Archive for 2015

Ummu Waraqah - Wanita Syahidah

Wanita itu sifatnya lembut, sopan santun dan memiliki segala sifat kewanitaan yang dikurniakan kepada mereka yang merupakan fitrah. Wanita juga memiliki sifat keibuan yang tidak ada pada lelaki. Tugas seorang ibu, isteri adalah suatu posisi yang mulia disisi Allah SWT.

Menelusuri kisah ketokohan wanita sepanjang sejarah Islam, ramai dalam kalangan mereka yang dijadikan inspirasi dan role model oleh para wanita masa kini. Tokoh wanita seperti Saidatina Aisyah R.A, Saidatina Khadijah R.A, Sumayyah, Rabiatul Adawiyah dan ramai lagi patut diangkat ketokohan mereka, yang mana mereka bukan sahaja ditugaskan sebagai ibu, isteri dan sebagainya, malah mereka juga bergelar ilmuwan, mujahidah serta ahli sufi yang cukup hebat.

Salah satu daripada tokoh wanita yang cukup hebat pada zaman Rasulullah ﷺ adalah Ummu Waraqah Binti Abdullah Bin Naufal Al-Ansoriah, yang merupakan wanita ansar yang diberi gelaran As-syahidah.

Kisah Ummu Waraqah yang termaktub di dalam hadis dan sirah Rasulullah ﷺ cukup memberi motivasi kepada kaum wanita pada hari ini. Beliau patut dijadikan contoh bagi wanita untuk menjadi muslimah sejati yang berpegang teguh dengan ajaran agama.

Ummu Waraqah mempunyai semangat jihad dan pengorbanan yang tinggi kepada Islam. Oleh sebab itu, beliau diberi gelaran ‘As-Syahidah’ di atas semangat jihad yang tinggi sepertimana yang dizahirkan oleh beliau. Beliau merupakan seorang wanita yang kuat ibadah, istiqamah dan juga merupakan pengumpul Al-Quran kerana memiliki kekuatan hafalan. Beliau juga antara wanita yang meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk menugaskan di dalam rumahnya seorang mu’azzin, lalu baginda pun mengizinkannya. Baginda juga menugaskan beliau supaya menjadi imam kepada para wanita.

Pada tahun kedua hijrah, sepertimana di dalam hadis Rasulullah ﷺ ketika baginda dan para sahabat bersiap siaga menghadapi peperangan Badar, lalu Ummu Waraqah meminta izin kepada baginda untuk bersama-sama menyertai peperangan Badar. Beliau berkata kepada Rasulullah ﷺ :

يَا رَسُولَ اللَّهِ ائْذَنْ لِي فِي الْغَزْوِ مَعَكَ أُمَرِّضُ مَرْضَاكُمْ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَرْزُقَنِي شَهَادَةً
“Ya Rasulullah, izinkanlah aku berangkat bersama engkau, sehingga aku dapat merawat orang yang sakit di antara kalian, semoga Allah mengurniakanku syahadah (mati syahid).”

Lalu baginda menjawab:

قرى فى بيتك فان الله يرزقك الشهادة
“Tinggallah engkau di rumahmu. Sesungguhnya Allah akan mengurniakan syahid kepadamu”.

Lalu Ummu Waraqah akur dengan kata-kata Rasulullah ﷺ. Namun sabdaan Nabi tidak mematahkan cita-cita beliau untuk syahid pada jalanNya. Maka jadilah teratak beliau sebagai rumah ibadah demi mencapai cita-cita yang diimpikan hasil daripada saranan Rasulullah. Di rumah itulah, beliau menjadikan sebagai rumah ibadah dengan beliau sebagai Imam kepada para wanita. Di rumah itu jugalah sebagai medan ilmu lebih-lebih lagi dalam memahami Al-Quran.

Ummu Waraqah memiliki dua orang hamba yang mana seorang hamba lelaki (ghulam) dan seorang hamba perempuan (jariyah). Ummu Waraqah yang mempunyai keperibadian yang mulia itu telah berjanji untuk membebaskan mereka apabila beliau meninggal dunia.

Suatu hari pada zaman kepimpinan Saidina Umar R.A, kedua-dua hambanya itu telah melakukan perbuatan khianat dengan membunuh Ummu Waraqah lalu membiarkan jenazahnya di rumah lantas melarikan diri.

