Archive for Jun 2015
Bagaimana Rasulullah ﷺ Menyempurnakan Akhlak yang Mulia?
Ramai orang
menganggap akhlak yang baik, cantik, molek, mulia itu hanya dispesifikkan
kepada berapa akhlak yang dipandang baik dan sejuk di pandangan orang lain.
Seperti penyayang, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Namun kita tidak menerokai
kesemua akhlak yang mulia disisi Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran
Al-Karim.
Rasulullah ﷺ
adalah role model utama kepada umat Islam yang mempunyai akhlak yang paling
sempurna. Allah SWT memuji ketinggian akhlak Rasulullah ﷺ di
dalam Al-Quran :
(وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ)
"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai
akhlak yang amat mulia."
[Surat Al-Qalam : 4]
Para Nabi-nabi yang
sebelumnya juga disifatkan dengan sifat-sifat akhlak yang terpuji, tetapi
mengapa Allah SWT menggunakan kalimah 'azim satu-satunya kepada Nabi Muhammad ﷺ?
Apakah rahsia disebaliknya?
Perkataan 'azim
menunjukan kesempurnaan akhlak yang ada pada baginda. Bukan sahaja sempurna
dengan sifat penyayang, pemurah, pemaaf , lemah lembut dan sewaktu dengannya,
akan tetapi Rasulullah ﷺ
juga seorang yang berani, tegas dalam menegakkan hak, sanggup berkorban,
amanah, setia dengan janji dan banyak lagi kesempurnaan akhlak yang ada pada
baginda.
Segala apa yang
disifatkan dalam Al-Quran merupakan akhlak Rasulullah ﷺ
sepertimana apa yang disebut di dalam hadis apabila Saiditina Aisyah RA apabila
ditanya tentang akhlak baginda :
ﻛَﺎﻥَ ﺧُﻠُﻘُﻪُ ﺍﻟْﻘُﺮْﺁﻥَ
“Akhlak beliau adalah Al-Quran."
Umat Islam perlu
juga mengetahui bahawasanya akhlak baginda Nabi Muhammad ﷺ
adalah akhlak yang menyempurnakan akhlak manusia yang telah sedia ada. Kerana
manusia itu secara fitrahnya mempunyai naluri dan akhlak asasi yang baik. Cuma
ia tidak diacukan dengan acuan yang sebenar. Sabda Rasulullah ﷺ :
إنما بعثت ﻹتمم مكارم
اﻷخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia."
Secara asasnya,
manusia itu sifatnya penyayang dan pemaaf. Namun jika menurut Islam penyayang
dan penyabar itu apabila terpesong daripada dasar Islam, maka nilai akhlak
tersebut akan tertolak.
Seperti seseorang
lelaki menyayangi wanita yang bukan mahram sehingga bisa mencetuskan perbuatan
zina. Juga memaafkan kafir harbi yang memerangi orang Islam.
Seperti contoh
seruan Rasulullah ﷺ
untuk merotan anak yang tidak solat apabila masuk umur 10 tahun. Apa yang
digagaskan dalam undang-undang hak asasi manusia bahawa orang dewasa tidak
dibenarkan mencederakan kanak-kanak secara hakikat menghakis kefahaman umat
Islam terhadap seruan Rasulullah ini.
Akhlak seorang ibu
atau bapa perlu tegas dalam mendidik lebih-lebih lagi dalam menyeru ke arah
dasar Islam kepada anaknya iaitu solat. Maka perkara itu menyempurnakannya,
kerana akhlak yang tidak mulia apabila membiarkan anak tidak mendirikan solat
yang merupakan tiang agama.
Oleh sebab itu,
dalam mencontohi Rasulullah ﷺ perlu kita ambil keseluruhan akhlak baginda. Bukan mengambil
sebahagian akhlak yang mudah diadaptasi dan meninggalkan akhlak yang sukar
untuk dilaksanakan.
Moga-moga kecintaan
kita pada Rasulullah ﷺ
semakin menebal pada bulan Ramadan ini. Wallahua’lam.
Denda Diri Jika Anda Lalai!
Konsep 'muaqabah' dalam mendidik jiwa seorang
muslim perlu dijadikan panduan. Muaqabah atau iqab bermaksud menghukum(denda)
diri dengan sesuatu perkara yang diharuskan (syarak) demi memperelokkan amalan
harian dan peringatan supaya menjauhi maksiat agar ia bertambahbaik pada masa
akan datang.
Para salafussoleh juga pernah melakukan
perkara ini. Antara kisah yang masyhur adalah apa yang berlaku kepada Saidina
Umar Al-Farouq R.A. Pernah suatu ketika, beliau leka dengan keindahan kebun
tanamannya sehingga terlepas solat asar berjemaah. Lantas, menghukum diri
beliau menjual seluruh perusahaan kebunnya untuk diberikan kepada orang miskin.
إنما خرجت إلى حائطي، ورجعت وقد صلى الناس العصر، حائطي صدقة على المساكين
"Aku telah keluar dari kebunku,
sekembalinya aku (tempat solat), semua orang telah selesai mengerjakan solat
asar, (maka) aku sedekahkan kebunku kepada orang miskin."
Hebat para salafussoleh menghukum diri mereka
hanya kerana tertinggal sesuatu amalan yang besar. Bagaimana pula kita?
Mungkin kita juga boleh mempraktikkannya. Cuba
hukum diri kita tika mana kelalaian dalam amal ibadah dengan bersedekah RM50
kepada faqir miskin, menghafal satu potong matan hadis atau apa jua cara selagi
mana tidak memudharatkan diri kita dan orang lain.
Selamat beramal!
Ramadan Bulan Jihad, Ambil Semangat Pengorbanan Para Sahabat
Penderitaan sahabat Rasulullah ﷺ ketika mula dakwah secara terang-terangan cukup memberi
pengajaran kepada kita. Firman Allah SWT :
(فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ
عَنِ الْمُشْرِكِينَ)
"Oleh itu, sampaikanlah secara
berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah
engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu."
(Surah Al-Hijr : 94)
Kesungguhan sahabat seperti Saidina Bilal Bin
Rabah R.A mempertahankan tunjang akidah sekalipun didera dengan pelbagai cara
menunjukkan hebatnya mereka hasil tarbiah Murabbi Agung, Rasulullah ﷺ.
Berlainan pula dengan pengorbanan Saidina
Ammar Bin Yasir R.A apabila luruh hatinya mendapat tahu syahidnya kedua ibu
bapa beliau. Didera dan diseksa, namun dengan keringanan, beliau dipaksa untuk
melafazkan kata-kata kufur demi maslahah yang mendatang demi perjuangan. Sedang
kata-kata kufur itu tidak dipasakkan di dalam hatinya yang telah pun ditanam
dengan akidah dan keimanan.
Namun hakikatnya, kedua-dua situasi para
sahabat yang diseksa itu sama jalan perjuangannya. Namun, seafdhalnya adalah
apa yang dilakukan oleh Bilal R.A. Namun tidak salah untuk melafazkan kata-kata
kufur apabila situasi memaksa dengan tekanan dan ugutan bunuh atau apa jua yang
mengancamnya tetapi dengan syarat menafikannya dalam hati. (Panjang
perbahasannya)
Firman Allah SWT :
(مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا
مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ
صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ)
“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia
beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa
(melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi
sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan
dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”
(Surah An-Nahl :
106)
Itulah kehebatan para sahabat Rasulullah ﷺ yang mendapat tarbiah secara langsung daripa baginda. Mujahadah
dan pengorbanan perlu ditanam dalam diri umat Islam pada hari ini, lebih-lebih
lagi kepada agama Islam yang tinggi.
Di bulan Ramadan ini, tanamkan tekad dan
keazaman untuk menjadi seorang mujahid yang sanggup berkorban. Kerana ulamak
pernah berkata:
لا جهاد إلا بالتضحية
"Tiada jihad
tanpa pengorbanan.”
Ramadan bulan jihad, bulan tarbiah.
Wallahua'lam.
Posted by alifmimra