Archive for 2012
Nasihat Terbaik
Masih lagi terngiang-ngiang di fikiran ketika mana saya menziarahi Mudhayafah Syeikh Ismail Adawi (sebuah tempat khas untuk majlis ilmu di Kaherah) berdekatan dengan Universiti Al-Azhar. Ketika mana musim imtihan sedang rancak, saya sempat menziarahi tempat tersebut dengan hajat ingin meminta nasihat daripada Syeikh Yusri Hafizahullah, salah seorang penjaga tempat tersebut dan juga merupakan guru tajwid di situ.
Sampainya saya ke situ, saya terus berjumpa dengan Syeikh Yusri. Saya beramah mesra dengan beliau, bertanyakan khabar beliau. Ketika itu, beliau sedang berehat sementara menunggu waktu zohor. Dalam perbualan kami, dia bertanyakan kepada saya: " Kamu menghafal quran? Berapa juzu?" Saya merasa malu untuk menyatakan hafalan Al-Quran saya. Lalu saya menjawab hafalan saya baru sejuzu'. Selepas itu, saya berhajat untuk meminta nasihat daripada beliau. Lalu saya mengadu kepada beliau:
" Wahai Syeikh, saya menghadapi masalah kesukaran dalam menghafal Al-Quran. Adakah Syeikh mempunyai tips-tips atau kaedah untuk menghafal Al-Quran dengan baik?"
Beliau terus ketawa kecil sambil menekan-nekan telefon bimbitnya. Saya merasakan beliau tidak akan menghampakan saya dengan soalan tersebut. Lalu beliau menjawab:
"Kamu tahu kisah Imam Syafie Rahimahullah Ta'ala yang mengadu akan hafalannya yang teruk ketika itu?" Lalu saya menjawab tidak pernah. Lantas beliau memberitahu kepada saya akan kisah tersebut. Dikisahkan bahawa ketika mana Imam Syafie Rahimahullah merasakan hafalannya begitu teruk dan menyebabkan beliau lupa akan apa yang dibacanya. Lalu Imam Syafie Rahimahullah Taala mengadu akan masalah yang dihadapinya kepada gurunya Imam Waki'. Sehingga beliau membaca kepada saya dua rangkap syair nasihat yang ditulis oleh tokoh agung itu:
شكوت إلى وكيع سوء حفظي *** فأرشدني إلى ترك المعاصي
وأخبرني بأن العلم نور *** ونور الله لا يهدى لعاصي
"Aku mengadu kepada Waki' akan betapa buruknya hafalanku, maka beliau menyuruhku untuk meninggalkan maksiat. Dan beliau jua mengatakan kepadaku bahawa Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya Allah dan tidak akan datang kepada orang yang melakukan maksiat"
Kagum saya akan rangkap syair itu. Saya merasakan bahawa tips atau kaedah itu sudah dibentang dengan begitu terperinci. Sedarlah bahawa maksiat itulah yang membawa kepada kealpaan dan penyakit lupa.
Apabila waktu zohor semakin hampir, saya terus meminta izin beliau untuk mengundur diri. Saya amat berterima kasih kepada beliau atas nasihat yang diberikan. Moga-moga ianya menjadi pedoman kepada hidup saya. Sebelum mengundur diri, saya sempat memperdengarkan bacaan surah Al-Fatihah kepada beliau. Walaupun merasakan bacaan saya sudah sempurna, tetapi masih lagi bermasalah pada sebutan huruf.
Resolusi:
1) Tinggalkan maksiat yang boleh menyebabkan sukar untuk menerima ilmu
2) Setiap manusia tidak boleh lari daripada dinasihati
3) Nasihat yang terbaik adalah muhasabah diri
Lakukan yang terbaik untuk imtihan kali ini!
Sekian.
"Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak"
Amar Arif Bin Ahmad Po’aad
Pena Perjuangan
Lakukan yang terbaik untuk imtihan kali ini!
Sekian.
"Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak"
Amar Arif Bin Ahmad Po’aad
Pena Perjuangan
Berhikmah Dalam Menerima Kritikan
Kritikan adalah suatu perkara yang tidak asing di dalam dunia
kepimpinan. Dalam menghadapi kritikan ianya memerlukan kekebalan dari sudut
fizikal dan mental menghadapi arus tekanan tersebut. Persoalannya di sini, bagaimanakah cara bagi seorang pemimpin dalam mengatur
emosi dalam menghadapi kritikan.
Susur
galur perjalanan Nabi Muhammad S.A.W telah menceritakan peristiwa yang sama
dengan situasi tersebut. Intipatinya, bagaimana Nabi Muhammad S.A.W menerima
kritikan dengan cara berhikmah tanpa mengguriskan hati-hati umatnya ketika itu.
Suatu
peristiwa setelah umat Islam pulang daripada Perang Hunain. Dengan kemenangan
Islam ketika itu, maka harta rampasan perang begitu banyak. Harta-harta
tersebut diagihkan kepada kaum Quraisy yang mana ketika itu baru sahaja memeluk
agama Islam. Tika mana tindakan tersebut dilakukan Rasulullah, lalu berita
tersebut tersebar ke telinga kaum Ansar. Mereka merasa tidak berpuas hati
dengan tindakan Rasulullah S.A.W.
Kritikan
demi kritikan dilakukan oleh pemuda kaum Ansar ketika itu sehingga ada yang
mengkritik Rasulullah S.A.W dengan kritikan yang pedih seolah-olah tidak
mempercayai keadilan yang dilakukan oleh Rasulullah. Maka berkata salah seorang
pemuda Ansar:
يَغْفِرُ اللَّهُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْطِي قُرَيْشًا وَيَتْرُكُنَا، وَسُيُوفُنَا تَقْطُرُ مِنْ دِمَائِهِمْ) )
يَغْفِرُ اللَّهُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْطِي قُرَيْشًا وَيَتْرُكُنَا، وَسُيُوفُنَا تَقْطُرُ مِنْ دِمَائِهِمْ) )
"Semoga
Allah mengampuni Rasulullah S.A.W. Beliau memberi (harta rampasan) orang-orang
Quraisy dan tidak memberi kami, padahal pedang-pedang kami masih menitiskan
darah mereka..”
Kritikan
yang diberikan ketika itu sangat pedih, seakan-akan kaum Ansar mahu
mengungkit-ungkit akan usaha mereka dalam menegakkan Islam ketika itu.
Rasulullah tidak menggunakan tindakan yang ekstrim dalam menghadapi kritikan
tersebut. Dengan kata-kata Nabi S.A.W yang berhikmah sudah cukup untuk menjawab
kembali kritikan yang dilakukan oleh umatnya. Sabda Rasulullah S.A.W:
( فإني أعطي رجالا حديثي
عهد بكفر أتألفهم أفلا ترضون أن يذهب الناس بالأموال وترجعون إلى رحالكم برسول الله
فوالله لما
تنقلبون به خير مما ينقلبون به)
"Sesungguhnya aku memberikan unta kepada
orang-orang yang belum lama meninggalkan kekafiran, kerana aku ingin
melembutkan hati mereka. Tidakkah kalian rela jika orang-orang (Quraisy yang
baru masuk Islam itu) pulang dengan membawa harta, kalian pulang dengan membawa
Nabi S.A.W ke rumah-rumah kalian? Demi Allah, kalian pulang membawa hal yang
lebih baik dari apa yang mereka bawa pulang."
Dengan
serta merta, air mata mereka mengalir kerana menangis mendengar kata-kata Nabi
Muhammad S.A.W itu. Itulah kelebihan yang ada pada utusan Allah yang membawa cahaya
kepada manusia sekalian alam.
Resolusi:
Dengan sejarah yang telah diungkapkan ketika zaman Rasulullah, maka mampulah kita sebagai pemimpin Islam mencontohi sifat serta cara yang dilakukan oleh baginda dalam menghadapi kritikan. Kepimpinan Islam perlu kental dalam menghadapi segala tekanan. Moga dengan kisah ini sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada kita.
Resolusi:
Dengan sejarah yang telah diungkapkan ketika zaman Rasulullah, maka mampulah kita sebagai pemimpin Islam mencontohi sifat serta cara yang dilakukan oleh baginda dalam menghadapi kritikan. Kepimpinan Islam perlu kental dalam menghadapi segala tekanan. Moga dengan kisah ini sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada kita.
Sekian.
"Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak"
"Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak"
Amar Arif Bin Ahmad Po’aad
Mahasiswa Jurusan Syariah Islamiah Tahun 1
Universiti Al-Azhar, Kaherah
Mahasiswa Jurusan Syariah Islamiah Tahun 1
Universiti Al-Azhar, Kaherah
Sumber rujukan: Kitab Sohih Muslim karangan Imam Muslim ( hadith yang ke
1059 dalam Kitab Zakat )
Isu Palestin Simbol Keprihatinan Umat Sejagat
Pendahuluan
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Surah Al-Baqarah : 120)
Bumi Palestin sekali lagi bergolak. Kini serangan demi serangan bertubi-tubi dilontarkan ke arah bumi suci itu. Pergolakan yang hangat dipermainkan dalam arena globalisasi ini sudah berlaku pada tahun 1948 lagi semenjak peristiwa Nakbah. Penderitaan yang dialami rakyat Palestin sudah pasti tidak dapat terbayang dengan zahir mata. Akan tetapi naluri hati yang prihatin akan isu kemanusiaan ini sudah pasti merasakan sebak serta pilu melihat penderitaan mereka.
Bumi Palestin terus bergolak
Sejak daripada bulan Oktober 2012 baru-baru ini, kita telah menyaksikan pelbagai peristiwa yang menyayat hati menimpa nasib umat Islam di Palestin. Baru-baru ini, umat Palestin dikejutkan dengan kematian salah seorang Komanden Briged Izzuddin al-Qassam bagi sayap tentera Hamas, As-syahid Ahmad Al-Ja’bari. Beliau syahid menemui Allah apabila kereta yang dinaikinya dibedil oleh roket milik regim Zionis pada 14 November 2012 bersamaan dengan detik permulaan tahun hijrah yang baru.
Kematian beliau merupakan satu anjakan paradigma kepada seluruh pejuang Briged bagi terus memperjuangkan kebebasan Palestin. Semoga Allah membuka jalan bagi mereka ke arah kemenangan atau syahid bertemu Allah S.W.T.
Mengapa perlu prihatin?
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah” (Riwayat at-Tabarani)
Prihatin akan isu umat Islam merupakan salah satu daripada keperibadian seorang muslim yang sejati. Sikap tolong-menolong serta melakukan amal kebajikan adalah tuntutan yang telah dirakamkan dalam firman Allah S.W.T:
“…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah Al-Maidah : 2)
Konsep inilah yang menjadikan Islam sebagai sebuah agama yang sering menjaga kebajikan manusia dari segenap aspek kehidupan. Rentetan daripada konsep tersebut, pergolakan yang berlaku di Palestin adalah sebuah ceritera kehidupan yang perlu ditonton melalui kacamata Islam yang sebenar. Ia bukannya sekadar isu kemanusiaan, akan tetapi ianya membangkitkan satu lonjakan dan tahap sensitiviti terhadap penindasan saudara yang seaqidah dan seagama.
Semenjak kejatuhan Khilafah Islamiah pada tahun 1924, umat Islam masih lagi tercari-cari sebuah gerakan yang mampu membela nasib mereka. Kini, umat Islam hanya mampu melihat tanpa melakukan tindakan yang drastik dalam membela mereka. Hanya doa yang mampu mengiringi mereka.
Bermacam-macam insiatif yang telah dilakukan oleh beberapa pihak dalam membantu mereka. Antaranya bantuan makanan, kewangan, perubatan dan sebagainya. Tetapi ianya hanya cukup menyembuhkan sedikit ketirisan penderitaan mereka. Hanya yang mereka inginkan adalah kebebasan dalam memiliki hak mereka iaitu bumi Palestin sendiri yang selama ini dijajah oleh regim Zionis
.
Mahasiswa perlu prihatin
Pemuda merupakan tunjang kepada kekuatan umat Islam seperti mana yang telah ditegaskan oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi didalam karangannya “Sohwatul Islamiah Bainal Amal Wal Mahazir.” Di dalam karangannya, beliau amat mengharapkan sesuatu yang bernilai daripada kebangkitan Islam. Antara ciri-ciri pemuda yang diharapkan adalah pemuda berilmu yang mana berada di institusi pengajian tinggi sama ada universiti ataupun peringkat menengah. Tidak dapat tidak pemuda tersebut adalah mahasiswa yang mempunyai kekuatan dalam memimpin sesebuah masyarakat.
