- Back to Home »
- Bagaimana Rasulullah ﷺ Menyempurnakan Akhlak yang Mulia?
Posted by : alifmimra
Jumaat, 26 Jun 2015
Ramai orang
menganggap akhlak yang baik, cantik, molek, mulia itu hanya dispesifikkan
kepada berapa akhlak yang dipandang baik dan sejuk di pandangan orang lain.
Seperti penyayang, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Namun kita tidak menerokai
kesemua akhlak yang mulia disisi Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran
Al-Karim.
Rasulullah ﷺ
adalah role model utama kepada umat Islam yang mempunyai akhlak yang paling
sempurna. Allah SWT memuji ketinggian akhlak Rasulullah ﷺ di
dalam Al-Quran :
(وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ)
"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai
akhlak yang amat mulia."
[Surat Al-Qalam : 4]
Para Nabi-nabi yang
sebelumnya juga disifatkan dengan sifat-sifat akhlak yang terpuji, tetapi
mengapa Allah SWT menggunakan kalimah 'azim satu-satunya kepada Nabi Muhammad ﷺ?
Apakah rahsia disebaliknya?
Perkataan 'azim
menunjukan kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda. Bukan sahaja sempurna
dengan sifat penyayang, pemurah, pemaaf , lemah lembut dan sewaktu dengannya,
akan tetapi Rasulullah ﷺ
juga seorang yang berani, tegas dalam menegakkan hak, sanggup berkorban,
amanah, setia dengan janji dan banyak lagi kesempurnaan akhlak yang ada pada
baginda.
Segala apa yang
disifatkan dalam Al-Quran merupakan akhlak Rasulullah ﷺ
sepertimana apa yang disebut di dalam hadis apabila Saiditina Aisyah RA apabila
ditanya tentang akhlak baginda :
ﻛَﺎﻥَ ﺧُﻠُﻘُﻪُ ﺍﻟْﻘُﺮْﺁﻥَ
“Akhlak beliau adalah Al-Quran."
Umat Islam perlu
juga mengetahui bahawasanya akhlak baginda Nabi Muhammad ﷺ
adalah akhlak yang menyempurnakan akhlak manusia yang telah sedia ada. Kerana
manusia itu secara fitrahnya mempunyai naluri dan akhlak asasi yang baik. Cuma
ia tidak diacukan dengan acuan yang sebenar. Sabda Rasulullah ﷺ :
إنما بعثت ﻹتمم مكارم
اﻷخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia."
Secara asasnya,
manusia itu sifatnya penyayang dan pemaaf. Namun jika menurut Islam penyayang
dan penyabar itu apabila terpesong daripada dasar Islam, maka nilai akhlak
tersebut akan tertolak.
Seperti seseorang
lelaki menyayangi wanita yang bukan mahram sehingga bisa mencetuskan perbuatan
zina. Juga memaafkan kafir harbi yang memerangi orang Islam.
Seperti contoh
seruan Rasulullah ﷺ
untuk merotan anak yang tidak solat apabila masuk umur 10 tahun. Apa yang
digagaskan dalam undang-undang hak asasi manusia bahawa orang dewasa tidak
dibenarkan mencederakan kanak-kanak secara hakikat menghakis kefahaman umat
Islam terhadap seruan Rasulullah ini.
Akhlak seorang ibu
atau bapa perlu tegas dalam mendidik lebih-lebih lagi dalam menyeru ke arah
dasar Islam kepada anaknya iaitu solat. Maka perkara itu menyempurnakannya,
kerana akhlak yang tidak mulia apabila membiarkan anak tidak mendirikan solat
yang merupakan tiang agama.
Oleh sebab itu,
dalam mencontohi Rasulullah ﷺ perlu kita ambil keseluruhan akhlak baginda. Bukan mengambil
sebahagian akhlak yang mudah diadaptasi dan meninggalkan akhlak yang sukar
untuk dilaksanakan.
Moga-moga kecintaan
kita pada Rasulullah ﷺ
semakin menebal pada bulan Ramadan ini. Wallahua’lam.