Archive for Disember 2015

Ummu Waraqah - Wanita Syahidah

Wanita itu sifatnya lembut, sopan santun dan memiliki segala sifat kewanitaan yang dikurniakan kepada mereka yang merupakan fitrah. Wanita juga memiliki sifat keibuan yang tidak ada pada lelaki. Tugas seorang ibu, isteri adalah suatu posisi yang mulia disisi Allah SWT.

Menelusuri kisah ketokohan wanita sepanjang sejarah Islam, ramai dalam kalangan mereka yang dijadikan inspirasi dan role model oleh para wanita masa kini. Tokoh wanita seperti Saidatina Aisyah R.A, Saidatina Khadijah R.A, Sumayyah, Rabiatul Adawiyah dan ramai lagi patut diangkat ketokohan mereka, yang mana mereka bukan sahaja ditugaskan sebagai ibu, isteri dan sebagainya, malah mereka juga bergelar ilmuwan, mujahidah serta ahli sufi yang cukup hebat.

Salah satu daripada tokoh wanita yang cukup hebat pada zaman Rasulullah ﷺ adalah Ummu Waraqah Binti Abdullah Bin Naufal Al-Ansoriah, yang merupakan wanita ansar yang diberi gelaran As-syahidah.

Kisah Ummu Waraqah yang termaktub di dalam hadis dan sirah Rasulullah ﷺ cukup memberi motivasi kepada kaum wanita pada hari ini. Beliau patut dijadikan contoh bagi wanita untuk menjadi muslimah sejati yang berpegang teguh dengan ajaran agama.

Ummu Waraqah mempunyai semangat jihad dan pengorbanan yang tinggi kepada Islam. Oleh sebab itu, beliau diberi gelaran ‘As-Syahidah’ di atas semangat jihad yang tinggi sepertimana yang dizahirkan oleh beliau. Beliau merupakan seorang wanita yang kuat ibadah, istiqamah dan juga merupakan pengumpul Al-Quran kerana memiliki kekuatan hafalan. Beliau juga antara wanita yang meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk menugaskan di dalam rumahnya seorang mu’azzin, lalu baginda pun mengizinkannya. Baginda juga menugaskan beliau supaya menjadi imam kepada para wanita.

Pada tahun kedua hijrah, sepertimana di dalam hadis Rasulullah ﷺ ketika baginda dan para sahabat bersiap siaga menghadapi peperangan Badar, lalu Ummu Waraqah meminta izin kepada baginda untuk bersama-sama menyertai peperangan Badar. Beliau berkata kepada Rasulullah ﷺ :

يَا رَسُولَ اللَّهِ ائْذَنْ لِي فِي الْغَزْوِ مَعَكَ أُمَرِّضُ مَرْضَاكُمْ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَرْزُقَنِي شَهَادَةً
“Ya Rasulullah, izinkanlah aku berangkat bersama engkau, sehingga aku dapat merawat orang yang sakit di antara kalian, semoga Allah mengurniakanku syahadah (mati syahid).”

Lalu baginda menjawab:

قرى فى بيتك فان الله يرزقك الشهادة
“Tinggallah engkau di rumahmu. Sesungguhnya Allah akan mengurniakan syahid kepadamu”.

Lalu Ummu Waraqah akur dengan kata-kata Rasulullah ﷺ. Namun sabdaan Nabi tidak mematahkan cita-cita beliau untuk syahid pada jalanNya. Maka jadilah teratak beliau sebagai rumah ibadah demi mencapai cita-cita yang diimpikan hasil daripada saranan Rasulullah. Di rumah itulah, beliau menjadikan sebagai rumah ibadah dengan beliau sebagai Imam kepada para wanita. Di rumah itu jugalah sebagai medan ilmu lebih-lebih lagi dalam memahami Al-Quran.

Ummu Waraqah memiliki dua orang hamba yang mana seorang hamba lelaki (ghulam) dan seorang hamba perempuan (jariyah). Ummu Waraqah yang mempunyai keperibadian yang mulia itu telah berjanji untuk membebaskan mereka apabila beliau meninggal dunia.

Suatu hari pada zaman kepimpinan Saidina Umar R.A, kedua-dua hambanya itu telah melakukan perbuatan khianat dengan membunuh Ummu Waraqah lalu membiarkan jenazahnya di rumah lantas melarikan diri.

Saidina Umar R.A seperti merasa sesuatu yang tidak kena kepada Ummu Waraqah lalu menyatakan:

والله ما سمعت قراءة خالتي أم ورقة البارحة
“Demi Allah, aku tidak mendengar suara bacaan Al-Quran daripada Ummu Waraqah semalam.”

Merasa kejanggalan ini, lalu Umar memasuki rumahnya dan melihat Ummu Waraqah tiada di rumah. Lantas memasuki biliknya, melihat sekujur tubuh berbungkus dengan kain di tepi rumahnya.

Lalu kata Umar:

صدق رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يقول: انطلقوا نزور الشهيدة
“Benarlah sabdaan Rasulullah ﷺ yang menyatakan: ‘Mari bersama mengunjungi wanita syahid.’”

Allahuakbar! Sabdaan Rasulullah ﷺ kepada Ummu Waraqah akan kurniaan syahid kepada beliau merupakan suatu perkara yang benar. Dengan tegas, Saidina Umar mencari dua orang hamba yang membunuhnya lalu memberikan hukuman kepada mereka berdua.

Kesungguhan Ummu Waraqah untuk syahid pada jalanNya akhirnya tercapai seperti yang dijanjikan. Walaupun tidak menjejakkan kaki ke medan peperangan untuk mencapai syahid, cukuplah beliau syahid dengan kesungguhan beliau menjadi ahli ibadah yang tekun, pendidik, penjaga Al-Quran dan hamba yang taat.


Wallahua’lam.
Isnin, 21 Disember 2015
Posted by alifmimra

Popular Post

Blogroll

Blogger news

- Copyright © Portal Pena Dakwah -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -