Archive for Mac 2015
Kemerdekaan Perjuangan Para Ulamak Yang Dilupakan
Agenda Penjajahan
Penjajahan atau penguasaan ke atas negara umat
Islam pada sekitar abad ke-15 dan 16 Masihi adalah suatu bentuk penyebaran
agenda jahat kaum kuffar. Mereka meneruskan penguasaan melalui peperangan
salib, penerokaan tanah dan memonopoli ekonomi di negara umat Islam adalah
merupakan langkah-langkah dalam menyebarluaskan ideologi jahat mereka
semata-mata untuk menguasai dunia mengikut hawa nafsu mereka.
Kuasa-kuasa barat iaitu British, Perancis,
Belanda, Jerman, Portugis, Sepanyol dan Itali merupakan kuasa besar Eropah yang
tekad dalam melakukan perkara sedemikian. Mereka yang pada asalnya mundur pada
zaman kegelapan, akhirnya bangun demi untuk memerangi agama Islam dan cuba
merasuk pemikiran umat Islam dengan pemikiran yang sesat. Firman Allah S.W.T:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak
sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau
menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)….”
(Surah Al-Baqarah :
120)
Sifat dengki mereka terhadap Islam sudah
terpasak di dalam jiwa mereka sehingga melakukan perancangan untuk
menghancurkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Dalam senario penjajahan dan penguasaan ini,
mereka terlalu ghairah dalam menguasai Negara-negara di sekitar rantau Asia,
Afrika dan Amerika khususnya demi memajukan Negara mereka sendiri. Memonopoli
ekonomi adalah satu cara mereka dalam memulakan penjajahan. Sejarah telah membuktikan bahawa pada abad ke
17 hingga 19 masihi, kebanyakan pedagang-pedagang Eropah yang melakukan
pelayaran bagi meneroka dan meninjau hasil kekayaan bumi yang ada pada bumi
yang ingin dijajah. Mereka berhasrat untuk mendapatkan bahan mentah seperti
bijih timah, rempah ratus, kapas, minyak dan sebagainya. Oleh sebab itu, mereka
melakukan pelayaran dengan bermatlamatkan 3G iaitu ‘God, Gold, Glory’.
Perkataan ‘god’ merujuk kepada ketuhanan yang
member makna penyebaran agama kristian apatah lagi agama yang bersaing dengan
Islam, perkataan ‘gold’ pula merujuk kepada emas yang memberi makna menghimpun
kekayaan dan perkataan ‘glory’ pula merujuk kepada kemegahan atau yang lebih
tepat kehebatan sesebuah kuasa dalam menyebarluaskan jajahan mereka.
Dari sudut luaran, kita dapat memerhati,
kuasa-kuasa imperialis ini saling bersaing di antara satu sama lain demi
mencapai cita-cita yang mereka idamkan. Namu hakikatnya, mereka ini akan
bersatu demi untuk menghancurkan agama Islam yang murni.
Kesedaran Untuk Berjihad Mempertahankan Agama
Dan Tanah Air
Agama Islam merupakan agama yang syumul dan
lengkap merangkumi seluruh aspek kehidupan sama ada dari sudut politik,
ekonomi, social dan lain-lain yang mana telah diterjemahkan sejak zaman
Rasulullah S.A.W dan kerajaan-kerajaan Islam selepasnya. Maka oleh sebab itu,
dalam menterjemahkan kesyumulan Islam tersebut, tidak dapat tidak ianya
bersangkut paut dengan perjuangan menegakkan dan mempertahankan agama Islam
daripada diperkotak-katikkan oleh pihak lain. Melihat kepada susur galur
perjalanan dan perkembangan Islam itu sendiri daripada generasi ke generasi,
Islam seringkali diancam dan ditentang oleh pihak musuh yang tidak redha dengan
agama yang diwahyukan oleh Allah S.W.T.
Oleh sebab itu, umat Islam sendiri dituntut
untuk berjihad bagi membentengi agama daripada ditindas oleh puak kuffar, malah
kewajipannya berterusan hingga ke akhir zaman. Sabda Nabi S.A.W:
Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah S.A.W
bersabda: "Barangsiapa mati, sedang ia tidak pernah berjihad dan tidak
mempunyai keinginan untuk jihad, ia mati dalam satu cabang kemunafikan."
