Posted by : alifmimra Khamis, 27 Disember 2012

Masih lagi terngiang-ngiang di fikiran ketika mana saya menziarahi Mudhayafah Syeikh Ismail Adawi (sebuah tempat khas untuk majlis ilmu di Kaherah) berdekatan dengan Universiti Al-Azhar. Ketika mana musim imtihan sedang rancak, saya sempat menziarahi tempat tersebut dengan hajat ingin meminta nasihat daripada Syeikh Yusri Hafizahullah, salah seorang penjaga tempat tersebut dan juga merupakan guru tajwid di situ.


Sampainya saya ke situ, saya terus berjumpa dengan Syeikh Yusri. Saya beramah mesra dengan beliau, bertanyakan khabar beliau. Ketika itu, beliau sedang berehat sementara menunggu waktu zohor. Dalam perbualan kami, dia bertanyakan kepada saya: " Kamu menghafal quran? Berapa juzu?" Saya merasa malu untuk menyatakan hafalan Al-Quran saya. Lalu saya menjawab hafalan saya baru sejuzu'. Selepas itu, saya berhajat untuk meminta nasihat daripada beliau. Lalu saya mengadu kepada beliau:


" Wahai Syeikh, saya menghadapi masalah kesukaran dalam menghafal Al-Quran. Adakah Syeikh mempunyai tips-tips atau kaedah untuk menghafal Al-Quran dengan baik?"

Beliau terus ketawa kecil sambil menekan-nekan telefon bimbitnya. Saya merasakan beliau tidak akan menghampakan saya dengan soalan tersebut. Lalu beliau menjawab:

"Kamu tahu kisah Imam Syafie Rahimahullah Ta'ala yang mengadu akan hafalannya yang teruk ketika itu?" Lalu saya menjawab tidak pernah. Lantas beliau memberitahu kepada saya akan kisah tersebut. Dikisahkan bahawa ketika mana Imam Syafie Rahimahullah merasakan hafalannya begitu teruk dan menyebabkan beliau lupa akan apa yang dibacanya. Lalu Imam Syafie Rahimahullah Taala mengadu akan masalah yang dihadapinya kepada gurunya Imam Waki'. Sehingga beliau membaca kepada saya dua rangkap syair nasihat yang ditulis oleh tokoh agung itu:

شكوت إلى وكيع سوء حفظي *** فأرشدني إلى ترك المعاصي 
وأخبرني بأن العلم نور *** ونور الله لا يهدى لعاصي

"Aku mengadu kepada Waki' akan betapa buruknya hafalanku, maka beliau menyuruhku untuk meninggalkan maksiat. Dan beliau jua mengatakan kepadaku bahawa Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya Allah dan tidak akan datang kepada orang yang melakukan maksiat"

Kagum saya akan rangkap syair itu. Saya merasakan bahawa tips atau kaedah itu sudah dibentang dengan begitu terperinci. Sedarlah bahawa maksiat itulah yang membawa kepada kealpaan dan penyakit lupa. 

Apabila waktu zohor semakin hampir, saya terus meminta izin beliau untuk mengundur diri. Saya amat berterima kasih kepada beliau atas nasihat yang diberikan. Moga-moga ianya menjadi pedoman kepada hidup saya. Sebelum mengundur diri, saya sempat memperdengarkan bacaan surah Al-Fatihah kepada beliau. Walaupun merasakan bacaan saya sudah sempurna, tetapi masih lagi bermasalah pada sebutan huruf. 

Resolusi:

1) Tinggalkan maksiat yang boleh menyebabkan sukar untuk menerima ilmu
2) Setiap manusia tidak boleh lari daripada dinasihati

3) Nasihat yang terbaik adalah muhasabah diri 

Lakukan yang terbaik untuk imtihan kali ini!

Sekian.

"Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak"


Amar Arif Bin Ahmad Po’aad
Pena Perjuangan

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Popular Post

Blogroll

Blogger news

- Copyright © Portal Pena Dakwah -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -