- Back to Home »
- PERBAHASAN MENGENAI MOGOK LAPAR BANDUAN PALESTIN
Posted by : alifmimra
Khamis, 17 Mei 2012
Mogok
lapar ialah tunjuk perasaan yang dilakukan dengan tidak makan dan minum
selagimana tidak dipenuhi tuntutan yang dikehendaki.
Dalam
isu banduan Palestin yang melancarkan mogok lapar adalah disebabkan kezaliman
yang mereka hadapi oleh tentera Israel dalam menahan mereka dan menindas
mereka. Banduan Palestin melancarkan mogok lapar berhari-hari adalah demi
menunjukkan kepada dunia mengenai keadaan yang mereka hadapi di bawah tahanan tentera
Israel dan ia bertujuan agar Israel melepaskan mereka dan mendapat perhatian
dunia bagi membela mereka.
Kisah
Berkenaan Mogok Lapar
Imam
At-Tabrani meriwayatkan, Saad bin Abi Waqas berkata :
“Aku
adalah seorang lelaki yang taat dan berbuat kebajikan kepada ibuku. Maka
apabila aku telah memasuki Islam, ibuku (tidak memeluk Islam) berkata kepadaku
: Wahai Saad, tinggalkan agamamu (Islam) atau aku tidak akan makan serta minum
sampai mati (jika kamu tidak tinggalkan Islam). Maka ketika itu orang arab akan
memanggil mu ‘pembunuh ibunya’. Lalu aku menjawab dengan tegas : Wahai ibuku,
janganlah kamu berbuat demikian, sesungguhnya aku tidak akan meninggalkan
agamaku ini selama-lamanya. Lalu ibuku tadi tidak makan dan minum. Bahkan
berhari-hari dengan keazaman yang tinggi. Melihat demikian, aku berkata lagi :
Demi Allah, wahai ibuku, jika kamu mempunyai 100 nyawa sekalipun, dan satu
persatu nyawa tersebut tercabut (mati), aku tidak akan tinggalkan agamaku ini.
Jika kamu mahu makan, maka makanlah, maka jika kamu tidak mahu makan, maka kamu
tidak perlu makan. Apabila ibuku melihat ketegasanku sebegitu, lantas dia pun
makan.”
Kisah
di atas merupakan gambaran mogok lapar iaitu ibu kepada Saad bin Abi Waqas
tidak makan dan minum sehinggalah Saad bin Abi Waqas murtad. Ibu beliau
melakukan mogok lapar adalah bertujuan supaya Abi Waqas murtad. Namun atas
keimanan yang kuat dan kefahaman yang jelas, Saad bin Abi Waqas tetap
mempertahankan Islam di samping tidak memusuhi atau memutuskan hubungan dengan
ibunya. Hasil atas ketegasan dan hikmah beliau, ibunya berhenti daripada
melakukan mogok lapar dan Saad bin Abi Waqas tidak lagi diugut untuk murtad
daripada Islam.
Firman
Allah, dalam Surah Luqman pada ayat ke-15 :
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ
عِلْمٌ فَلا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفاً
“Dan sekiranya mereka berdua (ibu bapamu) mendesakmu
untuk kamu mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mengetahui
akannya, maka janganlah engkau taat pada kedua-duanya, dan bergaullah dengan
mereka di dunia dengan cara yang baik”
Hukum
Mogok Lapar Banduan Palestin
Isu
yang berlaku mendapat perhatian dunia apatah lagi ditambah dengan sempena
memperingati 64 tahun tarikh Nakbah Palestin baru-baru ini.
1-
Berkenaan dengan hukum mogok lapar banduan Palestin ini, Dr Yusuf Al-Qardhawi
berfatwa bahawa :
“Harus bagi mereka melakukan mogok lapar kerana ia
satu-satu cara yang mereka mampu dalam berhadapan dengan kezaliman, dan cara
tersebut memberikan tekanan kepada kafir (harbi). Maka setiap apa cara yang
memberikan tekanan kepada musuh kafir adalah perkara yang dipuji oleh syara’
sebagaimana ayat Al-Quran :
“Mereka diibaratkan sebagai pokok tanaman yang
mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya
sehingga ia menjadi kuat lalu ia tegap berdiri di atas pangkal batangnya dengan
keadaan yang mengkagumkan orang yang menanamnya. Allah menjadikan sahabat dan
pengikut Nabi Muhammad SAW kembang biak serta kuat gagah, demikian itu, kerana
Dia hendak menjadikan orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki
dengan kembang biak umat Islam itu.” – Surah Al-Fath : 29
“Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka merasai
dahaga, , penat lelah dan lapar di jalan Allah, dan mereka menjejakkan sesuatu
tempat yang menimbulkan kemarahan orang kafir, dan juga mereka menderita
sesuatu yang mencederakan daripada pihak musuh, semua itu ditulis bagi mereka
pahala amal yang soleh.” – Surah At-Taubah : 120
Maka
cara mogok lapar ini memberikan tekanan dan kemarahan kepada pihak musuh kafir.
Ia menyebabkan suara banduan yang dizalimi tersebut didengari oleh dunia dan
membangkitkan isu mereka ditindas dan dunia akan membantu mereka. Maka ia
merupakan perkara yang disuruh bahkan terpuji, akan tetapi dengan syarat bahawa
mogok lapar tersebut tidak sampai menyebabkan mereka mati. Hal ini demikian
kerana diri mereka bukanlah milik mereka, tetapi milik Allah. Justeru
berdasarkan kepada maksud ayat Al-Quran :
“Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu. Sesungguhnya
Allah amat mengasihani akan kamu.” – Surah An-Nisa’ : 29
2-
Syeikh Faisal Mawlawi, Timbalan Presiden Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah
berkata (no fatwa 1033):
“Harus banduan yang dizalimi (umum tidak hanya kepada
banduan Palestin di dalam tahanan Israel sahaja) melakukan mogok lapar
sekiranya cara ini satu-satu cara bagi menunjukkan hak kemanusiaan mereka
dicabuli dan dizalimi. Namun begitu, perkara tersebut mestilah dijaga dengan
beberapa syarat agar ia tidak bertentangan dengan syariat iaitu :
- Mogok
lapar tersebut tidaklah sehingga menyebabkan mereka mati. Hal ini demikian akan
menyebabkan menyerupai dengan bunuh diri. Hukum bunuh diri adalah haram.
-
Mereka yang melakukan mogok lapar tidak berniat puasa. Hal ini demikian kerana
puasa adalah ibadah. Dan terdapat larangan dalam puasa yang berhari-hari yang
tidak berbuka (Jumhur Ulama mengatakan puasa yang tidak berbuka dan berhari-hari
adalah haram).
3-
Syeikh Soleh Fauzan berfatwa mengenai hukum mogok lapar ialah :
“Hukum orang yang melakukan mogok lapar sehingga dia
mati adalah haram kerana ia dikira sebagai membunuh diri. Adapun jika melakukan
mogok lapar secara bertempoh iaitu tidak sehingga mati, dan dengan cara mogok
lapar tersebut merupakan satu-satunya cara bagi melepaskan diri dari kezaliman
dan memperoleh kembali hak mereka, maka ia adalah dibolehkan.”
Adakah
Mogok Lapar Ialah Membunuh Diri Dan Kebinasaan?
Terdapat
juga beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan mogok lapar kerana berhujahkan
ia merupakan penyebab kepada bunuh diri. Hukum bunuh diri adalah jelas haram
berdasarkan kepada maksud ayat Al-Quran :
“Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu. Sesungguhnya Allah
amat mengasihani akan kamu.” – Surah An-Nisa’ : 29
Dan
mogok diri juga merupakan penyebab kepada kebinasaan diri sebagaimana dalam
larangan Allah dalam ayat Al-Quran yang bermaksud :
“Janganlah kamu mencampak diri kamu ke lembah
kebinasaan” – Surah Al-Baqarah : 195
Jawapan
: Mogok lapar ialah menahan diri daripada makan dan minum selagimana tuntutan
mereka tidak diberikan. Bunuh diri ialah memang cara yang jelas bertujuan
membunuh. Disebabkan itu ulama’ yang menghukumkan harus untuk banduan yang dizalimi
tersebut untuk mogok lapar meletakkan syarat cara mogok lapar tersebut tidak
menyebabkan kematian. Justeru apabila mogok diri yang tidak menyebabkan
kematian bukanlah dinamakan sebagai bunuh diri dan ia terkeluar daripada
larangan ayat Al-Quran tersebut.
Manakala
mogok lapar bukanlah termasuk dalam larangan mencampakkan diri ke lembah
kebinasaan. Hal ini demikian kerana, larangan termasuk adalah ke atas mereka
yang meninggalkan jihad. Ini berdasarkan kepada sebab penurunan ayat tersebut
(Surah Al-Baqarah : 195) :
Imam
At-Tabari meriwayatkan daripada Aslam Abi ‘Amran, beliau berkata :
“Kami di Istanbul, dan umat Islam di Mesir di bawah
pemerintahan Uqbah bin ‘Amir dan umat Islam di Syam di bawah pemerintahan
Fadhalah bin Ubaid. Maka tentera Rom telah datang dengan sekumpulan yang sangat
ramai untuk berhadapan dengan tentera Islam. Sehubungan itu melihat kepada
tentera Rom yang ramai tersebut, terdapat orang yang menjerit : “Kita akan
binasa (kerana ramainya tentera Rom)”. Lalu bangun Abu Ayub Al-Ansori dan berkata
: Wahai manusia, kamu mentakwilkan kebinasaan dalam ayat ke-195 pada surah
Al-Baqarah sebegitu? Sesungguhnya sebab penurunan ayat tersebut berlaku pada
zaman kami dan ke atas kami golongan Ansar, ketika mana Allah telah memuliakan
kami dengan agama-Nya dan harta kami banyak. Terdapat beberapa orang yang
berkata senyap-senyap tanpa pengetahuan baginda SAW bahawa mereka khuatir akan
kehilangan atau kemusnahan harta mereka, disebabkan itu ingin meninggalkan
jihad. Lalu Allah menurunkan ayat tersebut yang mana maksud bagi mencampakkan
diri ke lembah kebinasaan adalah meninggalkan jihad demi menjaga kemewahan
harta.” Disebabkan itulah diriwayatkan bahawa Abu Ayub Al-Ansori akan menyertai
setiap peperangan sehinggalah diwafatkan oleh Allah dan beliau dikebumikan di
Istanbul kerana membenarkan hadis Nabi SAW berkenaan pembukaan Kota Istanbul
akan terlaksana di bawah seorang pemimpin yang terbaik serta tentera yang
terbaik. – Tafsir Ayat Al-Ahkam jilid 1, karangan Syeikh Muhamad Ali As-Sobuni
Justeru,
yang dimaksudkan dengan mencampakkan diri ke lembah kebinasaan ialah
meninggalkan jihad demi kepentingan dunia. Adapun mogok lapar ini sebagaimana
yang diharuskan oleh ulama ialah satu-satu cara yang mampu dilakukan oleh
mereka dalam berjihad iaitu dengan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa
mereka dizalimi. Maka ia terkeluar daripada larangan ayat Al-Quran tersebut.
Kesimpulan
Umat
Islam wajib berjihad dalam apa jua sekalipun mengikut kemampuan mereka. Hal ini
demikian kerana kezaliman wajib dihapuskan dan diperangi.
Mogok
lapar merupakan salah satu cara yang terakhir mampu dilakukan oleh banduan yang
dizalimi bagi menarik perhatian dunia dan memberikan tekanan kepada pihak
musuh.
Ulama
mengharuskan mogok lapar ini dengan menjaga beberapa syarat :
- Jalan
terakhir atau satu-satunya cara bagi melawan kezaliman yang mereka (banduan)
termampu
- Tidak
menyebabkan ke arah kematian.
- Tidak
berniat ketika melakukan mogok tersebut dengan niat puasa.
Wallahu
a’lam
Rujukan
:
1-
Fatawa Min Ajli Falestin,oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
2-
Tafsir Ayat Al-Ahkam, oleh Syeikh Muhamad Ali As-Sobuni, cetakan Dar As-Sobuni
3-
Tafsir Al-Jailani, oleh Syeikh Mahyuddin Abi Muhamad Abdul Qadir Al-Jailani,
cetakan Markaz Al-Jailani Lil Buhuth Al-Ilmiah Istabul
4- Fiqh
Al-Islami Wa Adillatuh, jilid ke-3 oleh Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar
Al-Fikr