Saidina Umar R.A seperti merasa sesuatu yang tidak kena kepada Ummu Waraqah lalu menyatakan:

والله ما سمعت قراءة خالتي أم ورقة البارحة
“Demi Allah, aku tidak mendengar suara bacaan Al-Quran daripada Ummu Waraqah semalam.”

Merasa kejanggalan ini, lalu Umar memasuki rumahnya dan melihat Ummu Waraqah tiada di rumah. Lantas memasuki biliknya, melihat sekujur tubuh berbungkus dengan kain di tepi rumahnya.

Lalu kata Umar:

صدق رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يقول: انطلقوا نزور الشهيدة
“Benarlah sabdaan Rasulullah ﷺ yang menyatakan: ‘Mari bersama mengunjungi wanita syahid.’”

Allahuakbar! Sabdaan Rasulullah ﷺ kepada Ummu Waraqah akan kurniaan syahid kepada beliau merupakan suatu perkara yang benar. Dengan tegas, Saidina Umar mencari dua orang hamba yang membunuhnya lalu memberikan hukuman kepada mereka berdua.

Kesungguhan Ummu Waraqah untuk syahid pada jalanNya akhirnya tercapai seperti yang dijanjikan. Walaupun tidak menjejakkan kaki ke medan peperangan untuk mencapai syahid, cukuplah beliau syahid dengan kesungguhan beliau menjadi ahli ibadah yang tekun, pendidik, penjaga Al-Quran dan hamba yang taat.


Wallahua’lam.
Isnin, 21 Disember 2015
Posted by alifmimra

Bagaimana Rasulullah ﷺ Menyempurnakan Akhlak yang Mulia?

Ramai orang menganggap akhlak yang baik, cantik, molek, mulia itu hanya dispesifikkan kepada berapa akhlak yang dipandang baik dan sejuk di pandangan orang lain. Seperti penyayang, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Namun kita tidak menerokai kesemua akhlak yang mulia disisi Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran Al-Karim.
Rasulullah adalah role model utama kepada umat Islam yang mempunyai akhlak yang paling sempurna. Allah SWT memuji ketinggian akhlak Rasulullah di dalam Al-Quran :

                                                                (وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ)
"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia."

[Surat Al-Qalam : 4]

Para Nabi-nabi yang sebelumnya juga disifatkan dengan sifat-sifat akhlak yang terpuji, tetapi mengapa Allah SWT menggunakan kalimah 'azim satu-satunya kepada Nabi Muhammad ? Apakah rahsia disebaliknya?

Perkataan 'azim menunjukan kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda. Bukan sahaja sempurna dengan sifat penyayang, pemurah, pemaaf , lemah lembut dan sewaktu dengannya, akan tetapi Rasulullah juga seorang yang berani, tegas dalam menegakkan hak, sanggup berkorban, amanah, setia dengan janji dan banyak lagi kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda.

Segala apa yang disifatkan dalam Al-Quran merupakan akhlak Rasulullah sepertimana apa yang disebut di dalam hadis apabila Saiditina Aisyah RA apabila ditanya tentang akhlak baginda :

ﻛَﺎﻥَ ﺧُﻠُﻘُﻪُ ﺍﻟْﻘُﺮْﺁﻥَ
“Akhlak beliau adalah Al-Quran."

Umat Islam perlu juga mengetahui bahawasanya akhlak baginda Nabi Muhammad adalah akhlak yang menyempurnakan akhlak manusia yang telah sedia ada. Kerana manusia itu secara fitrahnya mempunyai naluri dan akhlak asasi yang baik. Cuma ia tidak diacukan dengan acuan yang sebenar. Sabda Rasulullah :

إنما بعثت ﻹتمم مكارم اﻷخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

Secara asasnya, manusia itu sifatnya penyayang dan pemaaf. Namun jika menurut Islam penyayang dan penyabar itu apabila terpesong daripada dasar Islam, maka nilai akhlak tersebut akan tertolak.

Seperti seseorang lelaki menyayangi wanita yang bukan mahram sehingga bisa mencetuskan perbuatan zina. Juga memaafkan kafir harbi yang memerangi orang Islam.
Seperti contoh seruan Rasulullah untuk merotan anak yang tidak solat apabila masuk umur 10 tahun. Apa yang digagaskan dalam undang-undang hak asasi manusia bahawa orang dewasa tidak dibenarkan mencederakan kanak-kanak secara hakikat menghakis kefahaman umat Islam terhadap seruan Rasulullah ini.

Akhlak seorang ibu atau bapa perlu tegas dalam mendidik lebih-lebih lagi dalam menyeru ke arah dasar Islam kepada anaknya iaitu solat. Maka perkara itu menyempurnakannya, kerana akhlak yang tidak mulia apabila membiarkan anak tidak mendirikan solat yang merupakan tiang agama.

Oleh sebab itu, dalam mencontohi Rasulullah perlu kita ambil keseluruhan akhlak baginda. Bukan mengambil sebahagian akhlak yang mudah diadaptasi dan meninggalkan akhlak yang sukar untuk dilaksanakan.


Moga-moga kecintaan kita pada Rasulullah semakin menebal pada bulan Ramadan ini. Wallahua’lam. 
Jumaat, 26 Jun 2015
Posted by alifmimra

Denda Diri Jika Anda Lalai!

Konsep 'muaqabah' dalam mendidik jiwa seorang muslim perlu dijadikan panduan. Muaqabah atau iqab bermaksud menghukum(denda) diri dengan sesuatu perkara yang diharuskan (syarak) demi memperelokkan amalan harian dan peringatan supaya menjauhi maksiat agar ia bertambahbaik pada masa akan datang.

Para salafussoleh juga pernah melakukan perkara ini. Antara kisah yang masyhur adalah apa yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Farouq R.A. Pernah suatu ketika, beliau leka dengan keindahan kebun tanamannya sehingga terlepas solat asar berjemaah. Lantas, menghukum diri beliau menjual seluruh perusahaan kebunnya untuk diberikan kepada orang miskin.

إنما خرجت إلى حائطي، ورجعت وقد صلى الناس العصر، حائطي صدقة على المساكين
"Aku telah keluar dari kebunku, sekembalinya aku (tempat solat), semua orang telah selesai mengerjakan solat asar, (maka) aku sedekahkan kebunku kepada orang miskin."

Hebat para salafussoleh menghukum diri mereka hanya kerana tertinggal sesuatu amalan yang besar. Bagaimana pula kita?

Mungkin kita juga boleh mempraktikkannya. Cuba hukum diri kita tika mana kelalaian dalam amal ibadah dengan bersedekah RM50 kepada faqir miskin, menghafal satu potong matan hadis atau apa jua cara selagi mana tidak memudharatkan diri kita dan orang lain.


Selamat beramal!
Khamis, 25 Jun 2015
Posted by alifmimra

Ramadan Bulan Jihad, Ambil Semangat Pengorbanan Para Sahabat

Penderitaan sahabat Rasulullah ketika mula dakwah secara terang-terangan cukup memberi pengajaran kepada kita. Firman Allah SWT :

(فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ)

"Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu."

(Surah Al-Hijr : 94)

Kesungguhan sahabat seperti Saidina Bilal Bin Rabah R.A mempertahankan tunjang akidah sekalipun didera dengan pelbagai cara menunjukkan hebatnya mereka hasil tarbiah Murabbi Agung, Rasulullah .

Berlainan pula dengan pengorbanan Saidina Ammar Bin Yasir R.A apabila luruh hatinya mendapat tahu syahidnya kedua ibu bapa beliau. Didera dan diseksa, namun dengan keringanan, beliau dipaksa untuk melafazkan kata-kata kufur demi maslahah yang mendatang demi perjuangan. Sedang kata-kata kufur itu tidak dipasakkan di dalam hatinya yang telah pun ditanam dengan akidah dan keimanan.

Namun hakikatnya, kedua-dua situasi para sahabat yang diseksa itu sama jalan perjuangannya. Namun, seafdhalnya adalah apa yang dilakukan oleh Bilal R.A. Namun tidak salah untuk melafazkan kata-kata kufur apabila situasi memaksa dengan tekanan dan ugutan bunuh atau apa jua yang mengancamnya tetapi dengan syarat menafikannya dalam hati. (Panjang perbahasannya)

Firman Allah SWT :

(مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ)

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”

(Surah An-Nahl : 106)

Itulah kehebatan para sahabat Rasulullah yang mendapat tarbiah secara langsung daripa baginda. Mujahadah dan pengorbanan perlu ditanam dalam diri umat Islam pada hari ini, lebih-lebih lagi kepada agama Islam yang tinggi.

