- Back to Home »
- Kisah Pengorbanan Terulung
Posted by : alifmimra
Ahad, 21 Oktober 2012
Pembuka Bicara
Kehidupan yang penuh berliku memerlukan sebuah pengorbanan yang gigih bagi mengecapi sebuah kejayaan. Demikianlah teori kehidupan yang perlu difahami oleh setiap insan bagi mengecapi kejayaan hasil daripada usaha gigih yang didasari oleh sebuah pengorbanan. Menyelusuri kisah-kisah perjuangan ummat-ummat yang terdahulu, terlalu banyak pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka demi melihat generasi pada hari ini kembali sejahtera. Kita hayati kisah-kisah tersebut.
Saidina Abu Bakar R.A adalah salah seorang sahabat Baginda Rasulullah S.A.W yang amat akrab. Ketika mana ummat Islam ketika itu dituntut dalam melaksanakan hijrah ke Madinah, Rasulullah S.A.W ditemani Saidina Abu Bakar menyembunyikan diri daripada diburu oleh Kaum Musyrikin Mekah di Gua Thur.
Ketika di dalam persembunyian mereka, Baginda Rasulullah sedang tidur di ribaan Abu Bakar. Lantas ketika itu, Abu Bakar terpandang akan seekor ular keluar dari lubang yang berhampiran tempat Rasulullah tidur. Beliau lantas menutup lubang tersebut dengan kakinya kerana bimbang ular itu akan mematuk kaki Rasulullah. Beliau sanggup mencederakan diri disengat oleh ular kerana bimbang Nabi Muhammad SAW disakiti malahan membimbangi nyawa Nabi Muhammad SAW lebih daripada nyawa beliau.
Ketika baginda SAW tersedar dek terasa air mata Saidina Abu Bakar As-Siddiq jatuh mengalir kerana menahan kesakitan bisa yang ditanggung, lantas ditanya mengapa beliau sanggup menjadikan tubuh badannya untuk mempertahankan tubuh Baginda S.A.W daripada disengat, lalu jawab Saidina Abu Bakar As-Siddiq :
"Sekiranya aku mati disebabkan bisa, maka engkau masih hidup Ya Rasulullah untuk meneruskan dakwah Islam. Akan tetapi sekiranya engkau wafat wahai utusan Allah, maka siapa lagi akan meneruskan dakwah ini??"
Kisah 2: Optimis Dengan Cita-Cita
Abu Aiyub Al-Ansari R.A merupakan sahabat Baginda Rasulullah S.A.W yang amat optimis dengan cita-cita. Setiap kali, beliau akan membacakan sepotong ayat Al-quran daripada surah At-taubah yang ke-41 yang bermaksud:
"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."
Antara cita-cita beliau adalah ingin berjuang bersama dalam membebaskan Kota Konstantinopel berdasarkan sabda Baginda Nabi Muhammad S.A.W:
“Konstantinopel (Instanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” Hadis riwayat Imam Ahmad.
Sehingga pada akhir usianya, beliau masih lagi optimis dengan cita-citanya dalam memperjuangkan kebebasan Kota Konstantinopel hanya kerana Allah S.W.T. Akhirnya, sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat mewasiatkan kepada Yazid Bin Muawiyah dengan wasiat:
" Sekiranya ajalku sampai di sini, kebumikan aku di benteng Kota ini supaya aku akan dapat mendengar setiap derapan kaki kuda tentera yang ingin meneruskan perjuangan ini.."
Kisah 3: Terkorban Dalam Kesungguhan
Syahidnya Syeikh Ahmad Yasin bukan peristiwa sederhana. Ianya adalah sebuah peristiwa yang menjadi perhatian bagi seluruh pejuang Islam di dunia ini, dan secara khusus mengingatkan ummat Islam akan nilai pengorbanan dalam liku-liku perjuangan.
Dalam situasi yang lumpuh dan buta sebelah mata kirinya, beliau masih mampu mendukung gerakan dan membakar semangat para pejuang Palestin dalam membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman Israel laknatullah.
Justeru, kesungguhan As-syahid merupakan satu pengorbanan besar dalam menyemarakkan api perjuangan Islam. Dalam kesungguhan itu, cita-citanya ingin melihat tertegaknya kalimah kebenaran akhirnya disulami dengan ganjaran syahid yang amat dicita-citakan oleh setiap pejuang. Beliau akhirnya syahid pada 22 Mac 2004 apabila dibedil beberapa peluru berpandu Hellfire milik Israel ketika dalam perjalanan pulang daripada masjid menunaikan solat subuh secara berjemaah. Antara kata-kata beliau yang menjadi lonjakan semangat adalah:
“Jika saya terkorban, akan muncul seribu yang lain seperti diri saya.”
Kisah 4: Korban Demi Ketaatan
Antara kisah pengorbanan teragung yang menjadi sunnah setiap muslim bila tibanya Zulhijjah setiap tahun, iaitu kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S yang diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk menyembelih anak Baginda sendiri iaitu Nabi Ismail A.S.
Kisah ini dirakamkan dalam firman Allah S.W.T yang berbunyi:
“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami)”
Ketika Nabi Ibrahim A.S diperintahkan untuk melakukan perkara sedemikian, Baginda bertanyakan kepada anakanda sendiri dengan penuh kecintaan:
“Wahai anakku yang ku cintai, aku diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk menyembelihmu, bagaimanakah reaksimu?”
Lalu jawab Nabi Ismail dengan penuh akur:
“Wahai ayahku yang ku kasihi, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu, insyaAllah ayah akan mendapatkan aku sebagai seorang yang sabar dalam melaksanakan perintah Allah.”
Alangkah mulianya hati seorang Nabi , tanpa keraguan, taat menuruti perintah Rabbul Izzati yang pada pemikiran manusia biasa tidak mampu untuk melaksanakannya. Keyakinan terhadap janji Allah mendorong Nabi Ibrahim A.S mengambil keputusan tanpa ada sebarang keraguan yang mana terpaksa memilih cinta Tuhannya daripada cinta anaknya tersendiri. Akhirnya, sembelihan tersebut ditukarkan menjadi kibasy dengan kuasa Allah S.W.T
Resolusi
Allah S.W.T sengaja menjadikan sejarah ini berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah SWT serta melaksanakan kerja-kerja Islam.
Antara resolusi yang boleh kita capai melalui kisah-kisah ini:
1) Islam menuntut ummatnya untuk melakukan pengorbanan demi memelihara kemuliaan Islam itu sendiri.
2) Demi mencapai matlamat, ummat Islam perlu menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya.
3) Tiada jihad di dunia ini yang tidak menuntut pengorbanan dan tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik.
4) Pengorbanan terhadap Allah dan Rasul adalah yang utama berbanding yang lain.
‘Salam Aidil Adha’