Mahasiswa Islam yang berjati diri perlu prihatin akan isu yang berlaku. Inilah yang menjadi kredibiliti sebagai mahasiswa terserlah apabila mengetahui dan mendalami situasi setempat.
Apa tindakan kita?
Setiap keprihatinan kita tidak berguna sekiranya tidak disusuli dengan tindakan. Firman Allah S.W.T:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!” (Surah As-Saff : 2)
Mungkin kondisi yang tidak mengizinkan menyebabkan kita tidak mampu untuk berjihad bersama mereka ke medan yang sebenar. Namun, apa yang mampu diberi dan dilaksanakan hanyalah sokongan moral yang menjadi penggoncang semangat kepada mereka. Antara tindakan yang sering diketengahkan adalah:
1) Doa Qunut Nazilah
2) Bantuan kewangan
3) Cakna setiap isu yang berlaku
Kesimpulan
Umat Islam di Palestin kini mengharapkan sokongan daripada umat Islam yang lain. Moga dengan setiap tindakan dan sokongan kita diganjarkan oleh Allah S.W.T dengan ganjaran pahala yang setimpal dengan amalan kita. Antara resolusi yang mampu disimpulkan adalah:
1) Isu Palestin merupakan simbol keprihatinan masyarakat dunia lebih-lebih lagi umat Islam yang merupakan saudara seagama.
2) Prihatin akan hal ehwal umat Islam adalah sikap yang perlu disemat dalam jati diri umat Islam.
3) Umat Islam perlu bersatu dalam bersama-sama membela nasib umat Islam di Palestin
4) Setiap sokongan terhadap umat Islam di Palestin perlu disusuli dengan tindakan yang bermanfaat.
"BERILMU BERAMAL IKHLAS"
Amar Arif Bin Ahmad Po'aad
Timbalan Yang Dipertua
Timbalan Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
sesi 2012/2013
Sumber: http://kpipm64.blogspot.com/
Sumber: http://kpipm64.blogspot.com/
Niat Itu Anugerah
عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها أو امرأة يتزوجها فهجرته إلى ما هاجر إليه "( متفق عليه )
Daripada Umar bin Al-Khattab r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. bersabda, Sesungguhnya segala amalan itu adalah bergantung
kepada niat, setiap orang memperolehi mengikut apa yang ia niatkan. Sesiapa yang niat hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya maka (ganjaran) hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya dan barangsiapa yang niat hijrahnya kepada dunia yang ia ingin dapatkannya atau kepada perempuan yang ia ingin kahwininya maka pahala hijrahnya adalah kepada apa yang ia hijrahkan (niatkan)” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Niat merupakan sebuah anugerah yang tidak ternilai yang dikurniakan oleh Allah S.W.T ke atas hambaNya. Melalui anugerah inilah, umat Islam berjaya menjadikan setiap atur cara hidup yang adat menjadi ibadat kepada Allah S.W.T. Dan amat rugilah sekiranya anugerah ini tidak dipergunakan dengan sebaiknya. Berdasarkan hadith di atas, jelas menjadi contoh bahawa perbuatan manusia yang menjadi adat akan diiktibarkan sebagai ibadat sekiranya bertepatan dengan niat mencari redha Allah. Sekiranya perbuatan tersebut tidak bertepatan dengan niatnya, maka akan rugilah manusia kerana tidak mempergunakan anugerah yang Allah S.W.T berikan dengan sebaiknya.
Nilai Sebuah Ketaatan
Ada sebuah kisah yang menceritakan tentang seorang anak murid yang terpaksa memasak untuk diberi makan kepada guru dan rakan-rakan sepengajiannya. Atas arahan gurunya, dia memasak setiap hari dalam masa yang sama terpaksa menangguh pengajiannya. Dia tidak seperti rakan-rakannya yang lain, lunak dalam menuntut ilmu tanpa ada sebarang kerja yang lain.
Suatu hari, guru itu ditanya oleh anak-anak muridnya tentang siapa yang layak menggantikannya? Lalu dijawab oleh guru tersebut anak murid yang memasak itu. Lalu ditanya lagi, kenapa guru tersebut memilihnya? Lantas guru itu menjawab. Atas dasar ketaatan yang dimiliki oleh murid tersebut yang memasak tanpa memikirkan kepentingan dirinya.
Resolusi daripada kisah tersebut:
1) Sikap patuh akan arahan perlu diletakkan dalam jiwa muslim yang sejati selagi mana arahan tersebut tidak bercanggah dengan syara'.
2) Mengutamakan kepentingan umum lebih baik daripada kepentingan peribadi.
Posted by alifmimra
Apresiasi Kecemerlangan Motivasi Perjuangan
Coretan Isi Hati
Merasa bangga melihat para graduan Al-Azhar menerima anugerah sempena Apresiasi Kecemerlangan PMRAM. Sedikit sebanyak memberikan inspirasi pada diri ini. Mungkin perjalanan hidup ini masih lagi panjang dan berliku untuk ditempuhi. Tetapi dengan program seperti ini dapat menaikkan semangat serta memberi motivasi dalam meneruskan agenda selaku penuntut agama Allah s.w.t.
Merasa bangga melihat para graduan Al-Azhar menerima anugerah sempena Apresiasi Kecemerlangan PMRAM. Sedikit sebanyak memberikan inspirasi pada diri ini. Mungkin perjalanan hidup ini masih lagi panjang dan berliku untuk ditempuhi. Tetapi dengan program seperti ini dapat menaikkan semangat serta memberi motivasi dalam meneruskan agenda selaku penuntut agama Allah s.w.t.
Mengulas serba sedikit kata-kata Fadhilatussyeikh Dr. Saad Jarwish tadi, beliau banyak menekankan tentang bagaimana mengaplikasikan ilmu kepada kehidupan. Begitulah kepentingan ilmu yang memandu kehidupan. Lebih-lebih lagi, mahasiswa yang mendapat acuan daripada Al-Azhar itu sendiri yang mana menjadi kiblat ilmu Islam, mengamalkan manhaj yang wasatiyyah (kesederhanaan, tidak mengambil mudah dan tidak terlalu melampau dan terlebih).
"Manusia yang menuntut ilmu sewajibnya mengamalkan ilmu yang telah dipelajari kerana Allah S.W.T tidak akan menyoal di akhirat kelak akan seberapa banyak ilmu yang kau pelajari, tetapi Allah akan menyoal pada manusia, ke manakah amal yang kau lakukan berdasarkan ilmu yang kau pelajari." Begitulah nasihat beliau kepada seluruh mahasiswa khususnya graduan Azhari.
Resolusi yang diperolehi:
1) Perjuangan dalam membentuk jati diri muslim yang sejati memerlukan satu kesungguhan yang gigih
2) Ilmu adalah aset yang penting menjadi panduan kepada manusia
3) Kecemerlangan manusia bukan tertera pada lembaran sijil, tetapi dengan amal kepada orang lain
Amar Arif Bin Ahmad Po'aad
Mahasiswa Universiti Al-Azhar
Kuliah Syariah Islamiah Tahun 1
Amar Arif Bin Ahmad Po'aad
Mahasiswa Universiti Al-Azhar
Kuliah Syariah Islamiah Tahun 1
TINDAKAN DISIPLIN SATU TARBIYAH
Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sirah Nabi S.A.W yang boleh menjadi teladan kepada kita. Oleh itu tindakan disiplin adalah sebahagian daripada tarbiah di dalam jamaah. Contoh yang berlaku tindakan disiplin kepada tiga orang Sahabat Nabi S.A.W yang tidak menyertai perang Tabuk. Mereka ialah Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al Amiri dan Hilal bin Umayah Al Waqifi. Mereka ini adalah antara lapan puluh orang yang tidak pergi berperang di Tabuk. Rasulullah tidak menerima keuzuran mereka bertiga, manakala yang lain Baginda menerima dari alasan mereka.
Menurut Kaab bin Malik beliau tidak pernah ponteng di dalam setiap kali berperang, tetapi di dalam perang Tabuk beliau merasa malas hendak menyertai, walaupun beliau mempunyai kelengkapan yang cukup melebihi daripada keterlibatan beliau berperang di medan yang lain. Oleh kerana godaan nafsu dunia maka beliau tidak berangkat bersama dengan Nabi S.A.W. Beliau menyangka Baginda tidak tahu, sangkaan beliau meleset kerana Baginda terus bertanya beliau ketika di Tabuk.
Apabila Baginda pulang daripada Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah S.A.W di masjid untuk meminta maaf, maka Baginda suruh beliau balik sehingga mendapat pengampunan daripada Allah Taala. Baginda mengarahkan jangan berurusan dengan mereka bertiga, ertinya mereka dipulau oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah Taala.
Pada suatu hari ada utusan Raja Ghassan daripada Syam datang membawa surat daripada untuk memujuk Kaab bin Malik ke Syam kerana Sahabat dan saudara mereka tidak perlukan beliau lagi. Maka Kaab mengambil surat itu lalu dibakar kerana ini adalah ajakan syaitan dan iblis supaya beliau meninggalkan Islam. Masuk hari yang ke empat puluh maka datang satu utusan menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah Taala. Oleh kerana Hilal bin Umaiyah sangat tua dan lemah maka isterinya datang bertemu Rasulullah S.A.W lalu ia bertanya, "Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Adakah boleh aku melayaninya di rumah?"
Rasulullah S.A.W menjawab, "Tidak! Dia tidak boleh mendekatimu!"
Isteri Hilal menjelaskan, "Ya Rasulullah! Ia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!". Maka Rasulullah tetap tidak benarkan.
Selama lima puluh hari lima puluh malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada Baginda S.A.W memberi tahu bahawa Allah Taala telah mengampunkan mereka bertiga. Mendengar berita itu Kaab terus sujud syukur kepada Allah.
Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya nampak cerah dan gembira, katanya "Bergembiralah kamu pada hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!"
"Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?", tanyaku sabar.
"Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!", jawab Rasul S.A.W.
"Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah S.A.W", Kaab lalu membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.
"Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah melainkan kepadaNya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang" - Surah At Taubah:118
Banyak lagi kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada Para Sahabat antaranya ialah kepada Hatib Abi Balta’ah yang membocor rahsia mengenai persiapan Baginda untuk menyerang Makkah kepada kaum keluarganya di Makkah. Beliau selamat daripada hukuman kerana Hatib ialah ahli Badar. Begitu juga dengan Abu Lubabah ibn Munzir yang diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W untuk berunding dengan Bani Quraizah yang sudah dikepung selama dua puluh lima hari. Apabila Abu Lubabah sampai mereka meminta pandangan apakah kamu berpendapat lebih baik kami mengikut hukum Muhammad? Abu Lubabah mengatakan, "Ya".
Kemudian dia mengisyaratkan tangan dan tengkuknya, yakni menunjukkan mereka akan disembelih. Apabila beliau menyedari beliau telah mengkhianat amanah Rasulullah maka beliau mengikat badan beliu di masijid selama enam hari sehinggalah datang pengampunan daripada Allah Taala.
"Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka yang bercampur baur pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" - Surah At Taubah:102
Rumusan Dari Kisah Ini
- Tindakan disiplin adalah merupakan sebahagian daripada tarbiah.
- Mereka yang berjiwa besar akan menganggap ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk mereka muhasabah diri.
- Mereka yang dikenakan tindakn disiplin diuji dengan secara praktikal, bukan sahaja teori. Kerana tarbiah ialah amali bukan teori semata-mata.Salah satu cara Allah hendak mengangkat darjat seorang itu di dalam berjamaah.
- Menguji keikhlasan seorang itu sama ada mereka berjuang kerana Allah, bukan kerana jawatan.Tidak rugi apabila kita merendah diri dan rela menerima tindakan dengan hati yang lapang.
- Allah hendak melihat kita bercakap serupa dengan apa yang kita sering ungkap kisah Khalid ibn Walid yang dipecat di zaman Saidina Umar. Beliau terus berjuang walaupun menjadi pengikut biasa.
sumber: http://www.tarbawi.my
Kisah Pengorbanan Terulung
Pembuka Bicara
Kehidupan yang penuh berliku memerlukan sebuah pengorbanan yang gigih bagi mengecapi sebuah kejayaan. Demikianlah teori kehidupan yang perlu difahami oleh setiap insan bagi mengecapi kejayaan hasil daripada usaha gigih yang didasari oleh sebuah pengorbanan. Menyelusuri kisah-kisah perjuangan ummat-ummat yang terdahulu, terlalu banyak pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka demi melihat generasi pada hari ini kembali sejahtera. Kita hayati kisah-kisah tersebut.
Golongan yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah
RINGKASAN KTAB “GOLONGAN YANG TERCICIR DI SEPANJANG JALAN DAKWAH”
(UST FATHI YAKAN)
Gejala Keciciran Di Zaman Rasulullah SAW
1. Orang-orang yang tidak ikut serta dalam perang Tabuk
Ø 3 orang Islam (Ka’ab bin Malik, Murarah ibn Ar-Rabi’ dan Hilal ibn Umayyah) tidak meneyrtai perang Tabuk. Mereka dipulaukan oleh orang Islam yang lain.
Ø Orang munafiq juga tidak ikut berperang. Mereka datang bersumpah dihadapan Rasulullah memberi sebab
FIQH AS-SIASAH AS-SYAR'IYYAH SATU PENGENALAN
Muqaddimah
Perkara siasah syar'iyyah yang berbangkit daripada kewajipan khalifah yang telah ditetapkan oleh Allah Taala kepada manusia di atas muka bumi. Ia merupakan bidang yang sangat penting dan dilupakan oleh orang Islam di zaman mutakhir ini akibat malapetaka pemikiran serangan musuh-musuh Islam ke atas umat Islam.
Apakah Hukum ‘Shisha’?
Posted by alifmimra
MESEJ ISLAM DARI MEDAN TEMPUR AL QADISIYYAH
Posted by alifmimra
Rohingya: Mengapa Kita Perlu Cakna Tentang Mereka?
Posted by alifmimra
BAB TENTANG TAUBAT
Para Ulama’ mengatakan bahawa taubat daripada perbuatan dosa adalah wajib. Apabila perbuatan dosa itu bersangkutan di antara hamba dengan Allah s.w.t maka harus memenuhi tiga syarat iaitu:
1. Menghentikan perbuatan dosa tersebut
2. Menyesal atas perbuatan tersebut
3. Berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan dosa tersebut selama-lamanya
Sekiranya gugur salah satu daripada tiga syarat tersebut, maka tidak sah taubat seseorang itu.
Maka sekiranya perbuatan dosa bersangkutan di antara sesama manusia, maka harus memenuhi empat syarat berikut: (iaitu tiga syarat yang telah disebutkan tadi ditambah dengan satu syarat iaitu menyelesaikan segala hak yang bersangkutan dengan manusia itu sendiri seperti contoh:
1. Jika ianya berkaitan dengan harta, maka perlu mengembalikannya
2. Jika ianya berkaitan dengan tuduhan(sumpah) maka perlu memohon maaf daripadanya
3. Jika ianya berkaitan dengan umpat-mengumpat, maka harus memohon agar dihalalkan perbuatannya.
Seseorang yang berbuat dosa harus segera bertaubat, dan wajib ia bertaubat akan keseluruhan dosanya. Sekiranya ia telah bertaubat akan sebahagian dosanya, maka sah taubatnya akan sebahagian dosa tersebut, maka akan tinggallah baki dosa yang lain.
Banyak dalil-dalil daripada Al-quran, hadith dan ijma’ Ulama’ tentang wajibnya taubat seseorang hamba itu:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“……. bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (surah An-nur : 31)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً (رَوَاهُ الْبُخَارِي)
Abu Hurairah RA berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Demi Allah, sesungguhnya, aku membaca istighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali.’” (HR. Bukhari)
Terjemahan daripada kitab Riyadhussolihin karangan Al-Imam Abi Zakariyya Yahya Ibnu Syaraf Annawawi Addamsyiqi (Al-Imam Nawawi Rahimahullah taala)
Pelajar Asrama Johor Diarah Keluar Asrama
KAHERAH, 2 Okt 2012 -- Malang tidak berbau buat pelajar-pelajar Asrama Rumah Johor, Rabaah, setelah mana sebahagian pelajar-pelajar yang tinggal di asrama tersebut diarahkan untuk mengosongkan bilik masing-masing dalam tempoh waktu yang singkat.
Notis arahan yang mengarahkan supaya mengosongkan asrama ini dikeluarkan oleh pihak pengurusan Rumah Johor pada 30 September baru-baru ini.
Notis arahkan ini mengejutkan para pelajar yang menghuni di asrama tersebut kerana mereka diarahkan supaya berpindah dalam tempoh waktu yang singkat.
Pada 1 Oktober sehari berikutnya, satu arahan dikeluarkan dengan mengarahkan para pelajar keluar daripada asrama sedangkan dalam masa yang sama, pihak pengurusan tidak menyediakan penempatan sementara kepada para pelajar.
Rentetan masalah yang berlaku, Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor (BKPJM), saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir telah menghubungi Pengurus Rumah Johor, Haji Maulan bin Asmoni bagi mendapatkan penjelasan dan meminta beliau melanjutkan tempoh pemindahan tersebut.
Namun apa yang mendukacitakan, usaha tersebut tidak diendah oleh pihak bertanggngjawab dan masih belum menemui sebarang hasil tindakan.
BKPJM mengharapkan agar pihak pengurusan Rumah Johor dapat bertindak dalam menangani masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut serta dapat menemukan solusi secepat mungkin.
Posted by alifmimra
TUMPANG
oleh: Alifmimra
Jam: 6.30 pagi
Kampung Sri Kinta
“Vrooomm…” Enjin teksiku dihidupkan.
Sudah dua puluh tahun aku menceburkan diriku di dalam kerjaya ini. Tidak
pernahku merasa bosan dan futur tatkala
setiap hari tugasku memandu dan menerima penumpang. Pelbagai pengalaman pernahku tempuhi. Sudah sunnah hidup seorang
manusia. Berjuang mencari sesuap nasi untuk keluarga tercinta. “ Abang, lauknya
ni, nanti tertinggal pula.” Aku disapa oleh suara bidadari dari arah timurku.
Suara itu tiap kali memberi motivasi kepada diriku selaku khalifah memimpin
sebuah keluarga yang bahagia ini. Itulah Rokiah, isteriku yang pertama dan yang
terakhir bagi diriku. Dialah yang menemaniku sepanjang hidupku bergelar pemandu
teksi. Dia amat cekal dan tabah menahan karenah dan ragamku setelah kami selamat diijabkabulkan pada Ogos 1985.
“Terima kasih sayang..” sendaku dengan
nada manja. “ Ishhh, abang ni! Dah tua pun nak sayang-sayang lagi.” Jawabnya dengan nada mesra. Lantas Rokiah
mencapai tanganku untuk bersalam lalu mengucup tanganku kemudian berpesan,
“elok-elok jalan ye bang..” Aku tidak berkata apa-apa dan hanya mampu tersenyum
dengan kata-kata Rokiah tadi. Selesai sahaja aku mempersiapkan diriku, barulah
bersedia untuk bertugas. Tayar akhirnya bergolek dan teksi mula berjalan.
Sempat aku menatap wajah Rokiah buat kali terakhir sambil melambai-lambai ke arahnya tanda
selamat jalan. “Abang pergi dulu ye. Doakan abang selamat dalam perjalanan.”
Mohonku di dalam hati. Setelah itu, bermulalah pengembaraanku seperti hari-hari
kebiasaan.
Jam 7.12 pagi
Taman Song Choon
Indahnya sinar cahaya ketika terbitnya
mentari pagi. Sambil menghirup udaranya yang nyaman dan segar. Indahnya nikmat
Allah yang dikurniakan kepada seluruh hambaNya. Inilah bukti yang ditunjukkan
olehNya berdasarkan firmanNya yang bermaksud:
“Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk
kamu di bumi yang berlainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu).
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan
kemurahan Allah) bagi kaum yang mahu mengingati nikmat Allah itu.” (Surah
An-nahl : 13)
Teksiku meluncur laju menuju ke arah
pusat bandar, kawasan yang strategik bagi semua pemandu teksi di sini. Ketika di dalam perjalanan, aku melihat
dua orang anak kecil berpakaian uniform sekolah, bersama ayahnya menaiki
motosikal menuju ke gerbang ilmu.
Terfikirku sejenak menggamit memoriku yang lalu ketikaku masih di bangku
sekolah. Teringat aku akan Cikgu Fauziah. Guruku yang mengajar matapelajaran
sains biologi. Cikgu Fauziah seorang guru yang penyayang serta baik hati.
Walaupun umurnya telah meningkat ketika bergelar guru biasa, namun hatinya
cekal dan tabah dalam mendidik anak-anak didiknya meskipun gajinya tidak begitu
lumayan dan tidak dinaikkan pangkat. Kata-katanya cukup terkesan pada diriku.
Ketika itu kami sedang membincangkan topik proses kejadian manusia.
Katanya,“Ingat anak-anak, ketika kita masih belum melihat dunia, kita hanya
menumpang di dalam rahim ibu kita selama sembilan bulan. Dan apabila lahir
sahaja kita di dunia, kita masih lagi menumpang dirumah ibu bapa kita hingga
kini. Adakah kita tidak punya tempat? Ya, kita tidak punya apa-apa tempat di
dunia ini, hatta bumi ini pun bukan milik kita. Melainkan bagi hambaNya yang
mengenal erti syukur serta tidak angkuh dengan apa-apa pemberian olehNya. Sedarlah
anak-anak, kita ini adalah penumpang..”
Jam 9.43 pagi
Kampung Simee
“Abang teksi! Abang teksi!” jerit seorang
wanita berbaju kurung sambil melambai-lambai tangannya menahan teksiku.
“Abang teksi, boleh tumpangkan saya ke
Hospital Besar tak? Saya nak cepat ni.” katanya.
“Boleh, tiada masalah” jawabku tenang.
Lantasku menekan butang meter tambang teksiku. Kelihatan wanita tersebut dalam
keadaan kelam kabut. Mungkin ada sesuatu perkara yang penting dan segera yang perlu
diselesaikan olehnya. Segeraku bertanya tanpa rasa segan silu.
“Cik nak ke hospital cepat-cepat ni, ada
perkara mustahak ke di hospital tu?”
“Saya perlu ke hospital dengan segera,
sebab ayah saya sedang dalam keadaan kritikal.” Jawabnya dengan tegas.
“Ayah cik sakit apa?” tanyaku lagi.
“Darah tinggi dan kencing manis.”
Jawabnya singkat.
“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un…”
terucap lafaz istirja’ dibibirku tanda rasa simpati dengan musibah yang
menimpanya dan ayahnya.
“Krekkk!” aku menarik brek tangan,
menghentikan teksiku dihadapan hospital.
“Berapa pak cik?” Tanya wanita itu.
Lalu aku menoleh pandanganku ke arah
bacaan meter tambang.
“Tambangnya RM 6.50 je.” Jawabku dengan
mesra.
Lalu wanita itu menghulurkan wang kertas
bernilai RM50 kepadaku. Aku menolaknya. Lalu wanita itu memaksaku untuk
mengambil wang tersebut dengan berkata, “ambillah pak cik, saya sedekah. Mana
tahu dengan sedekah saya ni, Allah akan selamatkan ayah saya.”
Tidak terucap apa-apa ucapan dari mulutku
melainkan ucapan terima kasih kepada wanita itu lalu wanita tersebut terus
beredar menuju ke arah wad kecemasan. Teringat aku akan sabda Rasulullah s.a.w
yang bermaksud:
"Setiap orang Islam yang ditimpa
musibah lalu dia mengucapkan apa yang diperintahkan oleh Allah iaitu: Sesungguhnya kami kepunyaan
Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Allah.Ya Allah! Berikanlah aku
pahala kerana musibah yang telah kuhadapi dan gantikan yang lebih baik
"Nescaya Allah akan menggantikannya
dengan yang lebih baik" (HR Muslim)
Jam 2.20 petang
Medan Kidd
Syukur atas nikmatMu yang tidak
terhingga, memberi dua nikmat besar kepada diriku dalam meneruskan agenda
kehidupan di dunia ini. Mencari redhaMu di celahan pohon yang berduri walaupun
pengabdianku hanya sebesar zarrah jika ingin dibandingkan dengan hamba-hambaMu yang soleh. Dua nikmat tersebut
adalah sepertimana yang telah disabdakan junjungan besar nabi kita Nabi
Muhammad s.a.w yang bermaksud:
“Dua nikmat yang sering diabaikan oleh
kebanyakan manusia ialah
waktu sihat dan masa lapang.” (HR
Bukhari)
Aku berehat sebentar untuk solat zohor
dan makan tengahari. Selesai sahaja solat zohor, lantasku mengambil makanan
yang dimasak oleh Rokiah pagi tadi. “Oi Hasan! Jom kita makan di kedai mamak
hari ini?” Sapa Rahim, sahabat sekerjaku yang agak veteran dalam kerjaya
memandu teksi ini. Aku seringkali menolak pelawaan sahabat-sahabat sekerjaku di
sini untuk makan tengahari di gerai-gerai, restoran dan sebagainya.Ya lah, buat
apa membazirkan duit untuk makan di tempat-tempat macam itu? Kebersihannya pun
belum terjamin. Apa guna isteri dirumah? Tersenyum aku seketika dengan gelagat
sanubariku ini. Lalu kubuka tudung mangkuk tingkat tersebut. Wahh, aromanya
cukup menyelerakan! Pasti akan membuka mata sesiapa yang menghidunya. “Ikan
keli masak tempoyak! Fuhh, kegemaranku!” kagumku di dalam hati. Ya Allah,
beruntungnya aku memiliki pemaisuri yang pandai mengambil hati suaminya. Firman
Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan
kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai
penyenang hati kami.” (Surah Al- Furqan: 74)
Dengan lafaz basmalah, aku menikmati
juadah tengahari ini dengan berkatNya. Ketika sedang menikmati makanan
tengahari, datang kepadaku seorang lelaki berpakaian kusut masai.
“Bang, bang, seringgit bang, nak beli
rokok..” kata lelaki itu. Itulah Usop atau nama sebenarnya Yusuf. Salah seorang
pengemis yang agak kurang siuman seringkali mengemis di kawasan ini. Siapa
tidak kenal Usop, satu Medan Kidd ni kenal dia. Setiap kali dia mengemis, satu
ringgit sahaja yang dimintanya semata-mata nak membeli rokok. Pada sejarah
silamnya, Usop adalah seorang businessman yang ditipu oleh salah sebuah
syarikat kewangan lalu menjadi tidak siuman. Ya Allah, sebak aku melihat
manusia sepertinya. Tetapi itulah ketetapanNya. Kita tidak ada daya upaya untuk
mengubah sesuatu takdir melainkan kita sendiri yang berusaha dan bertawakkal
kepadaNya. Moga Allah merahmati Usop dan mengampuni dosa-dosanya yang telah
lalu. “tutt, tutt.” Telefonku berdering.
“Assalamualaikum.” Salam diberi.
Jam 3.30 petang
Tambun
“Pon! Pon!” kedangaran bunyi hon
membingitkan suasana jalanraya disini. Kesesakan lalu lintas menjadi adat
kebiasaan bagi pemandu teksi sepertiku. Dalam keadaan yang sesak serta cuaca
yang panas terik ini betul-betul menguji kesabaran manusia. “Sabar, sabar…”
kataku di dalam hati. Tetapi kesesakan pada hari ini agak lain berbanding
dengan hari-hari kebiasaanya. Kesesakan lalu lintas di kawasan ini secara
kebiasaannya memakan masa sepuluh hingga dua puluh minit untuk reda. Sampai
sekarang sudah empat puluh lima minit aku berada di dalam teksiku. Mujurlah aku
ditemani oleh radio. Alunan muzik retro di zaman tujuh puluhan dan lapan
puluhan menenangkan fikiranku di dalam keadaan yang sesak ini. “Sekarang kita
akan memainkan sebuah lagu pilihan daripada Ahmad Syukri dari Kajang yang ingin
mendengarkan sebuah lagu daripada kumpulan Gingerbread yang berjudul ‘Ku Cari
Damai di Hati.’ Selamat mendengar!” ulas penyampai radio tersebut. Lirik serta
lagu itu memukau hati dan menggamit memori indahku ketika diriku bergelar
remaja. Ketika itu cintaku kepada kekasih lama berputik di hati. Alangkah
indahnya saat itu. Akan tetapi saat bahagia itu tidak lama dan hatiku berkecai
bagai kaca dihempas ke bumi akibat ketidaksetiaan. Owhh! Pedihnya hati ini tika
saat itu. Aku memfokuskan pada rangkap lirik lagu tersebut;
“Beginikah balasan cinta
Manis kata di bibir saja
Lembut lidah mengukir janji
Segunung mimpi berkecai kini”
Sejak daripada peristiwa itu, aku tidak
lagi mempercayai akan kehebatan cinta manusia sehingga aku mengahwini Rokiah.
Pilihan keluargalah yang menjadikan rumah tanggaku bahagia hingga ke saat ini.
Kerana rumah tangga yang harmoni akan memandu hambanya menuju ke gerbang
syurgaNya yang abadi. Aku menekan brek kereta setelah sepuluh minit keretaku
kaku tidak bergerak lalu berjalan sedikit demi sedikit. Terlihatku akan salah
seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas mengawal suasana lalu lintas.
Dalam kesesakan itu, sempatku bertanya akan faktor kesesakan lalu lintas ini.
Lantasku bertanya.
“Assalamualaikum encik.” Tanyaku dengan
nada mesra.
“Waalaikumussalam.” Jawabnya tegas.
“Apa hal kat depan tu?” tanyaku lagi.
“Owh, ada accident kat depan tu.
Menyebabkan seorang perempuan yang sarat mengandung mengalami keguguran
kandungan.”
Ohhh!!! Tersentak aku mendengar kata-kata
anggota polis tersebut. Seakan-akan peristiwa ini sama seperti yang pernahku
hadapi sebelum ini lima belas tahun yang lalu. Peristiwa hitam yang tidak dapat
kulupakan hingga menyebabkan kebahagiaan rumah tanggaku bersama Rokiah hampir
hanyut dibuai ombak kencang. “Dup, dap, dup, dap..” berdegup-degup jantungku
memikirkan peristiwa itu. Saat Rokiah dikejarkan ke hospital kerana mengalami
keguguran akibat hentakan yang kuat dibahagian perutnya. Aku mengalami
kecederaan ringan. Ketika itu kami dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.
Teksiku memecut laju dikawasan lebuhraya. Akhirnya teksi yang ku pandu hilang
kawalan lalu melanggar pembahagi jalan. Hatiku berkecamuk. Perasaan bercampur
baur. Tidak putus-putus aku menyebut-nyebut nama Rokiah ketika itu. Situasi aku
ketika itu bagaikan kucing kehilangan anak. Selang setengah jam kemudian,
doktor pun keluar daripada bilik kecemasan. Lantas aku mendapatkan doktor itu
lalu segera aku bertanya kepadanya.
“Bagaimana keadaan isteri saya doktor?”
tanyaku dalam keadaan keluh kesah.
“Hmm, encik tolong masuk ke pejabat saya,
ada perkara penting yang perlu diperbincangkan.” Jawabnya tenang. Setelah kami
berada di dalam bilik, segera aku bertanya lagi akan situasi yang menimpa
Rokiah
“Bagaimana keadaan isteri saya
doktor?” seraya doktor itu berkata,
“Encik kena tenangkan hati, istighfar banyak-banyak. Mungkin keputusan ini
adalah keputusan yang terbaik yang perlu encik pilih. Kami terpaksa
menyelamatkan isteri encik. Anak encik tidak dapat diselamatkan dan rahim
isteri encik terpaksa kami buang akibat kecederaan agak yang serius dibahagian
pangkal rahim. Isteri encik mungkin tidak boleh melahirkan anak lagi. Saya
minta maaf.”
Tertundukku pasrah mendengar kenyataan
doktor tersebut. Ya Allah, inikah yang mesti aku hadapi? “Astaghfirullah..”
ucapku cuba untuk menenangkan hatiku. Akhirnya aku redha akan ketentuanNya.
Teringat aku akan firmanNya yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji
kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai)
kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta
hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah Al-baqarah:155)
Kemudian segera aku mendapatkan Rokiah di
biliknya. Alhamdulillah, dia sudah sedar. Melihat ronaan matanya, seakan-akan
dia tidak dapat menerima apa yang telah terjadi. Rokiah memandangku. Dia mula
menitiskan air matanya.
“Bang, anak kita…” tangis Rokiah dengan
suara tersekat-sekat. Aku menatap wajahnya dalam-dalam. Ibu mana yang tidak
sedih melihat anaknya pergi meninggalkan dunia. Aku mendakap tubuhnya
erat-erat.
“yang sudah tu sudah, InsyaAllah, ada
hikmahnya. Anak kita pasti akan menyelamatkan kita di akhirat kelak.” Pujukku
sambil disulam dengan deraian air mata.
Selang beberapa bulan, kami bertekad
untuk mengambil seseorang untuk bersama-sama meghiasi rumah tangga kami. Saat
itu aku dan Rokiah mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat. Aku dan Rokiah
pergi ke Pusat Penjagaan Anak Yatim di Ipoh. Di situ, kami dikurniakan bayi
lelaki yang berusia sembilan bulan. Wajahnya putih dan berseri. Wajahnya sering
tidak tumpah seperti wajah arwah nenekku ketika muda. Rokiah tersenyum tanda
gembira. Ditimang-timangnya anak itu dan dicium dengan penuh kasih sayang.
“Abang, kita nak namakan dia apa ya?”
Tanya Rokiah. Lantasku berfikir. Bukan mudah untuk menamakan bayi secomel ini.
Tanpa berfikir panjang lalu aku terus menamakan anak ini.
“Kita namakan dia, Adam Ibtisam..”
Jam 6.50 petang
Pasir Puteh
Sungguh pantas masa berlalu. Kini diriku
sudah hampir di hujung usia. Masa yang berlalu mungkin hanya tinggal kenangan
dan pengajaran bagi diri. Inilah lumrah kehidupan. Ketika muda, kita begitu
kuat dan mampu untuk melakukan apa sahaja mengikut daya upaya. Kini sudah
bertubuh tua, hanya menunggu masa untuk di usung ke liang lahad. Berdasarkan
firman Allah s.w.t yang bermaksud:
”Allah yang menciptakan kamu bermula
dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat.
Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa
yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
(Surah Ar-ruum:54)
Hari sudah menampakkan kelenaannya.
Selesai sahaja aku menyempurnakan solat Asar di surau berdekatan, masa untuk
aku bergerak pulang bagi meluangkan masa bersama keluarga pula. Pasti Rokiah
sedang menunggu aku dirumah. Sampai sahaja di rumah, terlihat aku akan sebuah
kereta Toyota Avanza dihadapan rumahku. Aku terkejut. Siapakah gerangan empunya
kereta tersebut? Aku meletakkan teksiku digaraj rumah sambil memanggil-manggil
nama Rokiah.
“Kiah! Kiah! Abang balik dah ni.”
Panggilan aku tadi membuatkan Rokiah terpanggil dihadapan pintu. Keluar sahaja
aku daripada teksi, terpandang aku akan seorang lelaki tinggi lampai, berkulit
putih sambil menatap wajahku dengan tersenyum.
“Assalamualaikum abah!” panggilnya.
“Waalaikumussalam, Adam! Anak abah dah
balik..” terkejut aku lantas dia memeluk tubuhku erat-erat tanda kasih mesra
seorang anak terhadap ayahnya.
“Kenapa balik tak bagi tahu?” tanyaku
sambil disulam deraian air mata kerinduan. Rokiah tersenyum girang.
“Adam saja je. Nak bagi surprise kat
abah.” Sendanya sambil tersenyum sinis. Itulah satu-satunya anak kesayanganku.
Adam telah melanjutkan pelajarannya ke Singapura dalam jurusan kedoktoran. Dia
akan balik 5 bulan sekali setiap tahun. Rindu tidak terkata. Alangkah
bahagianya hidup kami apabila kepulangannya ke dakapan kami. Walaupun bergelar
anak angkat, tetapi kami sudah menganggapnya seperti anak kandung kami sendiri.
Daripada darah daging kami sendiri. Alhamdulillah, syukurku ke hadrat Ilahi.
Dikurniakan kebahagiaan selepas pelbagai kepahitan yang telah kami berdua
tempuh dengan sabar dan redha. Kerana setiap daripada kita di dunia ini adalah
penumpang. Maka kasihilah orang yang telah menumpang kebahagiaan dengan diri
kita.