Memahami Asas Manhaj Al-Haraki Rasulullah SAW

Definisi manhaj al-haraki ialah langkah-langkah atau strategi yang jelas dan terang yang mana telah dipelopori oleh baginda Nabi Muhammad SAW sejak diutuskan sehinggalah baginda wafat.

Kita dikehendaki menyusuri peringkat gerakan ini selangkah demi selangkah supaya urusan kerja menjadi jelas. Kita mengikuti perjalanan dalam gerakan Islam, maka perlulah kita meneladani langkah-langkah yang telah digerakkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan firman Allah SWT:

لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم اﻵخر
"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik dari akhirat..."

(Surah Al-Ahzab: 21)

Tidak dinafikan bahawa mengikuti langkah-langkah dan peringkat-peringkat ini sebelum yang lainnya merupakan satu arahan. Sekiranya kita mengikuti langkahnya ini dan dengan petunjuknya, maka kita akan sampai kepada 'mardhatillah' (keredhaan Allah).

Dari sudut lain, ia merupakan satu pintu jalan kepada gerakan Islam dalam merencanakan politiknya untuk sampai kepada matlamat menegakkan hukum Allah di muka bumi. Kita percaya bahawa manhaj haraki ini merupakan manhaj ilahi (ketuhanan) yang Allah SWT teguhkan NabiNya dalam melaksanakan kesemua langkah-langkah ini dan ianya bukan lahir dari tindak balas dari keadaan semasa yang dihadapi.

Apabila kita menyebut berkenaan peringkat-peringkat yang perlu diteladani oleh seorang penggerak Islam, maka cukuplah peringkat ini dihadkan dengan beberapa gambaran tanpa perlu digambarkan secara terperinci tentang segala peristiwa dan perjalanan yang telah diselusuri oleh bagina Nabi SAW melalui sirahnya.

Peringkat-peringkat yang perlu digambarkan di dakam manhaj ini bolehlah dihadkan kepada peringkat iaitu:

1) Dakwah dan strategi secara rahsia
2) Dakwah secara terbuka dan strategi secara rahsia
3) Menegakkan negara
4) Negara dan penetapan ketuanya
5) Menyebarkan dakwah di muka bumi

Apabila kita menghadkan setiap peringkat ini dengan permulaannya dan pengakhirannya, maka kita akan dapat mengetahui asasnya seperti berikut:
1) Dakwah secara rahsia: Bermula dari turunnya wahyu sehingga sampai kepada firman Allah Taala:

وأنذر عشيرتك اﻷقربين
"Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat."
(Surah As-Syuara':214)

2) Dakwah secara terbuka dan strategi secara rahsia: Tamat pada tahun ke-10 Kerasulan.

3) Menegakkan negara: Tamat pada permulaan tahun pertama hijrah

4) Mengasaskan negara: Tamat dengan termeterainya perjanjian Hudaibiyyah.
5) Menyebar dakwah ke seluruh muka bumi: Terhenti dengan wafatnya Rasulullah SAW. Untuk lebih jelas, setelah tamatnya setiap peringkat, maka bermulalah peringkat yang berikutnya iaitu kembali kepada peringkat yang pertama.

Oleh itu, kita perlu mengetahui bahawa tugas umat Islam tidak terhenti sehingga kita dapat menegakkan Islam seperi mana peringkat-peringkat yang telah diselusuri oleh baginda Nabi SAW. Kita adalah penyambung mata rantai kepada perjuangan Islam dan bukan yang memulakan dan mengakhirkannya.
Rabu, 5 Februari 2014
Posted by alifmimra

Menyedari Hakikat Diri Dalam Dakwah


Bagi merealisasikan cita-cita Islam dan melaksanakan tugas-tugas Islam, seseorang itu perlu bermuhasabah ke atas dirinya sendiri dan menyedari sejauh mana kedudukannya dalam Islam. Dia juga harus mendakwah orang lain seperti dia mendakwah dirinya sendiri, terutama dari segi iltizamnya kepada Islam supaya menginsafi firman Allah Taala:

"أتأمرون الناس بالبر وتنسون أنفسهم وأنتم تتلون الكتاب أفلا تعقلون"
"Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupai diri kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab, apakah kamu tidak berfikir?"
(Surah Al-Baqarah : 44)

Dan janganlah pula amal yang dikerjakan itu menjadi sia-sia seperti firman Allah SWT:

الذين ضل سعيهم في الحياة الدنيا وهم يحسبون أنهم يحسنون صنعا
"Orang-orang yang telah sia-sia perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya."
(Surah Al-Kahfi:104)

Mereka yang benar-benar rugi ialah apabila mereka yang mengalami kerugian di akhirat walaupun menerima keuntungan yang besar semasa di dunia. Keuntungan yang sebenarnya menurut pertimbangan di akhirat hanyalah untuk orang-orang yang baik mengerjakan amal soleh yang bermula daripada dirinya sebelum didakwahkan kepada orang lain supaya turut melakukannya.

Jika diteladani kembali sirah Rasulullah SAW,semasa hayat Baginda ketika di usia kanak-kanak, Baginda mendidik jiwanya dengan mengembala kambing. Sepertimana sabdanya:
ما من نبي إلا وقد رعى الغنم

"Tidaklah dikalangan Nabi kecuali mengembala kambing."

Kambing merupakan haiwan yang degil dan sukar untuk dikawal. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mendidik jiwanya dengan melatih kesabarannya sebelum memulakan dakwahnya kepada masyarakat yang mempunyai ragam yang lebih teruk daripada kambing.


Marilah kita mendidik jiwa kita dengan tarbiah Islamiah yang telah ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW. Di dalam kita bermujahadah melakukan gerak kerja perjuangan dan dakwah Islam, maka sedarlah akan hakikat diri kita bahawa kita memerlukan kekuatan ruhiyyah supaya ianya selari dengan keutuhan perjuangan yang kita hadapi sekarang.
Selasa, 4 Februari 2014
Posted by alifmimra

Kepentingan Ilmu Dan Dakwah

Ilmu merupakan jambatan kepada sesorang itu untuk mencapai ketaqwaan kepada Allah swt. Tidak dapat tidak, wajib bagi seseorang itu untuk mempelajari ilmu supaya dapat menjadi bekalan kepada seseorang untuk mendapatkan redha Allah swt.

Sabda Nabi saw:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِم

“Menuntut ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim.”
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Segenap aspek kehidupan ini memerlukan asas ilmu yang kukuh supaya dijadikan panduan untuk melaksanakan sesuatu aspek tersebut dengan betul. Seperti contoh aspek politik yang memerlukan ilmu kepakaran dan sistematik seseorang dalam memerintah negara.

Sepertimana kata-kata Imam Syafie Rahimahullah:
ﺗﻔﻘﻬﻮﺍ ﻗﺒﻞ ﺃن تﺴﻮﺩﻭا
"Tuntutlah ilmu sebelum kamu memimpin."

Oleh itu kepntingan ilmu itu perlu lebih-lebih lagi ilmu pensyariatan Allah Taala supaya manusia ini berjaya di dunia dan akhirat.

Dalam kegigihan seseorang dalam menuntut ilmu, perlu juga memahami kewajipan kita dalam meneruskan dakwah yang diperjuangkan baginda Nabi SAW.

Firman Allah swt:
ﻭَﻟْﺘَﻜُﻦْ ﻣِﻨْﻜُﻢْ ﺃُﻣَّﺔٌ ﻳَﺪْﻋُﻮﻥَ ﺇِﻟَﻰ ﺍﻟْﺨَﻴْﺮِ ﻭَﻳَﺄْﻣُﺮُﻭﻥَ بِﺎﻟْﻤَﻌْﺮُﻭﻑِ ﻭَﻳَﻨْﻬَﻮْﻥَ ﻋَﻦِ اﻟْﻤُﻨْﻜَﺮِ ﻭَﺃُﻭﻟَﺌِﻚَ ﻫُﻢُ ﺍﻟْﻤُﻔْﻠِﺤُﻮﻥَ

"Hendaklah di antara kamu yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka merekalah orang-orang yang berjaya."
(Surah Ali-Imran : 104)

Perkataan ولتكن yang disandarkan dengan lam amar menunjukkan perintah wajib kepada umat Islam untuk berdakwah.