Di bulan Ramadan ini, tanamkan tekad dan keazaman untuk menjadi seorang mujahid yang sanggup berkorban. Kerana ulamak pernah berkata:

لا جهاد إلا بالتضحية

"Tiada jihad tanpa pengorbanan.”


Ramadan bulan jihad, bulan tarbiah. Wallahua'lam.
Posted by alifmimra

Kemerdekaan Perjuangan Para Ulamak Yang Dilupakan

Agenda Penjajahan
Penjajahan atau penguasaan ke atas negara umat Islam pada sekitar abad ke-15 dan 16 Masihi adalah suatu bentuk penyebaran agenda jahat kaum kuffar. Mereka meneruskan penguasaan melalui peperangan salib, penerokaan tanah dan memonopoli ekonomi di negara umat Islam adalah merupakan langkah-langkah dalam menyebarluaskan ideologi jahat mereka semata-mata untuk menguasai dunia mengikut hawa nafsu mereka.

Kuasa-kuasa barat iaitu British, Perancis, Belanda, Jerman, Portugis, Sepanyol dan Itali merupakan kuasa besar Eropah yang tekad dalam melakukan perkara sedemikian. Mereka yang pada asalnya mundur pada zaman kegelapan, akhirnya bangun demi untuk memerangi agama Islam dan cuba merasuk pemikiran umat Islam dengan pemikiran yang sesat. Firman Allah S.W.T:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)….”
(Surah Al-Baqarah : 120)

Sifat dengki mereka terhadap Islam sudah terpasak di dalam jiwa mereka sehingga melakukan perancangan untuk menghancurkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam senario penjajahan dan penguasaan ini, mereka terlalu ghairah dalam menguasai Negara-negara di sekitar rantau Asia, Afrika dan Amerika khususnya demi memajukan Negara mereka sendiri. Memonopoli ekonomi adalah satu cara mereka dalam memulakan penjajahan.  Sejarah telah membuktikan bahawa pada abad ke 17 hingga 19 masihi, kebanyakan pedagang-pedagang Eropah yang melakukan pelayaran bagi meneroka dan meninjau hasil kekayaan bumi yang ada pada bumi yang ingin dijajah. Mereka berhasrat untuk mendapatkan bahan mentah seperti bijih timah, rempah ratus, kapas, minyak dan sebagainya. Oleh sebab itu, mereka melakukan pelayaran dengan bermatlamatkan 3G iaitu ‘God, Gold, Glory’.

Perkataan ‘god’ merujuk kepada ketuhanan yang member makna penyebaran agama kristian apatah lagi agama yang bersaing dengan Islam, perkataan ‘gold’ pula merujuk kepada emas yang memberi makna menghimpun kekayaan dan perkataan ‘glory’ pula merujuk kepada kemegahan atau yang lebih tepat kehebatan sesebuah kuasa dalam menyebarluaskan jajahan mereka.

Dari sudut luaran, kita dapat memerhati, kuasa-kuasa imperialis ini saling bersaing di antara satu sama lain demi mencapai cita-cita yang mereka idamkan. Namu hakikatnya, mereka ini akan bersatu demi untuk menghancurkan agama Islam yang murni.

Kesedaran Untuk Berjihad Mempertahankan Agama Dan Tanah Air
Agama Islam merupakan agama yang syumul dan lengkap merangkumi seluruh aspek kehidupan sama ada dari sudut politik, ekonomi, social dan lain-lain yang mana telah diterjemahkan sejak zaman Rasulullah S.A.W dan kerajaan-kerajaan Islam selepasnya. Maka oleh sebab itu, dalam menterjemahkan kesyumulan Islam tersebut, tidak dapat tidak ianya bersangkut paut dengan perjuangan menegakkan dan mempertahankan agama Islam daripada diperkotak-katikkan oleh pihak lain. Melihat kepada susur galur perjalanan dan perkembangan Islam itu sendiri daripada generasi ke generasi, Islam seringkali diancam dan ditentang oleh pihak musuh yang tidak redha dengan agama yang diwahyukan oleh Allah S.W.T.

