- Back to Home »
- Himpunan Rakyat : Hukum dan Pendapat Ulamak
Posted by : alifmimra
Sabtu, 12 Januari 2013
Sudah
menjadi kebiasaan di dalam sebuah negara maju dan yang mempunyai rakyat
berkesedaran tinggi menjadikan himpunan umum atau demonstrasi sebagai cara
menyuarakan pendirian mereka. Lebih-lebih lagi berdemonstrasi dibenarkan dalam
sebuah negara demokrasi selagi berlangsung dengan aman dan tidak menyebabkan
huru-hara dalam negara.
Rakyat
Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi tentang keadilan dan hak, mereka juga
tidak ketinggalan mengadakan beberapa siri perhimpunan umum untuk menegur
golongan pemerintah. Islam juga menyarankan konsep "amar makruf nahi
mungkar" hatta kepada pemerintah sekiranya tidak berlaku adil.
Persoalannya,
adakah menegur pemerintah dengan cara ini dibenarkan dalam Islam? Atau cara ini
ditegah hanya kerana diceduk dari pengamalan masyarakat Barat yang tidak
beragama Islam? Persoalan ini harus segera dijawab lebih-lebih lagi ia sudah
menjadi amalan masyarakat di kebanyakan negara lebih-lebih lagi di Malaysia.
Pandangan
ulamak tentang himpunan aman atau demostrasi.
1.
Kebanyakan ulamak muktabar seperti Dr. Yusof Al-Qadhowi (klik), Dr. Ali Jumaah
(klik) , Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dalam kitabnya ( فصول من السياسة الشرعية ), Syeikh Salman Fahd Audah dan Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali
serta kebanyakan ulamak masa kini berpendapat HARUS mengadakan demostrasi aman
lebih-lebih lagi ia dibenarkan oleh perlembagaan sebagai cara untuk rakyat
menuntut keadilan dan menyuarakan hak serta pendirian mereka.
Malah
gabungan suara rakyat yang ramai lebih didengari dari menyuarakannya
bersendirian. Ini berdasarkan Firman Allah bermaksud : "Dan
tolong-menolonglah dalam mengerjakan perkara kebaikan dan taqwa, jangan tolong
menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Maidah : 2).
Dalam
kaedah fiqh juga ada menyatakan : "Asal sesuatu perkara itu harus selagi
tidak ada dalil qat'ie dan sorih yang mengharamkannya.
2.
Diriwayat dari ibnu Abbas bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ketika menjawab
soalan ibnu Abbas tentang kenapa dia digelar Al-Faruq oleh Rasulullah S.A.W .
Ini kerana disebabkan keberaniannya bersama dengan Sayyidina Hamzah memimpin
dua saff muslimin yang turut disertai oleh Nabi S.A.W berjalan beramai-ramai
menuju ke Masjidil Haram untuk menzahirkan Islam dan kekuatan muslimin di
Mekah. (تاريخ دمشق /حلية الأولياء)
3.
Demonstrasi walaupun dilihat berasal dari Barat tetapi intipatinya tidak
bercanggah dengan dasar Islam dan erti kemanusiaan. Malah himpunan umum menjadi
salah satu syi'ar islam dalam menzahirkan' izzah, kekuatan dan kesatuan umat
Islam seperti himpunan ketika solat berjemaah, hari raya dan ketika ibadat
haji.
4.
Diriwayatkan dari ibnu Abbas, Hadis yang dikeluarkan oleh Syaikhan (Bukhari dan
Muslim) bahawa Nabi S.A.W suka menyamai Ahli Kitab pada perkara yang tidak ada
perintah tertentu berkenaannya. Malah Rasulullah S.A.W ketika membina parit
dalam perang Khandak,membuat cop dan asal kaedah jual beli salam juga mengambil
contoh dari orang bukan islam. Sistem Kharaj juga diambil oleh sahabat dari
negara Parsi.
5.
Demonstrasi bukan bermaksud menentang atau mengangkat senjata menghadapi
pemerintah. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk menasihati pemerintah dan
menegahnya dari terus melakukan mungkar serta ketidakadilan terhadap rakyat.
Ini
berdasarkan dua Hadis Rasulullah S.A.W : "Agama itu nasihat". Adapun
Hadis yang kedua : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah menegahnya
dengan tangan, sekiranya tidak mampu, tegurlah menggunakan lidah dan jika tidak
mampu juga, maka dengan hati dan ia selemah-lemah iman".
6.
Kaedah المصلحة المرسلة
" dan " للوسائل حكم المقاصد " juga menjadi hujjah selagi tujuan iaitu maslahah yang
mahu dicapai diakui oleh Islam serta mendatangkan manfaat kepada rakyat. Antara
maslahah yang diperakui mendatangkan padanya manfaat seperti nasihat kepada
pemerintah, meneguhkan pendirian umat Islam pada perkara hak dan memperkukuhkan
suara rakyat menentang ketidakadilan pemerintah.
Maka
cara ini dikira harus seperti hukum tujuannya juga. Dengan cara ini juga, ia
dapat menolak kerosakan (مفسدة) dalam sesebuah masyarakat seperti rakyat akan selamanya
dilihat lemah dan boleh ditindas sesuka hati oleh pemerintah dan rakyat akan
terus diperintah oleh pemerintah yang zalim.
7. Di
Malaysia contohnya,terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan kebebasan
bercakap,berhimpun dan berpesatuan kepada rakyat seperti yang termaktub di
dalam Perlembagan Perseketuan Malaysia pada perenggan (a),(b) dan (c) di dalam
fasa 1,perkara 10,bahagian 2. Peruntukan ini jelas membenarkan himpunan aman
diadakan selagi tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.
(di sini)
8.
Terdapat sesetengah ulamak yang berpendapat HARAM mengadakan demonstrasi dengan
beberapa hujjah seperti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat
dan ia dikira perkara bida'ah yang ditolak.
Cara
ini juga diambil dari Barat dan melakukannya seolah-olah mnyerupai orang bukan
islam sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang
menyerupai sesuatu kaum maka dia dari kalangan mereka". Ayat Al-Quran yang
mewajibkan taat kepada pemerintah dan kaedah "" سد الزريعة juga menjadi hujjah pendapat ini.
9.
Hujjah pendapat ini dijawab oleh ulamak seperti Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali di
dalam kitabnya( الجديد في الفقه السيا سي المعا صر ) bahawa demonstrasi tidak termasuk perkara bida'ah yang
ditolak kerana pernah dilakukan dan dipimpin oleh saidina Umar dan saidina
Hamzah ketika zaman Rasulullah S.A.W. cara ini juga walaupun dilihat menyerupai
perbuatan bukan Islam tidaklah menjadikan ia haram kerana Islam hanya
mengharamkan menyerupai bukan Islam pada perkara yang bertentangan dengan
sesuatu Nas daripada syara' seperti cara ibadah mereka.
Demonstrasi
juga tidak menafikan suruhan mentaati pemerintah disebabkan ia dibenarkan oleh
perlembagaan. Maka himpunan tersebut boleh dilakukan selagi mengikut
syarat-syarat yang ditetapkan.
Diriwayat
dari Imam Bukhari sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : " المسلمون عند شروطهم".Kewajipan mentaati pemerintah juga hanyalah kepada
perkara taat dan bukan maksiat seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :
"Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perbuatan maksiat kepada
pencipta".
10.
Adapun hujjah "menutup ruang" yang boleh mendatangkan kerosakan
seperti kerosakan harta awam, perbalahan dan kerugian peniaga-peniaga dijawab
oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kaedah ini tidak harus digunakan sehingga
menjadi wasilah untuk melarang usaha mencapai maslahah yang lebih utama dan
diakui oleh Islam.
Ini
kerana kerosakan yang dijangka berlaku boleh diatasi dengan kawalan pihak
keselamatan dan janji dari penganjur untuk tidak melakukan kerosakan dan
perbalahan sepanjang himpunan aman. Malah beberapa siri himpunan yang telah
lalu membuktikan peniaga-peniaga tidak mengalami kerugian bahkan mendapat
keuntungan berlipat kali ganda dari hari-hari biasa.
sumber: http://www.manhal.pmram.org/2013/01/himpunan-rakyat-pendapat-ulama-dan.html?m=1