Firman Allah S.W.T:


Di dalam surah Al-Asr, Allah Taala meletakkan 4 bahagian yang perlu dijadikann panduan kepada manusia di dalam kehidupan.

1) Beriman kepada Allah
2) Beramal dengan amalan soleh
3) Berpesan kepada kebenaran
4) Berpesan kepada kesabaran

Surah inilah yang disifatkan oleh Nabi Saw sebagai satu pertiga Al-Quran yang merangkumi kewajipan manusia dalam meneruskan dakwah.

Berkata Imam Syafie lagi:
Sekiranya manusia seringkali mengingati surah Al-Asr, maka sudah cukup bagi mereka. Oleh itu, tidak cukup bagi mereka untuk mngenal erti kebenaran dan kesabaran itu selagi mana mereka tidak berpesan dan memberi panduan di antara satu sama lain.”

Dalam rukun dakwah memerlu manhaj yang perlu diikut oleh setiap daie supaya dijadikan panduan yang tetap bagi mereka. Manhaj inilah yang memerlukan ilmu daripada dua sumber yang tepat daripada Alquran dan sunnah, dan panduan daripada pandangan alim ulamak.

Ilmu dan dakwah saling berkait rapat dan memerlukan diantara satu sama lain. Sekiranya tiada ilmu dalam dakwah, maka pincanglah dakwah tersebut. Begitulah sebaliknya sekiranya dengan ilmu kemudian tiada kesedaran manusia dalam berdakwah.

Hayati kata-kata Imam Ibnu Ramli:
فعالم بعلمه لم يعملن # معذب من قبل عباد الوثن
وكل من بغير علم يعمل # اعماله مردودة لا تقبل
Org alim yang tidak beramal dgn ilmunya #
maka akan diazab sebelum penyembah berhala,

Maka barangsiapa yg beramal tanpa ilmu #
amalannya akan tertolak dan tidak diterima.

Dakwah merupakan amal yang menghubungkan kita dengan Allah Taala. Ianya adalah salah satu amalan yang mampu meningkatkan taqwa dan takut kita kepada Allah. Seorang daie yang berilmu mampu untuk sampai kepada tahap ketaqwaan yang tinggi. Kerana mereka faham akan kewajipan mereka yang sebenar adalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Ilmu bukan sesuatu benda yang dikumpul sehingga banyak, akan tetapi ilmulah yang menjadi titik nilai supaya kita bertambah takutnya kepada Allah.

Berkata Ibnu Mas'ud:
لبس العلم بكثرة الرواية، انما العلم الخشية

Bukanlah ilmu itu dengan banyaknya riwayat, sesungguhnya ilmu itu adalah takut (kepada Allah).”

Justeru, kepentingan dan kombinasi diantara kewajipan menuntut ilmu dan berdakwah perlu disematkan dalam diri kita selaku mahasiswa Islam. Lebih-lebih lagi Azhari yang mempelajari manhaj Islam yang wasatiyyah yang mana tidak ekstrem إفراط dan tidak mengambil remeh akan sesuatu تفريط.

Jadilah mahsiswa yang berguna kepada masyarakat nanti. Jadikan imtihan ini sebagai pencetus kepada diri kita untuk menjadi daie yang berilmu dan bertaqwa kepada Allah swt. Moga kejayaan milik kita di dunia dan akhirat.
Posted by alifmimra

Islam Tidak Akan Tertegak Dengan Kata-kata

Matlamat dalam menegakkan Islam adalah matlamat yang perlu disedari dan dicapai oleh sekalian umat Islam. Bermula pada era kejatuhan khilafah lagi pada tahun 1924, umat Islam masih lemah dan mundur untuk bangkit semula menguasai pemerintahan dunia. Ianya memerlukan kesedaran serta perjuangan yang lama untuk menjadikan Islam kembali berada di atas dan tidak akan ditindas lagi oleh musuh Islam.

Dalam merealisasikan matlamat perjuangan tersebut, tidak dapat tidak ianya melakukan satu gerak kerja yang mampu untuk mencapainya sekalipun susah. Amal yang dilakukan oleh umat Islam pula perlu selari dengan kefahaman dan garis panduan Islam yang betul, supaya ianya tidak lari daripada matlamat yang asal.

Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T banyak menyebut berkaitan dengan kewajiban dan keperluan amal itu sendiri. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

(وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ)
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
(Surah At-Taubah: 105)

Sepertimana berdasarkan ayat tersebut, umat Islam perlu mengetahui akan kewajiban amal itu yang mana menjadi bekalan di akhirat. Dalam surah yang lain Allah S.W.T berfirman:

(إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ)
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah Al-Asr: 3)

Di dalam ayat ini menjadi pengecualian kepada orang-orang yang melakukan amal soleh daripada jatuh kepada kerugian dan kebinasaan. Islam bukan hanya agama yang berdasarkan teori semata-mata,oleh sebab itu, angan-angan untuk melihat kemenangan Islam bukan terhasil daripada percakapan dan omong kosong yang hanya melihat dari jauh. Sepertimana kata-kata dalam sebuah syair:

لا تكن عبد المنى # فالمنى رؤس أموال المفاليس
Janganlah kamu menjadi hamba angan-angan, sesungguhnya angan-angan adalah modal orang muflis”

Sepertimana kata-kata Syeikh Mustafa Masyhur:

Islam tidak akan tertegak dengan kata-kata.”

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan berkenaan dengan kebangkitan Islam memerlukan amalan dan suluk (ibadah). Antara kata-katanya:

Kebangkitan (Islam) bukanlah kebangkitan daripada sudut pemikiran dan semangat semata-mata. Ianya adalah kebangkitan pemikiran dan semangat yang disertakan dengan kebangkitan dalam beramal dan ibadah dan seterusnya konsisten dengannya (amalan dan ibadah).

Umat Islam yang optimis pada matlamat perjuangan Islam akan berpusu-pusu melakukan amal Islami demi melihat tertegaknya syiar dan syariat Islam di muka bumi Allah ini. Oleh sebab itulah, sejak awal-awal lagi Imam Hassan Al-Banna berusaha agar anggota Ikhwanul Muslimin menjadi seorang yang bekerja dan bukan sebagaiahli teori semata-mata.

Disamping itu juga, perlu diteliti akan kualiti sesuatu gerak kerja tersebut, supaya ianya tersusun dengan perancangan sistematik dan menghasilkan natijah yang baik. Firman Allah S.W.T:

(الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ)
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”
(Surah Al-Mulk : 2)

Kesimpulan yang perlu kita ambil disini ialah kewajipan beramal dalam merealisasikan matlamat perlu diambil cakna oleh seluruh umat Islam. Islam tidak akan tertegak berdasarkan teori semata-mata, maka teori tersebut akan menjadi sempurna sekiranya dipraktikkan dalam kehidupan. Menegakkan Islam bukan sesuatu angan-angan dan omong kosong. Ianya adalah sesuatu yang reality yang dipundakkan kepada seluruh umat Islam.
Posted by alifmimra

Teruskan Menyatakan HAK Mahasiswa!


Mahasiswa perlu berani menyatakan hak! Itulah yang ditunjukkan salah seorang pelajar UUM, Saudari Bawani KS apabila lantang serta berani menyatakan kebenaran pada sebuah forum yang diadakan di UUM baru-baru ini. Tindakan Bawani sedikit sebanyak memberikan satu ancaman besar kepada pihak yang menafikan hak mahasiswa selama ini.

Tetapi sayangnya, ada juga segelintir mahasiswa yang berada di dalam dewan tersebut bersorak apabila beliau dimalukan oleh Sharifah Zohra Jabeen, Presiden Suara Wanita 1 Malaysia. Tindakan biadap Sharifah yang menghalang Bawani untuk bersuara pada forum tersebut merupakan satu tindakan yang memalukan diri beliau sendiri. Yalah! Kebenaran tidak boleh ditutup dengan kebatilan! Akhirnya, beliau pula yang lantang memberikan forum. Mengalahkan 3 ahli panel yang berada di atas stage.

Namun keberanian Bawani memberi kredit kepada kebangkitan mahasiswa. Teruskan perjuangan mahasiswa! Teruskan Menyatakan HAK Mahasiswa!


Isnin, 14 Januari 2013
Posted by alifmimra

Penjelasan Isu Penggunaan Kalimah Allah - Tuan Guru Dato' Dr Harun Din

Posted by alifmimra

Lafaz Allah : Umno Tidak Mampu Tunai Amanah


Amanah terbesar dalam Islam ialah memerintah negara, di mana UMNO telah diberi kepercayaan sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan sehingga kini, bagi memimpin kerajaan bagi pihak melayu beragama Islam dalam BN, dahulunya Perikatan.

Islam telah diterima oleh semua kaum menjadi agama negara dengan hak yang adil kepada penganut berbagai agama dalam konsep persefahaman sempadan saling mengerti dalam perkara yang berbeza. Islam wajib diperkasakan sehingga mengatasi yang lain dengan pendekatan yang bijak dan amalan yang istiqamah dan adil terhadap semua, kerana Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, bukan dengan paksaan dan ugutan kosong.

Apabila tercetusnya isu kitab Injil diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, dengan menterjemahkan perkataan God atau Lord atau Tuhan dengan perkataan Allah, UMNO telah gagal bertanggungjawab dengan betul sebagai pihak yang berada di kerusi kekuasaan kerajaan.

Media arus perdana kepunyaan UMNO dijadikan medan perbincangan (tempat bermuzakarah) dalam perkara yang besar ini sehingga melibatkan semua orang, termasuk yang buta ilmu Islam dan hurufnya, setelah hurufnya dihapuskan oleh UMNO. Padahal urusan kebenaran menerbit buku dan pengedarannya adalah urusan Kementerian Dalam Negeri.

Dalam urusan yang berkait dengan Agama Islam, ia perlu mendapat nasihat dan kelulusan pihak berkuasa Hal Ehwal Agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri atau Majlis Agama Islam di Negeri-Negeri, di mana keseluruhannya berada di bawah UMNO yang menjadi parti Melayu Islam yang memerintah. Portfolio kementerian ini di perkuatkan dengan seorang menteri di peringkat Pusat atau exco agama di peringkat negeri.

Mengapa UMNO menangani isu besar ini secara membaling batu sembunyi tangan, dengan mengheret pihak yang tidak patut berbincang dalam urusan Yang Maha Besar iaitu kalimah Allah? Mengapa tidak selesaikan oleh pihak berkuasa di bawah UMNO yang memerintah?

Patutkah perkara ini dijadikan bahan kempen pilihanraya sehingga menjadi berkecamuk di kalangan rakyat kerana dijadikan perbincangan melibatkan kalangan yang tidak faham?

PAS tampil dengan ilmu Islam dan adabnya. Sebagaimana dalam kenyataan media saya pada 8 Januari 2013 lalu, intipati perkara dua dalam kenyataan media itu adalah jelas dan sangat mudah difahami (hanya yang berniat jahat sahaja tidak membacanya), bahawa kalimah Allah yang Maha Suci dan Mulia, tidak mampu diterjemahkan ke dalam apa-apa perkataan daripada bahasa yang lain, termasuk Bahasa Arab sendiri dengan perkataan yang lain daripada perkataan Allah, kerana tidak ada satu kalimah yang sama erti dengannya.

Lebih jauh lagi, perkataan ber-Bahasa Melayu atau apa sahaja bahasa di kalangan bangsa yang menganut agama Islam, sehingga semua bangsa penganut Islam tidak menterjemahkan kalimah “Allah” ke dalam bahasa lidah masing-masing atau bahasa sendiri.

Begitulah juga perkataan Tuhan dalam Bahasa Melayu, God dan Lord dalam bahasa penganut agama Kristian paling ramai, tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan Allah, kerana tidak mencapai maksudnya. Firman Allah menjelaskan makna Allah :

"Katakanlah (Wahai Muhammad); "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;"
"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;"
"Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;"
"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan Nya." (Ikhlas:1-4)

Mengikut bahasanya perkataan God dan Lord ada plural, male dan female (God, Gods, Goddess, Lord, Lords) dan begitulah juga perkataan Tuhan dalam bahasa lain. Adapun perkataan Allah adalah Maha Esa seperti dinyatakan dalam surah al-Ikhlas adalah huraian mengikut bahasa al-Quran, sehingga semua nama-nama Allah (Al Asma Al Husna) termasuk dalam nama tunggal Allah.