Oleh sebab itu, umat Islam sendiri dituntut untuk berjihad bagi membentengi agama daripada ditindas oleh puak kuffar, malah kewajipannya berterusan hingga ke akhir zaman. Sabda Nabi S.A.W:

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah S.A.W bersabda: "Barangsiapa mati, sedang ia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, ia mati dalam satu cabang kemunafikan."
(Hadith Riwayat Muslim)

Masyarakat sering dimomokkan dengan perkataan jihad yang dianggap sebagi satu keganasan. Momokan ini bukan sahaja terkena kepada orang bukan Islam, malah ada dikalangan masyarakat Islam sendiri meragui akan tuntutan jihad yang termaktub di dalam Al-Quran. Namun pada hakikatnya, ia bukanlah seperti yang disangkakan kerana ianya cukup murni sekiranya bertepatan dengan kehendak syarak. Misi utama jihad peperangan ini adalah untuk meruntuhkan kekufuran yang melata di atas muka, menentang kesyirikan dan menegakkan kalimah tauhid. Sepertimana firman Allah Taala di dalam Al-Quran:

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Baqarah : 193)

Bukanlah matlamat jihad peperangan ini memaksa penganut agama lain untuk beriman dengan Islam sebagaimana yang dituduh oleh para orientalis yang mengatakan “Islam tersebar dengan mata pedang.” Matlamat yang utama adalah untuk meleraikan rantai pemikiran jahiliah yang membelenggu kehidupan manusia. Sepertimana kata-kata Rubaie’ Bin Amir ketika mana diutuskan untuk menghadapi Panglima perang Parsi yang bernama Rustum pada peperangan Al-Qadisiyyah:

"Allah mengutuskan kami untuk membebaskan dunia penghambaan sesama hamba kepada penghambaan diri kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada kelapangannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Dia utuskan kami agamanya untuk kami mengajak manusia kepadanya. Sesiapa yang menerimanya kami menerimanya dan kami kembali darinya. Sesiapa yang enggan kami peranginya sehingga kami kembali kepada janji Allah Taala (sama ada mati syahid ataupun mencapai kemenangan)."

Pada era tersebut, jelas terbukti bahawa penjajah menzalimi dan menindas umat Islam. Mereka melakukan kezaliman dan memungut hasil bumi umat Islam seolah-olah mereka merupakan raja yang tidak bisa dihalang oleh orang lain. Antara bentuk penindasan yang dilakukan oleh penjajah ketika itu ialah:
- Mengenakan cukai yang tinggi kepada umat Islam
- Memperhambakan umat Islam sepertimana yang berlaku di Negara Afrika
- Mencabuli syariat Islam
- Memecahbelahkan umat Islam mengikut kawasan jajahan

Oleh sebab itu, umat Islam pada era tersebut  mempunyai kesedaran dalam mempertahankan hak mereka dan bertanggungjawab menghalau penjajah daripada tanah yang mereka cintai serta menjaga maslahah demi kepentingan generasi akan datang.

Ulamak Membakar Semangat Perjuangan Menentang Penjajah
Apabila kita mengkaji sejarah  perjuangan membebaskan tanah air dan penentangan terhadap penjajah, kita pasti akan mengenalpasti akan watak-watak yang terlibat didalam memperjuangkan perkara tersebut. Apabila kita memerhati satu demi satu sejarah Negara yang dijajah, golongan ulamak mempunyai peranan yang cukup besar dalam memimpin kebangkitan rakyat membebaskan tanah air mereka. Ulamak pada era tersebut menjadi tunjang yang kukuh dalam membangkit semangat penentangan dan memahamkan rakyat akan kepentingan mereka dalam perjuangan tersebut. Ulamak yang sudah pasti memahami sumber perundangan Islam dan mengetahui perkara yang dituntut di dalam Islam supaya mempertahankan agama dan tanah air. Mereka adalah golongan yang takutkan Allah dan cintakan agama Islam yang dibawa daripada zaman Rasulullah S.A.W. Firman Allah S.W.T:

“Hanya yang takutkan Allah di kalangan hamba-hambaNya adalah Ulamak“
( Surah Faathir : 28 )

Sabda Nabi S.A.W:
“Dan sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris Nabi-nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham dan mereka hanya mewariskan ilmu, maka siapa-siapa yang mengambilnya berarti dia telah mengambil bahagian yang sempurna”.         
(Riwayat Ibn Majah, Tirmizi dan Imam Ahmad)

Sekilas Tentang Perjuangan Para Ulamak
1) Syeikh Jamaluddin Al-Afghani
Syeikh Jamaluddin Al-Afghani dilahirkan di Hamzan Iran namun berbangsa Afghanistan sebagaimana gelaran pada nama beliau. Beliau adalah seorang ulamak yang mencetuskan idea Pas-Islamisme yang mana menjadi satu fenomena kepada perjuangan umat Islam pada abad 19 dan awal abad 20 di seluruh dunia. Beliau yang bijak dan hebat berpidato lantang dalam membangkitkan semangat serta kesedaran untuk menentang penjajah. Lantaran itu, beliau telah mendekam ke dalam penjara dan berhijrah ke Mesir setelah mana dibebaskan. Di Mesir, beliau kembali berjuang dalam membangkitkan semangat umat Islam dalam menentang dan sempat mengkaderkan seorang anak murid beliau, iaitu Syeikh Muhammad Abduh yang juga merupakan ulamak tersohor di Mesir.

2) Syeikh Izzudin Al-Qassam ( Palestin )
Palestin adalah sebuah Negara yang diidam-idamkan oleh pihak musuh. Ianya menjadi lambing kepada kebangkitan umat Islam di seluruh dunia. Justerus, kebangkitan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah airnya didorong dan didukung oleh para ulamak yang cintakan keadilan. Syeikh Izzudin Al-Qassam adalah seorang ulamak yang tidak asing daripada sejarah Palestin. Beliau dilahirkan pada tahun 1882 M di Jabalah, Syria yang datang dari keluarga yang kuat berpegang kepada Islam. Dia pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun dan di sana dia belajar daripada tokoh terkenal, Sheikh Muhammad Abduh.

Penglibatan beliau dalam gerakan jihad sangat memberi kesan dan ancaman kepada pihak musuh, iaitu yahudi dan British. Beliau berhijrah ke Palestin sebagai mujahid kerana dia benar-benar memahami rancangan jahat yahudi yang mengerikan yang telah dibuat oleh Gerakan Zionis untuk mendirikan Negara yahudi. Beliau kemudiannya mengisytiharkan jihad kepada rakyat Palestin untuk bersama-sama menentang penjajah dan mempertahankan tanah Palestin daripada cengkaman musuh. Beliau akhirnya gugur syahid pada pertempuran di Ya’bad pada tahun 20 November 1935 dan namanya diabadikan sebagai sebuah sayap ketenteraan bagi gerakan Islam di Palestin.

3) Hassan Al-Banna dan terbitnya IM ( Mesir)
Gerakan Islam IM adalah salah satu cabang kebangkitan umat Islam dalam menentang penjajahan. Gerakan yang dipimpin oleh seorang ulamak mujaddid dan mujahid iaitu As-syahid Imam Hassan Al-Banna ini telah menyemarakkan obor jihad yang bukan sahaja di Mesir Menyemarakkn obor jihad yang bukan sahaja di Mesir malah tersebar ke seantero dunia pada era tersebut. Pada tahun 1946, IM telah mengisytiharkan penentangan terhadap tentera Bristish yang menduduki Mesir. Dalam masa yang sama, berbondong-bondong pemuda gerakan ini berhijrah ke Palestin untuk menentang penjajahan Yahudi dan British.

Gerakan yang mempunyai tujuan yang tinggi dalam mengembalikan khilafah ini ditentang habis-habisan oleh rejim Mesir, penjajahan Barat dan entity haram Israel. Konspirasi ketiga-tiga pihak ini kemudiannya membuat perancangan jahat untuk membunuh Imam Al-Banna dan akhirnya beliau terkorban pada 12 Februari 1949 di Ramsis, Kaherah. Kematian beliau bukan bermakna terhentinya perjuangan mereka bahkan ianya menjadi batu loncantan kepada survival perjuangan mereka hingga ke hari ini.

4) Syeikh Umar Al-Mukhtar (Libya)
Syeikh Umar Al-Mukhtar merupakan ulamak dan tokoh jihad dalam penentangan terhadap penjajah di bumi Libya. Kisahnya yang diabadikan di dalam sebuah filem yang berjudul ‘The Lion Of Dessert’ itu menjadi gambaran perjuangan agung umat Islam di Libya. Syeikh Umar Al-Mukhtar seorang ulamak yang warak dan dilantik untuk memimpin para mujahidin menentang penjajahan Itali. Beliau menggerakkan angkatan pembela tanah air Islam dan mengintip segala pergerakan pihak musuh. Beliau yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam strategi peperangan di padang pasir yang digeruni oleh pihak penjajah Itali. Pada 11 September 1931, Syeikh Umar Al-Mukhtar ditawan oleh pihak musuh dan akhirnya syahid di jalanNya.

5) Imam Diponegro (Jawa, Indonesia)
Mengikut sejarah, Indonesia adalah sebuah negara yang dijajah oleh Belanda dan mendapat tentangan oleh umat Islam ketika itu. Penentangan yang pertama yang dilakukan oleh umat Islam terhadap penjajah Belanda adalah pada Perang Jawa pada sekitar tahun 1825 M sehingga 1830 M. Umat Islam ketika itu dipimpin oleh seorang ulamak yang berdarah raja iaitu Imam Diponegro. Bukan beliau sahaja ulamak yang menghadapi penentangan tersebut, malah didorong dan didukungi oleh ramai para ulamak dibelakangnya seperti Kiyai Mojo, Kiyai Kasan Basri, Kiyai Ghazali dan ramai lagi.

6) Syeikh Ahmad Al-Fathani ( Pattani )
Syeikh Ahmad Al-Fathani atau nama sebenarnya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al Fathani merupakan tokoh ulamak yang menggerakkan perjuangan umat Islam mencapai kemerdekaan tanah Melayu. Beliau merupakan anak Melayu berdarah Pattani yang mana merupakan Negara Islam yang ditawan oleh kerajaan Siam. Syeikh Ahmad Al-Fathani menuntut ilmu di Mekah dan pernah menuntut di bumi Al-Azhar. Syeikh Ahmad Al-Fathani menggerakkan gerakan untuk mencapai kemerdekaan tanah Melayu. Beliau merupakan tokoh yang menuguhkan air dan menentang penjajah.

Jam'iyyah Fathaniah pada tahun 1873 di Mekah bagi melahirkan pejuang-pejuang Melayu untuk pulang ke tanah Antara anak murid beliau ialah Tok Kenali (Kelantan), Syeikh al Hadi (penerbit Majalah al Imam), Syeikh Ali Kelana Riau (pemimpi Riau dan juga seorang ulamak) dan ramai lagi.

7) Haji Abdul Rahman Limbong (Terengganu, Malaysia)
Nama sebenar beliau adalah Haji Abdul Rahman Bin Abdul Hamid, beliaulah yang banyak memberi corak agama dalam pemberontakan agama di Terengganu. Abdul Rahman Limbong telah berguru kepada banyak tokoh agama antaranya Tok Ku Paloh. Kemudian beliau mengajar di suraunya di Jonggok Tong Beladau dan dengan kematian gurunya, Tok Ku Paloh, beliau mengajar di surau Sayyid Saggaf. Di antara teks pengajarannya adalah kitab-kitab tasawwuf karangan Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani seperti Siyar As-salikin dan Hikayat As-Salikin dan banyak lagi.
           
Ketika pemberontakan yang dilakukan oleh beliau bersama rakan seperjuangannya pada tahun 1928, tentera British telah mengerahkan rejimnya untuk memburu beliau dan pengikutnya. Dengan fakta, kumpulan tersebut mengibarkan bendera kerajaan Khilafah Islamiyah bagi menyemarakkan semangat penentangan terhadap penjajah. Akhirnya beliau ditangkap dan dibuang negeri ke Mekah.

Resolusi
Perjuangan yang dilakukan oleh golongan pada pra kemerdekaan yang lalu sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada kita akan peri pentingnya peranan ulamak dalam kehidupan. Golongan ulamak yang dimaksudkan di sini ialah manusia yang takut akan Allah S.W.T dan sanggup mati dalam memperjuangkan kebenaran. Justeru, dengan sejarah yang dirungkaikan ini, pasti akan memberikan kesedaran kepada kita di dalam memperjuangkan bertunjangkan aqidah yang dipimpin oleh para ulamak.


“Nukilan, Warna PMRAM 2014”
Isnin, 9 Mac 2015
Posted by alifmimra

Popular Post

Blogroll

Blogger news

- Copyright © Portal Pena Dakwah -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -