- Back to Home »
- Ummu Waraqah - Wanita Syahidah
Posted by : alifmimra
Isnin, 21 Disember 2015
Wanita itu sifatnya lembut, sopan santun dan
memiliki segala sifat kewanitaan yang dikurniakan kepada mereka yang merupakan
fitrah. Wanita juga memiliki sifat keibuan yang tidak ada pada lelaki. Tugas
seorang ibu, isteri adalah suatu posisi yang mulia disisi Allah SWT.
Menelusuri kisah ketokohan wanita sepanjang
sejarah Islam, ramai dalam kalangan mereka yang dijadikan inspirasi dan role
model oleh para wanita masa kini. Tokoh wanita seperti Saidatina Aisyah R.A,
Saidatina Khadijah R.A, Sumayyah, Rabiatul Adawiyah dan ramai lagi patut
diangkat ketokohan mereka, yang mana mereka bukan sahaja ditugaskan sebagai
ibu, isteri dan sebagainya, malah mereka juga bergelar ilmuwan, mujahidah serta
ahli sufi yang cukup hebat.
Salah satu daripada tokoh wanita yang cukup
hebat pada zaman Rasulullah ﷺ adalah Ummu Waraqah Binti Abdullah Bin Naufal
Al-Ansoriah, yang merupakan wanita ansar yang diberi gelaran As-syahidah.
Kisah Ummu Waraqah yang termaktub di dalam
hadis dan sirah Rasulullah ﷺ cukup memberi motivasi kepada kaum wanita pada
hari ini. Beliau patut dijadikan contoh bagi wanita untuk menjadi muslimah
sejati yang berpegang teguh dengan ajaran agama.
Ummu Waraqah mempunyai semangat jihad dan
pengorbanan yang tinggi kepada Islam. Oleh sebab itu, beliau diberi gelaran
‘As-Syahidah’ di atas semangat jihad yang tinggi sepertimana yang dizahirkan
oleh beliau. Beliau merupakan seorang wanita yang kuat ibadah, istiqamah dan
juga merupakan pengumpul Al-Quran kerana memiliki kekuatan hafalan. Beliau juga
antara wanita yang meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk menugaskan di dalam
rumahnya seorang mu’azzin, lalu baginda pun mengizinkannya. Baginda juga
menugaskan beliau supaya menjadi imam kepada para wanita.
Pada tahun kedua hijrah, sepertimana di dalam
hadis Rasulullah ﷺ ketika baginda dan para sahabat bersiap siaga menghadapi
peperangan Badar, lalu Ummu Waraqah meminta izin kepada baginda untuk
bersama-sama menyertai peperangan Badar. Beliau berkata kepada Rasulullah ﷺ :
يَا رَسُولَ اللَّهِ ائْذَنْ
لِي فِي الْغَزْوِ مَعَكَ أُمَرِّضُ مَرْضَاكُمْ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَرْزُقَنِي
شَهَادَةً
“Ya Rasulullah, izinkanlah aku berangkat
bersama engkau, sehingga aku dapat merawat orang yang sakit di antara kalian,
semoga Allah mengurniakanku syahadah (mati syahid).”
Lalu baginda menjawab:
قرى فى بيتك فان الله يرزقك
الشهادة
“Tinggallah engkau di rumahmu. Sesungguhnya
Allah akan mengurniakan syahid kepadamu”.
Lalu Ummu Waraqah akur dengan kata-kata
Rasulullah ﷺ. Namun sabdaan Nabi tidak mematahkan cita-cita beliau untuk syahid
pada jalanNya. Maka jadilah teratak beliau sebagai rumah ibadah demi mencapai
cita-cita yang diimpikan hasil daripada saranan Rasulullah. Di rumah itulah,
beliau menjadikan sebagai rumah ibadah dengan beliau sebagai Imam kepada para
wanita. Di rumah itu jugalah sebagai medan ilmu lebih-lebih lagi dalam memahami
Al-Quran.
Ummu Waraqah memiliki dua orang hamba yang
mana seorang hamba lelaki (ghulam) dan seorang hamba perempuan (jariyah). Ummu
Waraqah yang mempunyai keperibadian yang mulia itu telah berjanji untuk
membebaskan mereka apabila beliau meninggal dunia.
Suatu hari pada zaman kepimpinan Saidina Umar
R.A, kedua-dua hambanya itu telah melakukan perbuatan khianat dengan membunuh
Ummu Waraqah lalu membiarkan jenazahnya di rumah lantas melarikan diri.
Saidina Umar R.A seperti merasa sesuatu yang
tidak kena kepada Ummu Waraqah lalu menyatakan:
والله ما سمعت قراءة خالتي أم
ورقة البارحة
“Demi Allah, aku tidak mendengar suara bacaan
Al-Quran daripada Ummu Waraqah semalam.”
Merasa kejanggalan ini, lalu Umar memasuki
rumahnya dan melihat Ummu Waraqah tiada di rumah. Lantas memasuki biliknya,
melihat sekujur tubuh berbungkus dengan kain di tepi rumahnya.
Lalu kata Umar:
صدق رسول الله صلى الله عليه
وسلم كان يقول: انطلقوا نزور الشهيدة
“Benarlah sabdaan Rasulullah ﷺ yang
menyatakan: ‘Mari bersama mengunjungi wanita syahid.’”
Allahuakbar! Sabdaan Rasulullah ﷺ kepada Ummu
Waraqah akan kurniaan syahid kepada beliau merupakan suatu perkara yang benar.
Dengan tegas, Saidina Umar mencari dua orang hamba yang membunuhnya lalu
memberikan hukuman kepada mereka berdua.
Kesungguhan Ummu Waraqah untuk syahid pada
jalanNya akhirnya tercapai seperti yang dijanjikan. Walaupun tidak menjejakkan
kaki ke medan peperangan untuk mencapai syahid, cukuplah beliau syahid dengan
kesungguhan beliau menjadi ahli ibadah yang tekun, pendidik, penjaga Al-Quran
dan hamba yang taat.
Wallahua’lam.