Maka pihak bukan Islam tidak boleh mengelirukan kalangan penganut Islam apabila menggunakan kalimah Allah (intipati perkara tiga dalam kenyataan media 8 Januari 2013). Bahkan menafsirkan perkataan ar-Rahman pun boleh merendahkan maknanya sehingga laksana maki hamun terhadap Allah. Firman Allah Taala :
"Dan mereka yang kafir berkata; "(Allah) ar-Rahman, mempunyai anak."
"Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!"
"Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap;"
Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) ar-Rahman mempunyai anak."
"Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, Bahawa ia mempunyai anak." (Maryam:88-92)

Begitulah seriusnya kesan apabila kalimah Allah disalahgunakan di hadapan penganut Islam dan Umat Islam wajib mempertahankan aqidah penganutnya, maka penyalahgunaan kalimah Allah dalam masyarakat Islam adalah dilarang . Ada pun kuasa dari segi perundangan berada di tangan parti yang memerintah, bukannya PAS.

Al-Quran juga melarang penganut Islam memaki tuhan yang dipercayai oleh penganut agama lain sehingga menimbulkan ketegangan yang menghina Allah. Firman Allah Taala :
"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan." (Al Ana'am:108)

Ada pun penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam dalam urusan agama mereka atau sesama mereka atau dalam penggunaan bersama yang tidak menimbulkan kekeliruan, maka al-Quran dan Hadith mengizinkan dengan penjelasan secara lisan dan amalan. Firman Allah :
"Katakanlah (Wahai Muhammad); Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam." (Ali Imran:64)

Rasulullah S.A.W mengarahkan sahabatnya meletakkan ayat ini ke dalam surat yang dihantar kepada Raja Rom, Mesir dan Habsyah yang menganut agama Kristian supaya menjelaskan penggunaan kalimah oleh mereka dengan betul. Betapa sucinya kalimah Allah walaupun digunakan oleh penganut agama kitab dengan fahaman mereka yang salah maka dihalalkan penganut Islam memakan sembelihan mereka dengan nas al-Quran yang bermaksud, "Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)..." (Al Maidah:5)

Kalimah Allah diterima bersama dalam perjanjian Hudaibiyyah di antara Rasulullah S.A.W dengan pemimpin Musyrikin Makkah dengan fahaman yang berbeza terhadap kalimah Allah dan bersetuju untuk berdamai.

Para ulama dan pemimipin PAS, bahkan di luar PAS dan para mufti yang majoritinya tidak bercakap kerana ditutup suaranya, adalah bersepakat dalam perkara yang sudah dinaskan dalam al-Quran dan Sunnah. Jangan laga-lagakan para pemimpin PAS dan ulama melalui media dengan cara memutar-belitkan laporan, sehingga tersalah langkah membawa padah kerana jahil murakkab.

Malangnya semua kenyataan secara nas ini dilupakan kerana kesilapan UMNO yang tidak mampu mentadbir urusan agama Islam. Jabatan Agama hanya ditugaskan untuk mengawasi kuliah agama, khutbah jumaat dan kegiatan agama yang boleh mendedahkan aurat Umno yang tidak menutup aurat supaya UMNO menjadi parti maha suci daripada segala dosa. Ini menunjukkan kepada kita bahawa yang penting bagi UMNO hanyalah kemenangan pilihanraya mendapat kuasa semata-mata tanpa batas–batas iman dan kufur, benar dan salah, dosa dan pahala.

UMNO melakukan kesilapan dan dosa besar apabila menyerahkan urusan kalimah Allah ini kepada pasukan propaganda dan saraf dalam partinya dan jentera kerajaan yang dikhadamkan (diperhambakan), maka berlakulah perbincangan yang lebih buruk daripada laksana menyerah bunga ditangan sang kera yang tidak berakal, kemudian diserahkan kepada para ilmuan, ulama dan mufti pengecut berdepan secara muzakarah, tetapi sanggup menjadi terompah kayu kepada UMNO untuk menegakkan hujah laksana mereka yang dinyatakan oleh Allah :
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya." (Al Baqarah:42)

Tuan-tuan, janganlah jadikan PAS terpaksa membasuh kekotoran yang diadakan oleh UMNO, dan dalam masa yang sama PAS pula dipersalahkan atau menjadi kambing hitam yang disembelih kerana mempertahankan khurafat UMNO.

sumber: http://www.tarbawi.my/index.php/en/soal-jawab/politik-dan-gerakan/350-lafaz-allah--umno-tidak-mampu-tunai-amanah
Posted by alifmimra

Himpunan Rakyat : Hukum dan Pendapat Ulamak



Sudah menjadi kebiasaan di dalam sebuah negara maju dan yang mempunyai rakyat berkesedaran tinggi menjadikan himpunan umum atau demonstrasi sebagai cara menyuarakan pendirian mereka. Lebih-lebih lagi berdemonstrasi dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi selagi berlangsung dengan aman dan tidak menyebabkan huru-hara dalam negara.

Rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi tentang keadilan dan hak, mereka juga tidak ketinggalan mengadakan beberapa siri perhimpunan umum untuk menegur golongan pemerintah. Islam juga menyarankan konsep "amar makruf nahi mungkar" hatta kepada pemerintah sekiranya tidak berlaku adil.

Persoalannya, adakah menegur pemerintah dengan cara ini dibenarkan dalam Islam? Atau cara ini ditegah hanya kerana diceduk dari pengamalan masyarakat Barat yang tidak beragama Islam? Persoalan ini harus segera dijawab lebih-lebih lagi ia sudah menjadi amalan masyarakat di kebanyakan negara lebih-lebih lagi di Malaysia.

Pandangan ulamak tentang himpunan aman atau demostrasi.
1. Kebanyakan ulamak muktabar seperti Dr. Yusof Al-Qadhowi (klik), Dr. Ali Jumaah (klik) , Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dalam kitabnya ( فصول من السياسة الشرعية ), Syeikh Salman Fahd Audah dan Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali serta kebanyakan ulamak masa kini berpendapat HARUS mengadakan demostrasi aman lebih-lebih lagi ia dibenarkan oleh perlembagaan sebagai cara untuk rakyat menuntut keadilan dan menyuarakan hak serta pendirian mereka.

Malah gabungan suara rakyat yang ramai lebih didengari dari menyuarakannya bersendirian. Ini berdasarkan Firman Allah bermaksud : "Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan perkara kebaikan dan taqwa, jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Maidah : 2).

Dalam kaedah fiqh juga ada menyatakan : "Asal sesuatu perkara itu harus selagi tidak ada dalil qat'ie dan sorih yang mengharamkannya.

2. Diriwayat dari ibnu Abbas bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ketika menjawab soalan ibnu Abbas tentang kenapa dia digelar Al-Faruq oleh Rasulullah S.A.W . Ini kerana disebabkan keberaniannya bersama dengan Sayyidina Hamzah memimpin dua saff muslimin yang turut disertai oleh Nabi S.A.W berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk menzahirkan Islam dan kekuatan muslimin di Mekah. (تاريخ دمشق /حلية الأولياء)

3. Demonstrasi walaupun dilihat berasal dari Barat tetapi intipatinya tidak bercanggah dengan dasar Islam dan erti kemanusiaan. Malah himpunan umum menjadi salah satu syi'ar islam dalam menzahirkan' izzah, kekuatan dan kesatuan umat Islam seperti himpunan ketika solat berjemaah, hari raya dan ketika ibadat haji.

4. Diriwayatkan dari ibnu Abbas, Hadis yang dikeluarkan oleh Syaikhan (Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi S.A.W suka menyamai Ahli Kitab pada perkara yang tidak ada perintah tertentu berkenaannya. Malah Rasulullah S.A.W ketika membina parit dalam perang Khandak,membuat cop dan asal kaedah jual beli salam juga mengambil contoh dari orang bukan islam. Sistem Kharaj juga diambil oleh sahabat dari negara Parsi.

5. Demonstrasi bukan bermaksud menentang atau mengangkat senjata menghadapi pemerintah. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk menasihati pemerintah dan menegahnya dari terus melakukan mungkar serta ketidakadilan terhadap rakyat.

Ini berdasarkan dua Hadis Rasulullah S.A.W : "Agama itu nasihat". Adapun Hadis yang kedua : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah menegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, tegurlah menggunakan lidah dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan ia selemah-lemah iman".

6. Kaedah المصلحة المرسلة " dan " للوسائل حكم المقاصد " juga menjadi hujjah selagi tujuan iaitu maslahah yang mahu dicapai diakui oleh Islam serta mendatangkan manfaat kepada rakyat. Antara maslahah yang diperakui mendatangkan padanya manfaat seperti nasihat kepada pemerintah, meneguhkan pendirian umat Islam pada perkara hak dan memperkukuhkan suara rakyat menentang ketidakadilan pemerintah.

Maka cara ini dikira harus seperti hukum tujuannya juga. Dengan cara ini juga, ia dapat menolak kerosakan (مفسدة) dalam sesebuah masyarakat seperti rakyat akan selamanya dilihat lemah dan boleh ditindas sesuka hati oleh pemerintah dan rakyat akan terus diperintah oleh pemerintah yang zalim.

7. Di Malaysia contohnya,terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan kebebasan bercakap,berhimpun dan berpesatuan kepada rakyat seperti yang termaktub di dalam Perlembagan Perseketuan Malaysia pada perenggan (a),(b) dan (c) di dalam fasa 1,perkara 10,bahagian 2. Peruntukan ini jelas membenarkan himpunan aman diadakan selagi tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. (di sini)

8. Terdapat sesetengah ulamak yang berpendapat HARAM mengadakan demonstrasi dengan beberapa hujjah seperti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan ia dikira perkara bida'ah yang ditolak.
Cara ini juga diambil dari Barat dan melakukannya seolah-olah mnyerupai orang bukan islam sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari kalangan mereka". Ayat Al-Quran yang mewajibkan taat kepada pemerintah dan kaedah "" سد الزريعة juga menjadi hujjah pendapat ini.

9. Hujjah pendapat ini dijawab oleh ulamak seperti Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali di dalam kitabnya( الجديد في الفقه السيا سي المعا صر ) bahawa demonstrasi tidak termasuk perkara bida'ah yang ditolak kerana pernah dilakukan dan dipimpin oleh saidina Umar dan saidina Hamzah ketika zaman Rasulullah S.A.W. cara ini juga walaupun dilihat menyerupai perbuatan bukan Islam tidaklah menjadikan ia haram kerana Islam hanya mengharamkan menyerupai bukan Islam pada perkara yang bertentangan dengan sesuatu Nas daripada syara' seperti cara ibadah mereka.

Demonstrasi juga tidak menafikan suruhan mentaati pemerintah disebabkan ia dibenarkan oleh perlembagaan. Maka himpunan tersebut boleh dilakukan selagi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Diriwayat dari Imam Bukhari sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : " المسلمون عند شروطهم".Kewajipan mentaati pemerintah juga hanyalah kepada perkara taat dan bukan maksiat seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perbuatan maksiat kepada pencipta".

10. Adapun hujjah "menutup ruang" yang boleh mendatangkan kerosakan seperti kerosakan harta awam, perbalahan dan kerugian peniaga-peniaga dijawab oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kaedah ini tidak harus digunakan sehingga menjadi wasilah untuk melarang usaha mencapai maslahah yang lebih utama dan diakui oleh Islam.

Ini kerana kerosakan yang dijangka berlaku boleh diatasi dengan kawalan pihak keselamatan dan janji dari penganjur untuk tidak melakukan kerosakan dan perbalahan sepanjang himpunan aman. Malah beberapa siri himpunan yang telah lalu membuktikan peniaga-peniaga tidak mengalami kerugian bahkan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dari hari-hari biasa.

sumber: http://www.manhal.pmram.org/2013/01/himpunan-rakyat-pendapat-ulama-dan.html?m=1
Sabtu, 12 Januari 2013
Posted by alifmimra

Popular Post

Blogroll

Blogger news

- Copyright © Portal Pena Dakwah -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -