Posted by : alifmimra Selasa, 4 Februari 2014

Matlamat dalam menegakkan Islam adalah matlamat yang perlu disedari dan dicapai oleh sekalian umat Islam. Bermula pada era kejatuhan khilafah lagi pada tahun 1924, umat Islam masih lemah dan mundur untuk bangkit semula menguasai pemerintahan dunia. Ianya memerlukan kesedaran serta perjuangan yang lama untuk menjadikan Islam kembali berada di atas dan tidak akan ditindas lagi oleh musuh Islam.

Dalam merealisasikan matlamat perjuangan tersebut, tidak dapat tidak ianya melakukan satu gerak kerja yang mampu untuk mencapainya sekalipun susah. Amal yang dilakukan oleh umat Islam pula perlu selari dengan kefahaman dan garis panduan Islam yang betul, supaya ianya tidak lari daripada matlamat yang asal.

Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T banyak menyebut berkaitan dengan kewajiban dan keperluan amal itu sendiri. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

(وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ)
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
(Surah At-Taubah: 105)

Sepertimana berdasarkan ayat tersebut, umat Islam perlu mengetahui akan kewajiban amal itu yang mana menjadi bekalan di akhirat. Dalam surah yang lain Allah S.W.T berfirman:

(إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ)
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah Al-Asr: 3)

Di dalam ayat ini menjadi pengecualian kepada orang-orang yang melakukan amal soleh daripada jatuh kepada kerugian dan kebinasaan. Islam bukan hanya agama yang berdasarkan teori semata-mata,oleh sebab itu, angan-angan untuk melihat kemenangan Islam bukan terhasil daripada percakapan dan omong kosong yang hanya melihat dari jauh. Sepertimana kata-kata dalam sebuah syair:

لا تكن عبد المنى # فالمنى رؤس أموال المفاليس
Janganlah kamu menjadi hamba angan-angan, sesungguhnya angan-angan adalah modal orang muflis”

Sepertimana kata-kata Syeikh Mustafa Masyhur:

Islam tidak akan tertegak dengan kata-kata.”

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan berkenaan dengan kebangkitan Islam memerlukan amalan dan suluk (ibadah). Antara kata-katanya:

Kebangkitan (Islam) bukanlah kebangkitan daripada sudut pemikiran dan semangat semata-mata. Ianya adalah kebangkitan pemikiran dan semangat yang disertakan dengan kebangkitan dalam beramal dan ibadah dan seterusnya konsisten dengannya (amalan dan ibadah).

Umat Islam yang optimis pada matlamat perjuangan Islam akan berpusu-pusu melakukan amal Islami demi melihat tertegaknya syiar dan syariat Islam di muka bumi Allah ini. Oleh sebab itulah, sejak awal-awal lagi Imam Hassan Al-Banna berusaha agar anggota Ikhwanul Muslimin menjadi seorang yang bekerja dan bukan sebagaiahli teori semata-mata.

Disamping itu juga, perlu diteliti akan kualiti sesuatu gerak kerja tersebut, supaya ianya tersusun dengan perancangan sistematik dan menghasilkan natijah yang baik. Firman Allah S.W.T:

(الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ)
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”
(Surah Al-Mulk : 2)

Kesimpulan yang perlu kita ambil disini ialah kewajipan beramal dalam merealisasikan matlamat perlu diambil cakna oleh seluruh umat Islam. Islam tidak akan tertegak berdasarkan teori semata-mata, maka teori tersebut akan menjadi sempurna sekiranya dipraktikkan dalam kehidupan. Menegakkan Islam bukan sesuatu angan-angan dan omong kosong. Ianya adalah sesuatu yang reality yang dipundakkan kepada seluruh umat Islam.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Blogroll

Blogger news

- Copyright © Portal Pena Dakwah -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -