- Back to Home »
- Adakah Rajab bulan Allah?
Posted by : alifmimra
Selasa, 22 Mei 2012
Benarkah bulan Rajab adalah bulan Allah sebagaimana
didendangkan di dalam ceramah dan khutbah Jumaat oleh sesetengah pendakwah
bahawa ianya dinukilkan daripada hadis nabawy yang berbunyi, ” Rajab bulan
Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.”? Apakah hukum meriwayatkan
dan menyebarkan hadis yang tidak benar daripada ar Rasul sallaLlahu alaihi
wasallam?
Asy Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi menjawab:
Tiada satu pun nas berkenaan bulan Rajab kecuali yang
menjelaskan kemuliaannya sebagai salah satu daripada 4 bulan yang haram ( al
asyhur ul hurum ) sebagaimana di dalam Al Quran ( at Taubah: 36 ) iaitu Rajab,
Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan – bulan haram adalah penuh kelebihan.
Tiada satu pun Tihadis yang sahih warid daripada RasuluLlah
sallaLlahu alaihi wasallam yang menyatakan kelebihan bulan Rajab secara khusus
kecuali satu hadis yang hasan: Bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam
paling banyak berpuasa di bulan Syaaban. Lalu baginda ditanya mengenainya.
Baginda menjawab, ” Ia ( Syaaban )adalah bulan di antara Rajab dan Ramadhan
yang dilalaikan oleh manusia ( kelebihannya ).”
Maka, difahami daripada sabda itu bahawa bulan Rajab
mengandungi kelebihan yang telah jelas diingati berbanding Syaaban.
Adapun hadis, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan
Ramadhan bulan ummatku.”, maka ia adalah
satu hadis yang munkar ( tak dikenali )dandhoif jiddan ( terlalu lemah ),
bahkan kebanyakan ulama hadis menyifatkannya sebagai sebuah hadis maudhu’ (
palsu ).
Tiada harganya daripada sudut ilmiah mahupun ugama.
Demikianlah segala hadis yang diriwayatkan berkaitan bulan
Rajab bahawa sesiapa yang solat sekian maka untuknya sekian dan siapa
beristighfar ( di bulan Rajab ) sekali maka untuknya sekian, maka itu semua
adalah melampau – lampau dan pembohongan ke atas ar Rasul.
Antara tanda nyatanya pendustaan dalam hadis – hadis
tersebut ialah wujudnya perihal kelebihan atau ancaman azab yang melampaui
batas. Para ulama berkata, sesungguhnya janji manis dengan pahala yang besar
atas amalan baik yang kecil dan janji buruk dengan azab yang pedih atas amalan
dosa yang kecil adalah antara tanda bahawa ianya adalah hadis yang dusta dan
palsu.
Ini sebagaimana dendangan periwayatan palsu bahawa baginda
bersabda, “Sesuap yang dimasukkan ke dalam perut orang yang lapar adalah lebih
baik daripada membina seribu buah masjid.”
Hadis – hadis yang diriwayatkan mengenai kelebihan bulan
Rajab adalah daripada kategori ini. Adalah menjadi kewajiban ulama untuk
menyedari kepalsuan hadis – hadis sebegini dan mengingatkan manusia daripadanya.
Telah warid ( datang ) daripada baginda, ” Barang siapa yang
meriwayatkan satu hadis yang dia tahu kebohongannya, maka dia termasuk daripada
kalangan yang berbohong juga.”
Tetapi biasanya seseorang itu tidak tahu bahawa dia sedang
meriwayatkan hadis yang palsu. Justeru adalah menjadi kewajibannya untuk tahu
dan mengambil hadis – hadis daripada sumbernya yang betul.
Di sana terdapat kitab – kitab hadis yang muktamad ( dipegang
) dan terdapat kitab – kitab yang khusus menyatakan mengenai hadis – hadis yang
lemah dan palsu seperti‘al Maqasid al Hasanah’ oleh as Sakhawi, ‘Tamyiz al
Thayyib min al Khabith lima yaduru ‘ala alsinati an nas min al hadith’ oleh Ibn
ad Diba’, ‘Kasyf al khafa wa al ilbas..’ oleh al ‘Ajluni dan banyak lagi yang
sayugia diketahui oleh para khatib dan penceramah ugama.
Mereka mesti menekuninya sehingga tidak lagi meriwayatkan
kecuali hadis – hadis yang dipercayai kesahihannya. Hadis – hadis palsu ini
sebenarnya adalah antara penyakit yang meracuni thaqafah Islamiah kita umat
Islam. Ia tersebar melalui lidah para penceramah, buku – buku dan cakapan awam
sedangkan ia adalah dusta dan anasir perosak dalam agama kita.
Adalah sayugia kita menyucikan dan menjernihkan thaqafah
Islamiah kita daripda hadis – hadis jenis ini.
http://nikabduh.wordpress.com