- Back to Home »
- BAB TENTANG TAUBAT
Posted by : alifmimra
Khamis, 4 Oktober 2012
Para Ulama’ mengatakan bahawa taubat daripada perbuatan dosa adalah wajib. Apabila perbuatan dosa itu bersangkutan di antara hamba dengan Allah s.w.t maka harus memenuhi tiga syarat iaitu:
1. Menghentikan perbuatan dosa tersebut
2. Menyesal atas perbuatan tersebut
3. Berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan dosa tersebut selama-lamanya
Sekiranya gugur salah satu daripada tiga syarat tersebut, maka tidak sah taubat seseorang itu.
Maka sekiranya perbuatan dosa bersangkutan di antara sesama manusia, maka harus memenuhi empat syarat berikut: (iaitu tiga syarat yang telah disebutkan tadi ditambah dengan satu syarat iaitu menyelesaikan segala hak yang bersangkutan dengan manusia itu sendiri seperti contoh:
1. Jika ianya berkaitan dengan harta, maka perlu mengembalikannya
2. Jika ianya berkaitan dengan tuduhan(sumpah) maka perlu memohon maaf daripadanya
3. Jika ianya berkaitan dengan umpat-mengumpat, maka harus memohon agar dihalalkan perbuatannya.
Seseorang yang berbuat dosa harus segera bertaubat, dan wajib ia bertaubat akan keseluruhan dosanya. Sekiranya ia telah bertaubat akan sebahagian dosanya, maka sah taubatnya akan sebahagian dosa tersebut, maka akan tinggallah baki dosa yang lain.
Banyak dalil-dalil daripada Al-quran, hadith dan ijma’ Ulama’ tentang wajibnya taubat seseorang hamba itu:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“……. bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (surah An-nur : 31)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً (رَوَاهُ الْبُخَارِي)
Abu Hurairah RA berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Demi Allah, sesungguhnya, aku membaca istighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali.’” (HR. Bukhari)
Terjemahan daripada kitab Riyadhussolihin karangan Al-Imam Abi Zakariyya Yahya Ibnu Syaraf Annawawi Addamsyiqi (Al-Imam Nawawi Rahimahullah taala)