata-kata.”
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan
berkenaan dengan kebangkitan Islam memerlukan amalan dan suluk (ibadah). Antara
kata-katanya:
“Kebangkitan (Islam)
bukanlah kebangkitan daripada sudut pemikiran dan semangat semata-mata. Ianya
adalah kebangkitan pemikiran dan semangat yang disertakan dengan kebangkitan
dalam beramal dan ibadah dan seterusnya konsisten dengannya (amalan dan
ibadah).”
Umat Islam yang optimis pada matlamat
perjuangan Islam akan berpusu-pusu melakukan amal Islami demi melihat
tertegaknya syiar dan syariat Islam di muka bumi Allah ini. Oleh sebab itulah,
sejak awal-awal lagi Imam Hassan Al-Banna berusaha agar anggota Ikhwanul
Muslimin menjadi seorang yang bekerja dan bukan sebagaiahli teori semata-mata.
Disamping itu juga, perlu diteliti akan
kualiti sesuatu gerak kerja tersebut, supaya ianya tersusun dengan perancangan
sistematik dan menghasilkan natijah yang baik. Firman Allah S.W.T:
(الَّذِي خَلَقَ
الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ
الْغَفُورُ)
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan
hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara
kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha
Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”
(Surah Al-Mulk : 2)
Kesimpulan yang perlu kita ambil disini
ialah kewajipan beramal dalam merealisasikan matlamat perlu diambil cakna oleh
seluruh umat Islam. Islam tidak akan tertegak berdasarkan teori semata-mata,
maka teori tersebut akan menjadi sempurna sekiranya dipraktikkan dalam
kehidupan. Menegakkan Islam bukan sesuatu angan-angan dan omong kosong. Ianya
adalah sesuatu yang reality yang dipundakkan kepada seluruh umat Islam.
Posted by alifmimra