(Hadith Riwayat
Muslim)
Masyarakat sering dimomokkan dengan perkataan
jihad yang dianggap sebagi satu keganasan. Momokan ini bukan sahaja terkena
kepada orang bukan Islam, malah ada dikalangan masyarakat Islam sendiri meragui
akan tuntutan jihad yang termaktub di dalam Al-Quran. Namun pada hakikatnya, ia
bukanlah seperti yang disangkakan kerana ianya cukup murni sekiranya bertepatan
dengan kehendak syarak. Misi utama jihad peperangan ini adalah untuk
meruntuhkan kekufuran yang melata di atas muka, menentang kesyirikan dan
menegakkan kalimah tauhid. Sepertimana firman Allah Taala di dalam Al-Quran:
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi
fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian
jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap
orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Baqarah :
193)
Bukanlah matlamat jihad peperangan ini memaksa
penganut agama lain untuk beriman dengan Islam sebagaimana yang dituduh oleh
para orientalis yang mengatakan “Islam tersebar dengan mata pedang.” Matlamat
yang utama adalah untuk meleraikan rantai pemikiran jahiliah yang membelenggu
kehidupan manusia. Sepertimana kata-kata Rubaie’ Bin Amir ketika mana diutuskan
untuk menghadapi Panglima perang Parsi yang bernama Rustum pada peperangan
Al-Qadisiyyah:
"Allah mengutuskan kami untuk membebaskan
dunia penghambaan sesama hamba kepada penghambaan diri kepada Allah, dari
kesempitan dunia kepada kelapangannya, dari kezaliman agama-agama kepada
keadilan Islam. Dia utuskan kami agamanya untuk kami mengajak manusia
kepadanya. Sesiapa yang menerimanya kami menerimanya dan kami kembali darinya.
Sesiapa yang enggan kami peranginya sehingga kami kembali kepada janji Allah
Taala (sama ada mati syahid ataupun mencapai kemenangan)."
Pada era tersebut, jelas terbukti bahawa
penjajah menzalimi dan menindas umat Islam. Mereka melakukan kezaliman dan
memungut hasil bumi umat Islam seolah-olah mereka merupakan raja yang tidak
bisa dihalang oleh orang lain. Antara bentuk penindasan yang dilakukan oleh
penjajah ketika itu ialah:
- Mengenakan cukai yang tinggi kepada umat
Islam
- Memperhambakan umat Islam sepertimana yang
berlaku di Negara Afrika
- Mencabuli syariat Islam
- Memecahbelahkan umat Islam mengikut kawasan
jajahan
Oleh sebab itu, umat Islam pada era tersebut mempunyai kesedaran dalam mempertahankan hak
mereka dan bertanggungjawab menghalau penjajah daripada tanah yang mereka
cintai serta menjaga maslahah demi kepentingan generasi akan datang.
Ulamak Membakar Semangat Perjuangan Menentang
Penjajah
Apabila kita mengkaji sejarah perjuangan membebaskan tanah air dan
penentangan terhadap penjajah, kita pasti akan mengenalpasti akan watak-watak
yang terlibat didalam memperjuangkan perkara tersebut. Apabila kita memerhati
satu demi satu sejarah Negara yang dijajah, golongan ulamak mempunyai peranan
yang cukup besar dalam memimpin kebangkitan rakyat membebaskan tanah air
mereka. Ulamak pada era tersebut menjadi tunjang yang kukuh dalam membangkit
semangat penentangan dan memahamkan rakyat akan kepentingan mereka dalam
perjuangan tersebut. Ulamak yang sudah pasti memahami sumber perundangan Islam
dan mengetahui perkara yang dituntut di dalam Islam supaya mempertahankan agama
dan tanah air. Mereka adalah golongan yang takutkan Allah dan cintakan agama
Islam yang dibawa daripada zaman Rasulullah S.A.W. Firman Allah S.W.T:
“Hanya yang takutkan
Allah di kalangan hamba-hambaNya adalah Ulamak“
( Surah Faathir : 28
)
Sabda Nabi S.A.W:
“Dan sesungguhnya para ulama itu adalah
pewaris Nabi-nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham
dan mereka hanya mewariskan ilmu, maka siapa-siapa yang mengambilnya berarti
dia telah mengambil bahagian yang sempurna”.
