- Back to Home »
- 4 Fitnah Hari Kiamat : Bagaimana Persediaan Kita?
Posted by : alifmimra
Selasa, 9 Disember 2014
Pendahuluan
Manusia yang telah mengucapkan 2 kalimahsyahadah wajib untuk beriman kepada Allah, paraRasulNya dan segala perkara yang wajib diimanikhususnya perkara-perkara sam’iyyat. FirmanAllah S.W.T:
آمن الرسول بما أنزل إليه من ربه والمؤمنون كل آمن بالله وملائكتهوكتبه ورسله لا نفرق بين أحد من رسله وقالوا سمعنا وأطعنا غفرانكربنا وإليك المصير
“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya berimankepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami,dan kepadaMu jualah tempat kembali".
(Al-Baqarah :285)
Keimanan manusia ada kalanya bertambah dan berkurang. Namun bukanlah bermakna iman tersebut semakin tergelincir ataupun hampir menjadikan manusia hampir kepada kekufuran. Selagi mana manusia tersebut tidak mengingkari perkara yang wajib diimani dalam masa yang sama tidak melakukan perkara yang mensyirikkan Allah, selagi itu iman manusia itu thabit (tetap).
Apa yang dimaksudkan dengan iman bertambah dan berkurang ialah bertambahnya dan berkurangnya ketaatan, amalan dan segala yang berkaitan dengan iman. Oleh sebab itu, iman yang paling sempurna seseorang itu sentiasa bertambah. Itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Firman Allah S.W.T:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
(Surah Al-Anfaal :2)
Imam Ghazali Rahimahullah membahagikan keimanan manusia ini kepada tiga bahagian:
1) Imanul ‘Awam : Manusia yang beriman secara taqlid (mengikut-ikut).
2) Imanul Mutakallimin: Manusia beriman yang mengetahui dalil kewujudan tuhan.
3) Imanul ‘Arifin : Manusia beriman yang mengetahui dalil dan benar-benar yakin dengan kewujudan tuhan serta beramal dengan apa yang diturunkan.
Ketiga-tiga pembahagian ini, Imam Ghazali meletakkan analogi bagi menterjemahkannya:
1) Iman pertama: Seseorang yang mengetahui adanya orang di dalam sebuah bilik.
2) Iman kedua: Seseorang yang mengetahui adanya orang di dalam bilik dengan bukti mendengar suara
3) Iman ketiga: Seseorang yang mengetahui adanya orang di dalam bilik dengan melihat melalui matanya sendiri
Justeru, manusia perlu meningkatkan daya keimanan kepada Allah dan segala perkara yang wajib diimani, supaya kita menggapai keredhaan Allah S.W.T dan tergolong di kalangan orang-orang yang benar beriman.
Hari Kiamat, Rukun Iman Yang Wajib Diimani
Daripada rukun iman yang enam, salah satunya adalah beriman kepada hari kiamat yang merupakan hari bangkitnya setiap makhluk untuk menghadap Allah S.W.T. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T berfirman:
يَوۡمَ نَحۡشُرُ ٱلۡمُتَّقِينَ إِلَى ٱلرَّحۡمَـٰنِ وَفۡدً۬ا O وَنَسُوقُ ٱلۡمُجۡرِمِينَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرۡدً۬ا
“(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk menghadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasukan. Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.”
(Surah Maryam : 85 & 86)
Sesungguhnya, beriman dengan hari kiamat adalah perkara yang wajib diimani bagi umat Islam tanpa keraguan dan ingkar. Allah S.W.T berfirman:
إِنَّ ٱلسَّاعَةَ لَأَتِيَةٌ۬ لَّا رَيۡبَ فِيهَا وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤۡمِنُونَ
Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu).
(Surah Al-Ghafir : 59)
Sekiranya terdapat keraguan pada hati dan fikiran kita akan perkara ini, maka akan mudah untuk menggelincirkan iman dan aqidah kita kepada Allah S.W.T.
Mengenalpasti Fitnah Kiamat yang Berlaku Pada Masa Kini
Terdapat banyak peristiwa di dalam hadis Rasulullah S.A.W yang telah diceritakan berkenaan dengan fitnah hari kiamat. Kesemua peristiwa dan fitnah ini telah pun berlaku pada zaman ini. Namun, kesemua ini sukar untuk dikenalpasti kerana mungkin kita hampir terjebak dengan fitnah tersebut.
Fitnah-fitnah akhir zaman ini perlu untuk dikenalpasti, supaya kita dapat membezakan di antara hak dan batil dan tidak tergolong di kalangan mereka yang bersekongkol dengan fitnah tersebut.
Ketika di zaman Rasulullah S.A.W, ada seorang pemuda yang bertanya tentang bilakah berlakunya hari kiamat. Dengan berhikmah, lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
" مَاذَا أَعْدَدْتَ لَهَا ؟ "
“Apakah persediaan kamu menghadapinya?”
Pada hadis ini, Rasulullah memberikan jawapan yang tepat dan berhikmah kepada lelaki itu. Persoalan yang tidak membuahkan amal adalah suatu perkara yang sia-sia. Persediaan yang dimaksudkan adalah persediaan dalam mengharungi arus fitnah ini dari segi ketahanan aqidah, jiwa dan fizikal. Tidak dapat tidak ianya perlu berteraskan ilmu, supaya umat Islam tidak tenggelam dengan arus ini.
1) Terlerainya Ikatan Islam Satu Demi Satu
Sabda Rasulullah S.A.W:
لتنقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تشبث الناس بالتي تليها، وأولهن نقضا الحكم وآخرهن الصلاة
“Akan terurai ikatan Islam, satu demi satu, disaat terlepas satu ikatan maka manusia berpegang teguh dengan ikatan berikutnya. Maka ikatan yang pertama kali lepas adalah hukum (syari'at) dan pintalan yang terlepas paling akhir adalah solat"
(Hadis Riwayat Ahmad)
Manusia pada hari ini semakin meminggirkan Al-Quran yang diturunkan kepada mereka. Ia adalah wahyu daripada Allah yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W sebagai peringatan dan cara hidup manusia supaya tidak terpesong daripada landasan kebenaran.
Mereka bukan sahaja meminggirkannya, malah menafikan dan menghina hukum Islam dengan tohmahan tidak relevan, tidak masuk akal, jumud, ketinggalan zaman dan sebagainya. Seperti contoh undang-undang jenayah syari’iyyah yang telah lama diketepikan, apabila digantikan dengan undang-undang sivil ciptaan manusia.
Ayat Al-Quran mengenai hukum hudud ialah hukum yang qat’ie yang mana ia wajib untuk diimani dan dilaksanakan. Ia bertujuan menjaga manusia daripada melakukan perkara yang ditegah oleh Allah seperti berzina, minum arak, merompak, mencuri dan sebagainya.
Ikatan pada hukum sepertimana yang disebut oleh Rasulullah S.A.W telah pun terputus malah tidak dilaksanakan pada hari ini. Tidak mustahil akan terlepaslah ikatan yang terakhir iaitu solat. Melihat kemunduran dan kerosakan masyarakat pada hari ini, semestinya berpunca daripada faktor mengabaikan solat. Firman Allah Taala:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ
“...Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar..”
(Surah Al-Ankabuut : 45)
Apabila diteliti berdasarkan kajian peratusan rakyat Malaysia yang tidak solat pada tahun ini mencecah hampir 80%. Melihat kepada peratusan ini menunjukkan masyarakat semakin mengabaikan solat yang merupakan tiang kepada agama. Apabila ikatan terakhir ini terputus, maka akan berlaku kerosakan yang teruk kepada masyarakat dan akan tibalah hari kiamat.
2) Ulamak Semakin Binasa
Ulamak merupakan tunjang kepada ketamadunan dan pembangunan sesebuah masyarakat. Mereka ini dijamin sebagai orang yang benar-benar takut kepada Allah, dan menjadi pewaris kepada para nabi bagi meneruskan perjuangan menegakkan agamaNya.
Allah S.W.T berfirman:
إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْ
“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulamak).”
(Surah Al-Faatir : 28)
Mereka adalah golongan yang dicintai oleh Allah kerana mereka benar-benar beriman dan takut sekiranya melanggar perintah Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W:
الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ
“Ulamak adalah pewaris para nabi.”
(Hadis Riwayat At-Tarmizi)
Mereka merupakan golongan yang menjadi pewaris yang secara rasmi, diiktiraf di dalam hadis sebagai golongan yang menyambung kesinambungan dakwah dan mempertahankan agama daripada sebarang ancaman dan kerosakan pihak musuh Islam.
Namun pada hari ini, manusia meminggirkan mereka, menghina mereka dengan pelbagai cercaan dan sebagainya. Hal keadaan ini telah pun berlaku pada zaman ini seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W:
إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من الناس ، ولكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يترك عالما اتخذ الناس رءوسا جهالا فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu agama langsung daripada hati hamba, tetapi tercabutnya ilmu dengan matinya ulama, sehingga bila tidak ada orang alim, lalu orang-orang mengangkat pemimpin yang bodoh agama, kemudian jika ditanya berkenaan agama, lalu menjawab tanpa ilmu, sehingga mereka sesat dan menyesatkan. "
(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim)
Dalam hadis ini boleh diadaptasikan kepada dua maksud:
i) Allah S.W.T mematikan ulamak sehingga tidak ada yang mampu memimpin masyarakat ke arah kebenaran
ii) Masyarakat meminggirkan para ulamak malah menghina kerana masyarakat sudah tidak berpegang teguh dengan ajaran agama
Fenomena yang sedang berlaku pada hari ini telah pun berlaku. Malah manusia pada hari ini lebih suka untuk mengikut dan terpesona dengan ikutan yang lain melalui pengaruh yang negatif. Maka akan berlakulah kerosakan yang dahsyat kerana pegangan agama sudah tidak tersemat pada dada mereka dek kerana para ulamak dipinggirkan dan dihina.
3) Amanah Hilang Akibat Dikhianati
Manusia merupakan khalifah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mentadbir bumi ini. Allah S.W.T memberikan amanah ini kepada manusia, sekalipun ada di kalangan manusia itu zalim dan jahil. Firman Allah S.W.T:
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَہَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡہَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَـٰنُۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ ظَلُومً۬ا جَهُولاً
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
(Surah Al-Ahzaab : 72)
Sesungguhnya amanah adalah sesuatu bebanan yang perlu digalas oleh manusia, supaya tidak berlaku kerosakan yang amat dahsyat kepada dunia. Walaubagaimanapun, kerosakan tersebut telah pun berlaku sejak daripada penciptaan manusia. Namun pada akhir zaman ini semakin kritikal dek kerana amanah tersebut tidak dilaksanakan dengan sempurna.
Pernah pada suatu hari, Rasulullah duduk bersama para sahabat, lalu datang daripada suatu kaum A’rabiyy (Arab berkulit hitam) bersama menemui Rasulullah. Ketika Rasulullah sedang berkata-kata, dengan pantas salah seorang ‘Arabiyy tersebut bertanya kepada Rasulullah S.A.W:
"متى السَّاعة؟"
“Bilakah hari kiamat?”
Lalu Rasulullah S.A.W membiarkan pertanyaannya dan meneruskan percakapannya. Selesai sahaja percakapan Rasulullah, lalu baginda bertanya:
“"أين أُراه السَّائل عن السَّاعة؟
“Di manakah yang bertanya berkenaan dengan hari kiamat tadi?”
Lantas, lelaki tersebut menyahut pertanyaan baginda, lalu Rasulullah S.A.W pun menjawab:
فإذا ضُيِّعت الأمَانَة فانتظر السَّاعة
“Maka apabila hilang sesuatu amanah, maka tunggulah tibanya hari kiamat..”
Lalu lelaki tersebut bertanya akan bagaimana hilangnya amanah itu. Segera Rasulullah menjawab:
إذا وُسِّد الأمر إلى غير أهله فانتظر السَّاعة
“Jika diserahkan suatu amanah kepada yang bukan ahlinya maka nantikanlah kiamat itu tiba.”
(Hadith Riwayat Bukhari)
Hadith ini menceritakan berkenaan jangkaan yang berlaku pada zaman ini. Hakikat hadith ini bukan untuk menakut-nakutkan manusia akan kemunculan hari kiamat, tetapi sebagai satu persediaan kepada manusia supaya mengenal pasti kerosakan dan kebobrokan manusia akibat ketamakan dan gilakan jawatan.
Kita adaptasikan pada realiti kehidupan hari ini lebih-lebih lagi dalam dunia politik. Seorang pemimpin yang dilantik oleh masyarakat wajib untuk bersikap adil. Adil bukan bermaksud membahagikan kepentingan secara sama rata, akan tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Kemiskinan rakyat, rasuah, salah guna harta awam dan sebagainya menjadi titik tolak kerosakan kepada sesuatu negara. Daripada kerosakan institusi pemimpin inilah menyebabkan golongan bawahan turut terjebak sama dengan kerosakan ini hingga berlaku sedikitnya kebaikan dan tersebar luasnya kemungkaran.
Oleh sebab itu, masyarakat perlu kembali kepada Islam dalam memilih pemimpin. Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang memberikan hak kepada khaliq (Allah) dengan melaksanakan suruhan dan laranganNya, juga memberikan hak kepada makhluk (rakyat) dengan meletakkan kepentingan dan menghindari mudharat sesuai pada tempat dan keadaannya.
4) Mengikut Telunjuk Yahudi Dan Nasrani
Kaum Yahudi dan Nasrani tidak pernah redha dengan umat Islam sepertimana firman Allah S.W.T:
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۗ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”
(Surah Al-Baqarah : 120)
Kaum Yahudi dan Nasrani sentiasa mencari jalan untuk merosakkan umat Islam dengan pengaruh negatif dan kerosakan yang mereka cipta. Melihat pada zaman ini, umat Islam semakin tunduk dengan budaya dan gaya hidup barat sehingga meninggalkan Islam sebagai cara hidup.
Sabda Rasulullah S.A.W:
" لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ " ، قُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى ؟ قَالَ : " فَمَنْ ؟ "
“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi S.A.W menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?”
( Hadith Riwayat Muslim)
Barat telah melakukan pelbagai bentuk serangan ke atas umat Islam sejak dari dulu lagi. Sejak daripada penjajahan yang dilakukan oleh mereka ke atas tanah umat Islam, mereka mula menyebarkan pengaruh mereka. Umat Islam sejak dulu merasa kagum dengan kemajuan dan kekayaan yang ada pada mereka sehingga ada di kalangan umat Islam yang belajar di barat mengambil acuan tersebut untuk mencorak umat Islam.
Sepertimana yang berlaku ketika pra kejatuhan Khilafah Islamiyyah yang terakhir di Turki, pemuda-pemuda yang belajar di Perancis pulang ke tanah air mereka kononnya cuba membawa kemajuan kepada negara mereka. Hakikatnya, mereka yang terpengaruh dengan pemikiran dan budaya penjajah ini cuba untuk menenggelamkan Islam sebagai cara hidup mereka.
Hasilnya, umat Islam terpengaruh dan pemuda-pemuda ini cuba menyelinap masuk ke medan politik sehingga menumbangkan khalifah yang menjadi simbol kesatuan umat Islam.
Juga berlaku pada tanah air kita ketika mana penjajah membawa bentuk pembaharuan kepada umat Islam ketika itu, maka mereka cuba untuk meracuni pemikiran masyarakat dengan menafikan Islam sebagai cara hidup. Serangan-serangan pemikiran seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme dan sebagainya adalah suntikan begitu halus yang dicipta barat pada hari ini. Umat Islam perlu bijak menilai situasi ini, supaya kita tidak terjerumus dengan pemikiran ini yang boleh merosakkan aqidah umat Islam.
Melihat dunia yang dikuasai oleh kuasa barat ini telah meruntuhkan ketamadunan Islam sebagai tamadun yang paling mulia di sisi Allah. Walaubagaimanapun, umat Islam perlu bangkit daripada kelenaan ini sehingga akan munculnya hari kiamat yang dijanjikan Allah.
Kesimpulan
Umat Islam wajib untuk beriman dengan hari kiamat yang merupakan hari terbangkitnya seluruh makhluk di alam ini. Umat Islam juga wajib beriman dengan tanda-tandanya yang datang daripada nas-nas tepat supaya persediaan untuk menghadapinya disusun dengan daya ilmu, ketahanan mental dan fizikal.
Umat Islam perlu bijak menilai situasi fitnah hari kiamat ini, supaya kita tidak tergolong di kalangan mereka yang rugi dan menyesali dengan dosa-dosa yang mereka lakukan di dunia. Firman Allah S.W.T:
قَدۡ خَسِرَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِلِقَآءِ ٱللَّهِۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَتۡہُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغۡتَةً۬ قَالُواْ يَـٰحَسۡرَتَنَا عَلَىٰ مَا فَرَّطۡنَا فِيہَا وَهُمۡ يَحۡمِلُونَ أَوۡزَارَهُمۡ عَلَىٰ ظُهُورِهِمۡۚ أَلَا سَآءَ مَا يَزِرُونَ
“Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.”
(Surah Al-Anaam: 31)
Hari kiamat tidak menunggu kita, malah akan muncul secara mengejut. Beruntunglah bagi mereka yang melakukan persediaan, dan rugilah bagi mereka yang lalai.