(Riwayat Ibn Majah,
Tirmizi dan Imam Ahmad)
Sekilas Tentang Perjuangan Para Ulamak
1) Syeikh Jamaluddin Al-Afghani
Syeikh Jamaluddin Al-Afghani dilahirkan di
Hamzan Iran namun berbangsa Afghanistan sebagaimana gelaran pada nama beliau.
Beliau adalah seorang ulamak yang mencetuskan idea Pas-Islamisme yang mana
menjadi satu fenomena kepada perjuangan umat Islam pada abad 19 dan awal abad
20 di seluruh dunia. Beliau yang bijak dan hebat berpidato lantang dalam
membangkitkan semangat serta kesedaran untuk menentang penjajah. Lantaran itu,
beliau telah mendekam ke dalam penjara dan berhijrah ke Mesir setelah mana
dibebaskan. Di Mesir, beliau kembali berjuang dalam membangkitkan semangat umat
Islam dalam menentang dan sempat mengkaderkan seorang anak murid beliau, iaitu
Syeikh Muhammad Abduh yang juga merupakan ulamak tersohor di Mesir.
2) Syeikh Izzudin Al-Qassam ( Palestin )
Palestin adalah sebuah Negara yang
diidam-idamkan oleh pihak musuh. Ianya menjadi lambing kepada kebangkitan umat
Islam di seluruh dunia. Justerus, kebangkitan rakyat Palestin dalam
mempertahankan tanah airnya didorong dan didukung oleh para ulamak yang
cintakan keadilan. Syeikh Izzudin Al-Qassam adalah seorang ulamak yang tidak
asing daripada sejarah Palestin. Beliau dilahirkan pada tahun 1882 M di
Jabalah, Syria yang datang dari keluarga yang kuat berpegang kepada Islam. Dia
pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun
dan di sana dia belajar daripada tokoh terkenal, Sheikh Muhammad Abduh.
Penglibatan beliau dalam gerakan jihad sangat
memberi kesan dan ancaman kepada pihak musuh, iaitu yahudi dan British. Beliau
berhijrah ke Palestin sebagai mujahid kerana dia benar-benar memahami rancangan
jahat yahudi yang mengerikan yang telah dibuat oleh Gerakan Zionis untuk
mendirikan Negara yahudi. Beliau kemudiannya mengisytiharkan jihad kepada
rakyat Palestin untuk bersama-sama menentang penjajah dan mempertahankan tanah
Palestin daripada cengkaman musuh. Beliau akhirnya gugur syahid pada
pertempuran di Ya’bad pada tahun 20 November 1935 dan namanya diabadikan
sebagai sebuah sayap ketenteraan bagi gerakan Islam di Palestin.
3) Hassan Al-Banna dan terbitnya IM ( Mesir)
Gerakan Islam IM adalah salah satu cabang
kebangkitan umat Islam dalam menentang penjajahan. Gerakan yang dipimpin oleh
seorang ulamak mujaddid dan mujahid iaitu As-syahid Imam Hassan Al-Banna ini
telah menyemarakkan obor jihad yang bukan sahaja di Mesir Menyemarakkn obor
jihad yang bukan sahaja di Mesir malah tersebar ke seantero dunia pada era
tersebut. Pada tahun 1946, IM telah mengisytiharkan penentangan terhadap
tentera Bristish yang menduduki Mesir. Dalam masa yang sama, berbondong-bondong
pemuda gerakan ini berhijrah ke Palestin untuk menentang penjajahan Yahudi dan
British.
Gerakan yang mempunyai tujuan yang tinggi
dalam mengembalikan khilafah ini ditentang habis-habisan oleh rejim Mesir,
penjajahan Barat dan entity haram Israel. Konspirasi ketiga-tiga pihak ini
kemudiannya membuat perancangan jahat untuk membunuh Imam Al-Banna dan akhirnya
beliau terkorban pada 12 Februari 1949 di Ramsis, Kaherah. Kematian beliau
bukan bermakna terhentinya perjuangan mereka bahkan ianya menjadi batu
loncantan kepada survival perjuangan mereka hingga ke hari ini.
4) Syeikh Umar Al-Mukhtar (Libya)
Syeikh Umar Al-Mukhtar merupakan ulamak dan
tokoh jihad dalam penentangan terhadap penjajah di bumi Libya. Kisahnya yang
diabadikan di dalam sebuah filem yang berjudul ‘The Lion Of Dessert’ itu
menjadi gambaran perjuangan agung umat Islam di Libya. Syeikh Umar Al-Mukhtar
seorang ulamak yang warak dan dilantik untuk memimpin para mujahidin menentang
penjajahan Itali. Beliau menggerakkan angkatan pembela tanah air Islam dan
mengintip segala pergerakan pihak musuh. Beliau yang mempunyai ilmu dan
kepakaran dalam strategi peperangan di padang pasir yang digeruni oleh pihak
penjajah Itali. Pada 11 September 1931, Syeikh Umar Al-Mukhtar ditawan oleh
pihak musuh dan akhirnya syahid di jalanNya.
5) Imam Diponegro (Jawa, Indonesia)
Mengikut sejarah, Indonesia adalah sebuah
negara yang dijajah oleh Belanda dan mendapat tentangan oleh umat Islam ketika
itu. Penentangan yang pertama yang dilakukan oleh umat Islam terhadap penjajah
Belanda adalah pada Perang Jawa pada sekitar tahun 1825 M sehingga 1830 M. Umat
Islam ketika itu dipimpin oleh seorang ulamak yang berdarah raja iaitu Imam
Diponegro. Bukan beliau sahaja ulamak yang menghadapi penentangan tersebut,
malah didorong dan didukungi oleh ramai para ulamak dibelakangnya seperti Kiyai
Mojo, Kiyai Kasan Basri, Kiyai Ghazali dan ramai lagi.
6) Syeikh Ahmad Al-Fathani ( Pattani )
Syeikh Ahmad Al-Fathani atau nama sebenarnya
Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al Fathani merupakan tokoh ulamak yang
menggerakkan perjuangan umat Islam mencapai kemerdekaan tanah Melayu. Beliau
merupakan anak Melayu berdarah Pattani yang mana merupakan Negara Islam yang
ditawan oleh kerajaan Siam. Syeikh Ahmad Al-Fathani menuntut ilmu di Mekah dan
pernah menuntut di bumi Al-Azhar. Syeikh Ahmad Al-Fathani menggerakkan gerakan
untuk mencapai kemerdekaan tanah Melayu. Beliau merupakan tokoh yang menuguhkan
air dan menentang penjajah.
Jam'iyyah Fathaniah pada tahun 1873 di Mekah
bagi melahirkan pejuang-pejuang Melayu untuk pulang ke tanah Antara anak murid
beliau ialah Tok Kenali (Kelantan), Syeikh al Hadi (penerbit Majalah al Imam),
Syeikh Ali Kelana Riau (pemimpi Riau dan juga seorang ulamak) dan ramai lagi.
7) Haji Abdul Rahman Limbong (Terengganu,
Malaysia)
Nama sebenar beliau adalah Haji Abdul Rahman
Bin Abdul Hamid, beliaulah yang banyak memberi corak agama dalam pemberontakan
agama di Terengganu. Abdul Rahman Limbong telah berguru kepada banyak tokoh
agama antaranya Tok Ku Paloh. Kemudian beliau mengajar di suraunya di Jonggok
Tong Beladau dan dengan kematian gurunya, Tok Ku Paloh, beliau mengajar di
surau Sayyid Saggaf. Di antara teks pengajarannya adalah kitab-kitab tasawwuf karangan
Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani seperti Siyar As-salikin dan Hikayat As-Salikin
dan banyak lagi.
Ketika pemberontakan yang dilakukan oleh
beliau bersama rakan seperjuangannya pada tahun 1928, tentera British telah
mengerahkan rejimnya untuk memburu beliau dan pengikutnya. Dengan fakta,
kumpulan tersebut mengibarkan bendera kerajaan Khilafah Islamiyah bagi
menyemarakkan semangat penentangan terhadap penjajah. Akhirnya beliau ditangkap
dan dibuang negeri ke Mekah.
Resolusi
Perjuangan yang dilakukan oleh golongan pada
pra kemerdekaan yang lalu sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada kita akan
peri pentingnya peranan ulamak dalam kehidupan. Golongan ulamak yang
dimaksudkan di sini ialah manusia yang takut akan Allah S.W.T dan sanggup mati
dalam memperjuangkan kebenaran. Justeru, dengan sejarah yang dirungkaikan ini,
pasti akan memberikan kesedaran kepada kita di dalam memperjuangkan
bertunjangkan aqidah yang dipimpin oleh para ulamak.
“Nukilan, Warna PMRAM 2014”